IKUT kata Mursyidul Am yang baru, Tuan Guru Hasim Jasin, Pas setuju dengan strategi satu lawan satu yang dianjurkan pakatan pembangkang untuk menghadapi BN pada PRU14.  

Seharusnya, itulah berita besar bagi pembangkang dalam situasi sekarang. Selama ini, parti-parti pembangkang yang lain begitu mengharap Pas akan bersama mereka.

Apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar  18 Jun lalu cukup untuk jadi pengajaran betapa ruginya pembangkang apabila mereka berpecah. Akibatnya, BN berjaya meraih majoriti yang besar pada kedua-dua pilihan raya itu.

Jika pola atau sikap rakyat yang diperlihatkan sekarang berterusan, pembangkang berasa mereka mempunyai peluang untuk menang pada PRU14. Ironinya, dilema ketidaksatuan yang membelenggu hubungan Pas dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan, (terutama Amanah dan DAP) terus menerus jadi tembok halangan.

Amanah yang sebelum ini sering bersikap keras terhadap Pas sudah berubah menjadi agak lunak. Pemimpin-pemimpinnya bukan sahaja tidak lagi lantang mengkritik pimpinan Pas seperti dahulu bahkan turut membuat kenyataan yang berupa harapan kepada Pas agar sudi untuk bergabung dengan mereka. Mereka terpaksa menyanggupinya bagi memastikan hasrat pertandingan satu lawan satu dapat direalisasikan.

Jika usaha itu gagal, akan berkuburlah impian keemasan mereka kerana mengikut logik mudah, perpecahan undi pembangkang akan membuka pintu yang seluas-luasnya kepada BN untuk menang.

Pusingan U

Ketika ini, BN bukan lagi pemerintah yang popular. Jadi inilah peluang yang mereka ada meskipun belum lagi sampai 'lap' yang terakhir. Isu-isu yang bersangkutan dengan kenaikan harga barang yang gagal ditangani secara berkesan oleh kerajaan terus jadi punca kemarahan rakyat.

Kenaikan harga minyak masak botol yang berselindung di sebalik langkah rasionalisasi subsidi ternyata sukar untuk diterima. Meskipun kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan harga minyak masak paket dengan harapan itu akan jadi indikasi pendekatan yang mesra lagi prihatin kepada golongan berpendapatan rendah, ia masih tetap melukakan hati sebilangan anggota masyarakat terutama mereka yang daripada golongan menengah sederhana.

Laporan media bahawa 90 peratus daripada minyak masak paket yang dijual di pasaran adalah minyak kitar semula yang tidak selamat, kotor serta boleh menjejaskan kesihatan selain diragui kesuciannya bagi umat Islam menyebabkan mereka sukar untuk menerima alasan rasionalisasi itu.  

Malah ada juga yang berasa tertipu!

Selain itu, pusingan U yang dibuat oleh bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini turut memberi kesan ketara terhadap suasana politik semasa.

Sebagai antara individu yang paling tahu mengenai 1MDB, tindakan Husni memilih untuk membangkitkan persoalan mengenai entiti pelaburan strategik milik kerajaan itu di Dewan Rakyat sekali gus menunjukkan ada yang tidak kena dalam pengurusan syarikat itu.

Ini ditambah pula dengan tindakan polis mahu menyiasat Husni,  juga dua lagi bekas anggota kanan pentadbiran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataan mereka di Dewan Rakyat yang dikaitkan dengan perbuatan mengingkari sumpah menyimpan rahsia dan juga Akta Rahsia Rasmi (OSA) – yang juga bersangkutan dengan soalan mengenai 1MDB.

Hal-hal yang seperti ini mudah mengundang simpati kerana mereka dilihat memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan pula sebaliknya dianggap seakan menghampiri gaya pemerintahan keras dan sedang berusaha untuk melindungi suatu tindakan yang curang daripada pengetahuan orang ramai. Lantaran itu, langkah-langkah tegas yang bertujuan untuk menutup mulut mereka yang cuba memperkatakan mengenainya terpaksa dilakukan. Itulah persepsi daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan berkaitan 1MDB!

Menurut pemerhati, ini memberikan sebab untuk kerajaan semakin tidak popular di mata rakyat.

Pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini juga tidak membantu malah dinilai sebagai yang paling banyak mendapat kritikan. Ini ditambah pula dengan kenaikan harga minyak bermula 1 November yang diumumkan tatkala harga minyak global sedang mengalami penurunan.

Hal-hal yang seperti ini menjadi angkubah untuk pembangkang melihat betapa peluang untuk mereka sedang terbentang menjelang pilihan raya akan datang. Tinggal lagi keengganan Pas untuk bersama yang lain itulah yang jadi penghalang!

Lalu apabila Tuan Guru Hasim membuat kenyataan bahawa Pas bersetuju dengan strategi satu lawan satu pada PRU14, itu adalah kata-kata yang membawa makna begitu signifikan dalam usaha politik pembangkang.

Namun adakah kata-kata itu sebenarnya juga membawa makna yang sama antara penutur dengan mereka yang mendengar? Menurut Hasim, parti itu sedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi dasar tahaluf siyasi atau kerjasama politik dibuat atas dasar agama ALLAH.

“Itu syarat kita. Sebab dulu kita tak buat atas dasar itu, jadilah apa yang berlaku sekarang (perpecahan Pakatan Rakyat),” tegasnya.

“Pengalaman memaksa kita untuk meletak syarat dan ini mesti kita lakukan. Kalau mereka setuju, DAP pun boleh bersama. Seeloknya satu lawan satu tapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan satu, kita terpaksa empat lawan satu,” katanya lagi di Yan, Kedah, kelmarin.

Ultra kiasu

Sememangnya, itulah ketegasan dan kebijaksanaan yang harus ada pada pimpinan Pas. Mereka harus sedar sejak dahulu bahawa bertahaluf dengan DAP terutamanya adalah tidak semudah yang diucap. DAP adalah parti dengan sikap ultra kiasu sentiasa mahu menang dan jadi dominan dalam pakatan pembangkang.

Sejarah hitam yang dilalui Pas hingga lahirnya budaya berpuak-puak dalam parti itu, label melabel dan juga ‘cai’ ketika pemilihan yang berakhir dengan keluarnya beribu-ribu ahli termasuk pimpinan kanannya tidak lama dahulu adalah suatu peristiwa yang tidak harus dibenarkan berulang.

Penyakit perpecahan yang bermula daripada campur tangan DAP hingga sekarang masih belum sembuh sepenuhnya. Masih wujud apa yang disebut sebagai ‘harumanis’ yang akan sentiasa menjadi virus dalam Pas.

Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya, Pas juga pasti ada keinginan untuk menang. Dan kini mereka dalam dilema untuk memilih antara dua kemudaratan!

Berbaik-baik dengan Umno/ BN yang boleh menyebabkan ahli dan penyokong akar umbi terjebak dalam kekeliruan – setelah sekian lama menentang parti itu – atau bekerjasama dengan pakatan yang di dalamnya ada DAP dan Amanah?

Memilih yang kedua bukan sekadar membiarkan luka lama berdarah semula bahkan juga mendedahkan diri pada tohmahan menjilat ludah!

Justeru, bertegas dan pada masa yang sama membuka pintu rumah adalah tindakan yang paling terhormat. Pada masa menunjukkan sikap sedia untuk berbaik, janganlah pula sampai membiarkan tetamu membuat sesuka hati mereka di dalam rumah kita.

Kepada anak-anak, harus juga diperingatkan bahawa gelagat dan tingkah laku mereka jangan sampai mencurigakan.

Meskipun Pas kini cuba menonjolkan apa yang disebut sebagai  ‘Budaya Politik Matang & Sejahtera’, sikap mesra segelintir pemimpin terhadap pemerintah janganlah sampai mengelirukan atau mencurigakan ahli dan penyokong sendiri.

Ini kerana dalam keadaan rakyat (termasuk ahli Pas) sukar untuk terima kebanyakan dasar dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan, ada pemimpin Pas – terutama pemimpin muda – pula sering  tampil dengan kenyataan-kenyataan yang membela mereka.

Sebaiknya dalam keadaan ini, berdiam dirilah sahaja. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya! Itu langkah yang lebih bijaksana untuk menjaga  ‘kesihatan’  parti daripada fitnah yang boleh merosakkan keyakinan mereka yang selama ini setia menyokong.

Kalaupun mungkin ada strategi tertentu yang sengaja tidak didedahkan kepada ahli di peringkat bawahan, tidak membuat kenyataan-kenyataan yang mencurigakan tetap dirasakan adalah sikap yang lebih baik dan diperlukan demi perpaduan dan keharmonian dalam parti.

Setiap pemimpin berhak untuk mendapat penghormatan daripada ahli dan penyokong. Kerana itu, mereka juga harus untuk sentiasa meletak diri dalam posisi yang sendirinya akan dihormati!