PAGI Isnin depan, Ahmad Razif Abdul Rahman boleh hadir mesyuarat Dun dalam keadaan tenang. Tiada apa yang perlu digusarkan. Meskipun telah kecoh sejak beberapa hari lalu Menteri Besar Terengganu itu mungkin akan hadapi usul undi dalam persidangan Dun,  hampir pasti hal yang seumpama itu tidak akan berlaku. 

Seperti kata Ahmad Razif sendiri, tiada notis usul undi tidak percaya terhadap dirinya dikemukakan kepada pihak Setiausaha Dun dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan berlangsung sebagaimana yang disyaratkan. Ini sudah cukup untuk memberi keyakinan bahawa apa yang dihebohkan itu tidak akan berlaku. 

Memang usul tergempar boleh dibuat namun ia tertakluk pada persetujuan Speaker Dun sama ada mahu terima ataupun tolak. Dan hal yang seperti ini bukan tidak pernah berlaku!

Baru 8 Mac lalu, usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif telah dibawa oleh Adun Kijal, Ahmad Said @ Mat Said namun ditolak oleh Speaker Mohd Zubir Embong atas alasan, usul itu dibuat tanpa notis dan telah melanggar peraturan Dun.

“Setelah meneliti Peraturan Tetap Dewan Negeri Terengganu, saya mendapati bahawa Fasal 33 mestilah dirujuk bersama Fasal 45 yang menyebut dalam apa jua keadaan, kebenaran Speaker mestilah diperolehi walaupun tanpa notis dan saya mendapati usul ini tiada elemen keterdesakan dan sangat penting untuk dibahaskan tanpa apa-apa kelengahan," kata Mohd Zubir ketika mengumumkan penolakan itu.

Ahmad Razif pun terselamat! 

Bagaimanapun isu mengenai kedudukannya berbangkit semula apabila Istana Terengganu pada 25 April mengesahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dianugerahkan kepadanya sebelum ini, ditarik balik berkuat kuasa 22 April. Ini menunjukkan ada konflik serius antara Menteri Besar dengan pihak istana yang memungkinkan dia akan diganti. 

Bagaimanapun pertemuan Perdana Menteri dengan Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannya meredakan isu tersebut. Ahmad Razif dikekalkan. Namun hakikatnya, langit politik Terengganu tidak selalu cerah! 

Baru-baru ini, Mat Said ketika berucap dalam satu majlis di Kemaman berkata: "Mereka akan tengok apa yang saya boleh lakukan!"

Kata-katanya itu merujuk pada apa yang berlaku ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini.

Dalam mesyuarat itu, Ahmad Razif dilaporkan telah membangkitkan hal tindakan disiplin yang dimintanya diambil oleh kepimpinan parti terhadap Mat Said berikutan usul undi tidak percaya yang cuba dibawa oleh Ketua Umno Bahagian Kemaman itu terhadap kepimpinannya pada persidangan Dun 8 Mac lalu. Ahmad Razif dikatakan telah berhujah panjang lebar mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, cadangan untuk MT mengambil tindakan disiplin terhadap bekas Menteri Besar Terengganu itu dikatakan tidak dipersetujui oleh anggota MT dari Terengganu sendiri. Dua anggota MT Umno dari Terengganu ialah Idris Jusoh dan Ahmad Shabery Cheek. 

Mereka dikatakan menolak cadangan itu atas sebab risiko besar menanti BN jika tindakan disiplin diambil terhadap Mat Said. Ini berikutan  Dun dikuasai BN hanya dengan majoriti  tipis. Jika ada Adun BN dipecat atau keluar parti, ia boleh mengakibatkan kerajaan negeri tumbang pada bila-bila masa. BN menduduki 17 kerusi Dun, Pas 14 kerusi manakala PKR, satu kerusi.

Jika Mat Said dipecat, komposisi akan berubah menjadi 16-16 dan cukup getir bagi BN untuk mengekalkan status quo!

Anggota Exco, Ghazali Taib baru-baru ini seakan memerah limau ke luka Ahmad Razif. Dalam satu kenyataan media beberapa hari lalu, dia minta kepimpinan tertinggi Umno ambil tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri yang menurutnya, telah gagal berfungsi hingga memberi kesan kepada rakyat.

"Saya fikir Ahmad Razif perlu lebih jujur memberi gambaran sebenar keadaan di Terengganu dan perlu mengambil langkah drastik. Jika pentingkan Umno, rakyat dan negeri, dia perlu buat pengorbanan. Dia nanti akan dikenang sebagai pemimpin yang ikhlas dan jujur kerana mengutamakan kepentingan negeri melebihi peribadi," kata Ghazali.

Tidak sukar untuk memahami maksud kenyataannya itu!

Ghazali bagaimanapun tidak mahu kenyataannya dikaitkan dengan sokongannya terhadap Mat Said sebaliknya mengatakan, ia adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat dan parti.

Memang janggal dan sukar untuk diterima dalam budaya politik berparti di negara kita, seseorang exco atau menteri membuat kenyataan terbuka mengkritik bosnya sendiri.

Begitupun, dalam keadaan anggota partinya sendiri memulakan langkah secara terbuka untuk tidak berpihak kepadanya, Ahmad Razif masih boleh menarik nafas lega.

Ini kerana Pas melalui kenyataan presidennya, Abdul Hadi Awang  8 Mac lalu menegaskan parti itu sama sekali tidak akan menyokong sebarang usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

"Kita hanya akan lihat pada isu-isu yang munasabah, bukan isu nak rebut jawatan. Kita tidak terlibat dalam usul undi tidak percaya," tegasnya.

Terengganu negeri Abdul Hadi. Tidak mungkin ada Adun Pas berani sanggah arahan itu.

   Dengan itu, Ahmad Razif masih boleh tidur lena namun percayalah, dia pasti tidak akan nyenyak!