KELMARIN Datuk Mustafa Ali kata, kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan dicabar. Tanpa ragu-ragu, beliau malah berani menyebut sebagai jaminan bahawa Abdul Hadi akan kekal sebagai Presiden Pas selepas muktamar pemilihan Jun ini. Yakin sungguh nampaknya Cikgu Pa!
 
Rupa-rupanya, keyakinan itu hanya bersandar pada tradisi bahawa selama ini, iaitu sejak bermula era kepimpinan ulama Pas pada 1983, jawatan presiden tidak pernah dicabar. Betullah, dan itu sememangnya fakta. 
 
Malah ketika Allahyarham Datuk Fadzil Noor mengambil alih jawatan Yang Dipertua Agung (sebelum diubah nama jawatan kepada Presiden) Pas selepas pengunduran Haji Yusof Rawa pada 1989, beliau menang jawatan itu tanpa bertanding. Begitu juga Abdul Hadi yang menggantikannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung.
 
Akan tetapi, selepas pemergian Ustaz Fadzil pada 2002 dan Abdul Hadi naik menggantikannya sebagai presiden, bermulalah episod baharu dalam Pas. Meskipun kedudukan presiden kekal tidak digugat, jawatan Timbalan Presiden Pas pada era kepimpinan ulama buat pertama kali dipertandingkan pada 2003 yang menyaksikan pertembungan dua sahabat, Hassan Shukri dan Mustafa Ali. 
 
Keputusannya, Hassan menewaskan Cikgu Pa yang turut mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden.
 
Pada 2005, Nasharuddin Mat Isa yang mencetuskan kejutan apabila dilantik oleh Ustaz Fadzil sebagai setiausaha agung pada 1999 selepas meletak jawatan pensyarah di UKM, menang kerusi Timbalan Presiden Pas selepas pencabarnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menarik diri daripada pencalonan.
 
Pada pemilihan 2007, Nasharuddin menewaskan bekas Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib untuk mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden Pas. Beliau mendapat 574 undi manakala Harun, 367. 
 
Sama macam Anwar

2009, Nasha sekali lagi berjaya mempertahankan jawatan setelah memperolehi 480 undi, menewaskan Datuk Husam Musa (281) dan Mat Sabu (261).

Pemilihan 2009 juga menyaksikan ruang untuk persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas mula dibuka luas. Jika sebelum itu, pertandingan hanya melibatkan pertembungan dua penjuru ataupun seorang daripada calon akhirnya menarik diri seperti yang berlaku pada 2005, kerusi timbalan presiden pada tahun itu sebaliknya cuba direbut oleh tiga calon.

2011 menyaksikan penguasaan Ustaz Nasha di kerusi Timbalan Presiden Pas berakhir apabila beliau ditewaskan oleh Mat Sabu yang mendapat 420 undi dalam persaingan tiga penjuru. Seorang lagi calon, Tuan Ibrahim mendapat 399 undi manakala Nasha sendiri, hanya 224 undi. 

Ada pemerhati merumuskan, penyertaan dua calon daripada kalangan ulama iaitu Tuan Ibrahim dan Ustaz Nasha merugikan kem itu sendiri apabila undi untuk mereka berpecah yang akhirnya memenangkan Mat Sabu. Tambahan pula majoriti yang diraih Mat Sabu untuk merampas jawatan itu tidaklah sebesar mana, hanya 21 undi sahaja.

Ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan jumlah pencalonan yang diterimanya daripada Pas kawasan sebelum itu yang begitu 'menggila'. Apa yang berlaku pada masa itu mengingatkan saya pada pencalonan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mencabar Tun Ghafar Baba bagi kerusi Timbalan Presiden Umno pada 1993. Seakan sama!
Elit

Ketika itu, saya ada bertanya kepada seorang pemimpin Pas negeri, apa yang membuat Mat Sabu mendapat pencalonan begitu banyak untuk mencabar penyandang (Nasharudin). Katanya, "Abang Mat bersama-sama dengan kami sejak zaman Pemuda, tidak kisah untuk tidur berbantal lengan di markaz atau bilik gerakan sedangkan Ustaz Nasha, gayanya elit."

Itu cerita pada 2011. Pada 2013, Mat Sabu mengekalkan kerusi Timbalan Presiden di punggungnya setelah menewaskan calon dari Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan majoriti 98 undi. Mat Sabu mendapat 588 undi manakala Mohd Amar, 490.

Dalam kenyataannya kelmarin, selain mengatakan dengan sepenuh keyakinan bahawa Tok Guru Haji Hadi tidak akan dicabar, Cikgu Pa juga berani meramalkan bahawa jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Mat Sabu, akan ada pencabarnya.

Jika kita melihat pada tradisi sebagaimana kronologi di atas, memanglah sejak 2003, hampir setiap tahun pemilihan ada pertandingan bagi jawatan timbalan presiden namun apakah itu cukup untuk meyakinkan kita pada kata-kata Cikgu Pa, ataupun beliau sendiri juga tidak yakin melainkan sengaja mengatakannya begitu sekadar untuk menyedapkan hati sendiri.

Akhirnya, lihatlah semalam, Pas Kawasan Pendang, Kedah menerusi kenyataan Yang Dipertuanya, Datuk Mohamed Taulan Rasul menyifatkan kenyataan Cikgu Pa itu lebih bersifat peribadi, dan tidak akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat pada muktamar Pas kawasan itu nanti. 

Menurut Mohamed Taulan, pihaknya akan mengutamakan kehendak ahli akar umbi termasuk dalam pencalonan apa jua jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden.

Di Kedah, selain Pas Kuala Kedah yang diketuai Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi diketahui kubu kuat Mat Sabu, Pendang juga adalah antara kawasan yang mempunyai pengaruh Timbalan Presiden Pas itu.

Paling menarik untuk diberi perhatian dalam situasi ini ialah kelmarin, Mat Sabu dilaporkan telah menghadiri satu program di Terengganu, negeri Tok Guru Haji Hadi sendiri.

Apakah ini boleh dianggap tanda awal cubaan untuk mencabar Presiden apabila kubunya sendiri mula 'diserang'?

Apa mungkin Pas Kawasan Batu yang diketuai Ishak Surin, penyokong kuat Mat Sabu akan mencalonkannya untuk mencabar Abdul Hadi?

Ishak juga antara pemimpin Pas yang paling ke depan mencadang supaya Hadi diangkat ke jawatan Mursyidul Am menggantikan arwah Tok Guru Nik Aziz yang dilihat sesetengah pihak sebagai isyarat supaya dibuka laluan mudah untuk Mat Sabu terus ditabal sebagai Presiden Pas.