• MUHAMAD MAT YAKIM MUHAMAD MAT YAKIM
1 /

TULISAN saya dalam Kelab 40 minggu lalu mendapat respons yang agak panas daripada pembaca. Saya meneliti kesemua respons itu menerusi www.sinarharian.com.my dan juga laman Facebook di bilik 635 hotel Doubletree by Hilton di Piccadilly, tengah-tengah kota Manchester, United Kingdom. 

Mujurlah bilik itu dilengkapi kemudahan i-Mac membuatkan saya tidak terputus maklumat dengan apa berlaku di tanah air, termasuk ‘kemarahan’ pembaca wanita Kelab 40 terhadap diri saya gara-gara perumpamaan saya gunakan dalam tulisan itu. 

Seorang pembaca wanita yang mengakui dirinya peminat setia Kelab 40 - saya pun tidak sangka ruangan ini ada peminat - telah menghangatkan tengah hari Manchester saya yang berhawa lima darjah selsius dengan kata-kata: “saudara telah berjaya membangkitkan kemarahan seorang peminat setia saudara ...”

Dan kemudian dia bertanya lagi: “Apakah isteri saudara tidak marah membaca apa yang saudara tulis?” 

Jawapan saya: “Saya tidak pasti sama ada isteri saya sudah baca tulisan saya, sebab dia selalunya menunggu saya bawa balik (Sinar Harian), dia jarang sekali buka edisi online dan apabila saya tidak ada di rumah, saya tidak tahu sama ada dia baca ataupun tidak.” 

Jauh di lubuk hati saya, rasa berdebar juga kalau-kalau apa yang dikatakan itu benar. Namun mujurlah, apabila mendapat peluang berbual secara maya dengan isteri kemudiannya, yang saya sendiri mulanya cuba mengelak untuk menyentuh apa-apa mengenai tulisan saya dalam Kelab 40, isteri sendiri beritahu dia sudah membaca pojok saya itu. 

Lalu saya beranikan diri pula untuk bertanya, apakah dia tidak marah kepada saya? 

Isteri balas bertanya, mengapa? 

Saya katakan ada orang marah kerana perumpamaan saya gunakan ‘almari berjalan’ dan sebagainya untuk merujuk ‘wanita sihat’. 

Kemudiannya, barulah saya benar-benar terasa cool seiring dinginnya bumi Manchester yang saya tumpangi sementara itu apabila isteri menjawab, “tidak!” Katanya, tiada sebab pun untuk dia berasa marah kerana dia memahami cara penulisan saya yang suka berjenaka. 

Saya ke Manchester minggu lalu, hampir seminggu apabila diajak lelaki bermisai tebal dan bertopi ‘gauchos’ bernama Mister Potato untuk meraikan 45 pemenang peraduan anjurannya dari tujuh negara, termasuk Malaysia. 

Siapa sangka, makan kerepek kentang dan kemudian masuk peraduan, jika bernasib baik, dibawa makan angin ke Manchester selama seminggu dengan percuma.

Dan ini pula bukan sembarangan makan angin. Daripada pengalaman saya selama seminggu menyertai mereka, kalau bukan dengan Manchester United; Ultimate Experience Trip, mati hidup balik pun tidak akan dapat peluang yang begitu, berbual, bergambar dan mendapat autograf bintang-bintang Man U, masuk ke bilik persalinan mereka di Old Trafford, makan minum di Red Cafe dengan kerusi bertanda nama pemain dan juga di dalam bilik kaca khusus untuk VIP sambil menonton perlawanan, masuk ke kawasan larangan di Old Trafford yang peluang ini hanya diberi eksklusif kepada individu bertuah yang makan kerepek kentang Mister Potato sahaja.

Bagi saya pula, yang sekadar tumpang tuah mereka, peluang paling membanggakan apabila dapat duduk di kerusi merah Sir Alex. Itulah yang paling menarik. 

Saya bukan hendak membodek Mister Potato dan juga pasukan dari syarikat pengeluar kerepek kentang itu, Miss Cheok, Sze Hau, Michelle ataupun Zany yang menawarkan peluang ini, namun pengalaman eksklusif ke Man U yang diberi adalah benar-benar ultimate.

Tidak juga ku lupakan kepada bos-bos Sinar Harian yang mencalonkan nama ini sebagai wakil Sinar Harian.

Lagi pun sejarah saya ‘bersama’ Man U bukannya baru. Bagi generasi Kelab 40 yang menggilai Man U sejak awal seperti saya, kami sudah bersama sejak zaman Bryan Robson lagi. Ketika itu, Man U juga tidak kekurangan bintang berbanding sekarang. Sebut sahaja Gary Bailey, Ray Wilkins, Mike Duxbury, Norman

Whiteside, Frank Stapleton dan Kevin Moran, itulah barisan yang mengungguli Liga Inggeris pada 1982.

Ketika Sir Alex menyertai Man U pada 1986, saya di tingkatan tiga. Jadi, dalam keadaan yang sudah 30 tahun menggilai, tiba-tiba mendapat peluang menjejakkan kaki ke Old Trafford secara realiti, ia sudah pasti amat mengujakan.

Jadi kepada pembaca Kelab 40, minggu ini saya mungkin tidak dapat berceloteh seperti biasa. Saya mahu dedikasikan penghargaan kepada semua pihak yang beri saya peluang keemasan ini. Lagi pun, saya masih bimbang untuk menulis topik Adam dan Hawa seperti biasa kerana risau jika ada yang masih marah saya!