RAMAI yang bertanya dan ditanya mengenai masa depan Bersatu tetapi ramai juga yang tidak ada jawapan tepat untuk soalan itu.

Jawapan yang diberi sama ada semata-mata andaian, atas sebab menyokong atau bersebab dengan tidak menyokong.

Namun hendak dikatakan soalan itu dijawab dengan kepastian, rata-ratanya tidak.

Baru-baru ini, saya bertanya Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohamad Redzuan Othman mengenai perkara itu, juga mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan oleh sesetengah pemerhati sebagai 'too slow' dalam menggerakkan Bersatu sebagai sebuah parti politik yang baharu.

Dia mengakuinya. Bagaimanapun mengenai Bersatu, Redzuan menyatakan bahawa parti itu tetap ada masa depan.

Mengambil contoh apa yang pernah berlaku pada Parti Melayu Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah selepas tewas kepada Tun Dr. Mahathir dalam pemilihan Umno 1987, Redzuan berkata, berdasarkan data empirikal kajiannya, julat sokongan pengundi BN adalah antara 26% hingga 29% pada setiap pilihan raya.

"Golongan ini tidak akan mengundi parti lain selain BN. Akan tetapi apabila wujud parti yang lahir daripada kalangan mereka sendiri (ditubuhkan oleh pemimpin Umno/BN), mereka sedia untuk berpaling tadah. Bersatu juga akan mendapat undi daripada orang Umno sebagaimana Semangat 46 dahulu," katanya.

Longlai

Apa pun, pandangan yang masyhur dalam kalangan pemerhati ialah mengenai Muhyiddin sebagai ketua parti yang dianggap tidak proaktif dan terlalu perlahan untuk menggerakkan Bersatu.

"Ini sangat tidak sesuai dengan keadaan dan kedudukannya," kata seorang veteran Umno yang menyifatkan kepimpinan Bersatu sebagai longlai, sunyi malah masih belum menggariskan program politiknya secara jelas sejak parti itu diluluskan ROS.

Tidak kurang juga yang memberi pandangan, kekuatan sokongan terhadap Bersatu yang diperlihatkan menerusi ramainya orang menghadiri rapat umum di Ketereh, Kelantan juga di Karangan, Kedah adalah bersebab dengan penglibatan Dr. Mahathir.

"Kalau tak ada Tun, jangan harap orang akan ramai seperti itu. Aura Tun masih kuat," kata seorang pemerhati akar umbi..

Namun ada juga yang memberikan pendapat, kehadiran dalam ceramah di Ketereh tidak boleh dijadikan kayu ukur sokongan untuk Bersatu.

"Orang Kelantan ni, dia suka nak mendengar saja, sokong belum tentu. Ada ceramah politik seperti itu, mereka akan turun, tetapi sekadar turun untuk dengar, lebih-lebih lagi kerana ada Dr. Mahathir," kata seorang anak Kelantan yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur.

Apa pun, yang paling menarik perhatian adalah mengenai orang kuat Dr. Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang tidak pun menyertai Bersatu meskipun dialah yang terkehadapan dalam menggerakan kempen anti Najib bersama bekas Perdana Menteri itu. Malah Khairuddin juga terlibat membuat laporan kepada pihak berkuasa di beberapa negara berhubung kes 1MDB.

Peranan Khairuddin di sisi Dr. Mahathir terutama dalam kerja menentang seteru politik negarawan itu bukan baru. Sejak 1998 lagi, dia bersama Ummi Hafilda Ali berperang bagi pihak Dr. Mahathir menentang kem Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itulah juga terbit dan tersebarnya buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' yang ditulis oleh Datuk Khalid Jafri (Allahyarham).

Justeru apabila Khairuddin tidak berada dalam saf kepimpinan, malah tidak menjadi ahli pun setelah Bersatu ditubuhkan, ini boleh dikira sangat luar biasa. Sementelahan pula dialah yang mempelopori kempen Deklarasi Rakyat yang dibawa oleh Dr. Mahathir.

Ketika itu, Muhyddin sendiri masih dalam Umno dan kerajaan.

'Hijacked'

Justeru, apabila Muhyiddin kemudiannya menjadi Presiden Bersatu, ada pihak membuat tanggapan seolah-olah bekas Timbalan Presiden Umno itu telah 'hijacked' usaha yang awalnya digerakkan oleh Khairuddin. Ini bukanlah perkara yang baik untuk sebuah parti yang baru hendak bertapak seperti Bersatu dalam usaha untuk menumbangkan parti yang sudah begitu dominan, berpengalaman serta telah memerintah sejak merdeka. Apa pun, cerita sebenarnya kita tidak tahu!

Sungguh pun demikian, cakap-cakap negatif mengenai kepimpinan Muhyiddin terutama apa yang ditakrifkan sebagai 'too slow' tidak harus diabaikan.

Muhyiddin sendiri perlu bersikap terbuka dalam menerima pandangan orang lain, malah yang bersifat kritikan meskipun dia dahulu adalah Timbalan Perdana Menteri. Ini kerana sebagai parti baharu, Bersatu harus solid untuk meraih sokongan setelah diterima oleh rakyat sebagai alternatif terbaik dengan adanya Dr. Mahathir dan dia sendiri dalam pimpinan.

Apa yang menjadi masalah bagi Muhyiddin, kata sesetengah pemerhati ialah dia seakan masih sukar untuk terima kenyataan bahawa dirinya kini bukan lagi pemimpin kerajaan.

Setelah 40 tahun bergelumang dalam politik, menduduki kerusi utama dalam tempoh yang lama sebagai timbalan menteri, menteri, menteri besar dan timbalan perdana menteri, memanglah diakui apa yang dilaluinya hari ini tidak mudah untuk diterima sebagai realiti.

Muhyiddin bukanlah seperti Anwar yang terus tukar baju dalam semalaman setelah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Seperti kata Nurul Izzah, dalam masa 18 hari sahaja selepas dipecat, Anwar telah menjelajah seluruh pelusuk negara untuk menggerakkan momentum penentangan terhadap Dr. Mahathir.

Ini tidaklah menghairankan kerana Anwar sebelum duduk di pentas utama, bermula sebagai pemimpin kampus yang bergerak di jalanan.

Walau apa latar belakang politiknya, Muhyiddin tidak boleh leka dengan caranya. Dia harus segera ke hadapan, menggerakkan momentum pada masa rakyat tertunggu-tunggu agenda pembaharuan yang mahu dibawamya.

Kalau mahu dikira dari segi agenda, Muhyiddin sebenarnya mempunyai bekalan yang lebih baik berbanding Anwar yang pada masa itu penentangannya terhadap Mahathir adalah lebih bersifat peribadi di sebalik slogan 'Reformasi' yang dilaungkan.

Muhyiddin sebaliknya mengumandangkan isu-isu berkaitan dengan intergriti yang sememangnya telah menjadi isu dalam kalangan rakyat. Satu lagi kelebihan yang seakan diabaikan, ketika simpati rakyat untuknya memuncak, reaksi Muhyiddin sendiri sebaliknya terlalu lambat dan perlahan.

Apa yang diharapkan setelah Bersatu diluluskan, tidak menjadi kenyataan. Jika dahulu, alasan menunggu kelulusan boleh digunakan tetapi sekarang, masih lagi longlai.

Dalam usia 91 tahun, amatlah tidak wajar untuk terlalu bergantung kepada Dr. Mahathir. Tambahan pula, dia baru sahaja keluar dari hospital.

Sebagai tokoh negarawan yang seharusnya diberikan ruang untuk hidup tenang dalam usia emasnya, terlalu mengkehadapankan Dr. Mahathir akan mengundang lebih banyak kecaman serta menjejaskan rasa hormat orang terhadapnya.

Memang sebagai negarawan, Dr. Mahathir tidak boleh berpeluk tubuh sahaja melihat ada yang tidak kena tetapi dia terpaksa ke hadapan kerana tidak ada orang yang dipercayai boleh untuk ke hadapan sepertinya.

Muhyiddin harus segera keluar dari sindrom kuasa yang sudahpun berakhir baginya dalam keadaan sekarang.

Kalau dahulu, dia boleh mengharapkan orang lain untuk melakukan pelbagai perkara bagi pihaknya dengan gaji yang dibayar oleh kerajaan ataupun parti tetapi kini, dia harus bersedia untuk tanggung sendiri.

Selain itu, apa yang tidak kurang penting ialah dia harus bersikap lebih terbuka dan tidak terlalu mudah menaruh rasa curiga terhadap orang lain.

Sungguhpun demikian, keadaan masih belum terlambat untuk Muhyiddin dan Bersatu berubah dan secara agresif melancarkan serangan politik terhadap parti kerajaan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.

Namun jika mereka terus berlengah, sesungguhnya mereka sudahpun terlambat!