MENITI perjalanan hidup yang semakin larut, kenangan adalah aset paling mahal lagi tidak terhitung nilainya. Minggu lepas saya sentuh mengenai Pak Leh, peniaga mi goreng di warung depan pintu pagar sekolah saya dahulu.

Ramai kawan sekolah hubungi saya untuk bercakap mengenai kenangan itu. Tidak kurang juga yang mengaku sebak mengingati apa yang sudah lama berlalu. Sementelahan pula Pak Leh baru-baru beberapa bulan lalu kembali ke rahmatullah.

Saya sendiri tidak cam lagi wajah Pak Leh di penghujung usianya yang saya lihat menerusi gambar yang dikirim seorang kawan. Sangat jauh berbeza.

Ya lah, sudah terlalu lama. Saya tinggalkan sekolah pun sudah 25 tahun. Cuma diri sendiri kadang-kadang tidak sedar semakin tua.

Bukan sahaja Pak Leh, Mamak Ghani juga sudah tiada. Dalam kalangan budak-budak Kolej (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar), siapa yang tidak kenal Mamak Ghani?

“Mai bang! Mai bang! Mari adik, marilah sayang ...”

 Itulah laungannya di tepi padang tidak jauh dari asrama kami setiap petang menjaja kuih-muih yang diisi dalam tong biru dan dibawa dengan basikal tua.

Apa yang saya paling ingat mengenai jajaan Mamak Ghani adalah cucur udangnya yang super tembam dengan seekor udang besar melingkar di atas. Itulah cucur udang yang paling tidak ‘kedekut’ saya pernah jumpa. Walaupun ada kawan mengusik cucur udang kegemaran saya itu berbau cerut– Mamak Ghani memang hisap cerut – saya tidak kisah.

Kawan itu sendiri kemudiannya jadi penagih cucur Mamak Ghani juga.

Cucur udang Mamak Ghani yang dimakan dengan kuah kacang, dibungkus dengan kertas surat khabar Tamil. Seperti baru semalam, Mamak Ghani yang besar agam tubuhnya, bersuara garau sering pakai baju batik coklat yang lengannya disenteng dengan misai melenting, wajahnya masih cukup jelas dalam ingatan saya. Seperti tong kuihnya, kain pelekat Mamak Ghani juga berwarna biru.

Walaupun hubungan kami – budak Kolej – dengan Mamak Ghani hanya selaku pelanggan dan penjaja kuih, namun nilainya yang sebenar bagi kami adalah lebih daripada itu.

Dia adalah sejarah hidup kami yang tidak berganti. Dia adalah masa silam kami yang tidak mungkin kembali.

Begitu juga Pak Haron, tukang kebun Kolej yang pada sebelah malam berubah watak menjadi penyelamat kami yang kelaparan. Setiap malam, seusai waktu ‘prep’ (waktu menelaah malam), kehadirannya paling dinanti.

Kami tertunggu-tunggu nasi lemak, karipap panas dan air tembikai yang dibawanya dengan basikal roda tiga.

Sebagai isyarat kehadirannya, dia mendentingkan besi yang diketuknya ke galang basikal manakala kami yang kelaparan meluru keluar dari asrama untuk segera mengerumuninya.

Dalam keadaan kelam kabut dan berasak-asak itulah – kerana takut kehabisan – berlaku berbagai-bagai cerita yang jadi bualan dan kenangan kami sampai hari ini.

Setiap kali budak asrama Kolej bertemu dan bercerita mengenai Pak Haron, akan berbangkit soalan: “Hang agak-agak berapa banyak hang hutang dengan dia?”

Sebabnya, zaman nakal, makan nasi lemak atau karipap Pak Haron yang sedap itu tanpa bayar, bukanlah luar biasa. Hampir setiap budak asrama Kolej ada rekodnya.

Ada juga yang jenis berkumpulan. Seorang tunggu di depan dan angkut nasi sebungkus demi sebungkus untuk diberi kepada kawan di belakang. Selepas beberapa bungkus ‘hilang’, akhirnya yang dikira hanya yang ada di dalam tangan, sebungkus atau dua sahaja.

 Apabila sudah dewasa, berbangkitnya cerita-cerita seperti itu mengundang rasa sebak di dalam dada, malah mungkin juga menitiskan air mata. Pak Haron tidak tahu di mana, manakala Mamak Ghani sudah tiada. Saya tidak tahu bagaimana cara untuk menebus dosa kami dengan mereka. Hutang kami dengan mereka yang entah berapa!

Moga ada ustaz atau ustazah yang sudi mencerahkan!

Namun sesuatu yang paling baik ialah mendoakan mereka dianugerahkan dengan sebaik-baik ganjaran kerana menyelamatkan kami yang kelaparan suatu ketika dahulu. Waktu itu, bukan tidak ada hidangan tengah malam disediakan untuk kami tetapi segelas milo dengan dua keping 'roti mayat', minta maaflah!

Mengenang semua ini, apa yang pernah dilalui, yang dinilai sebagai biasa-biasa sahaja dahulunya, kini sangat istimewa. Tidak ada mata wang yang mampu dibayar untuk menebus semula kenangan itu.

Masa datang dan pergi. Apa yang diisi padanya jadi peristiwa dan memberi nilai kepada kita. Jika baik, baiklah. Begitulah sebaliknya.

Berselang tempoh, ia jadi kenangan. Dan kenangan biasanya akan memberi lebih makna mengenai diri kita.

Untuk menjadikan kenangan itu sentiasa mewangi di sisi memori, isilah setiap masa dengan sebaik-baik peristiwa supaya kita dikenang dengan kasih sayang seperti Pak Haron dan Mamak Ghani.