MALAM kelmarin, di sebuah restoran di Dataran Otomobil, Shah Alam, saya memesan murtabak. Pelayan yang saya percaya warga India itu mengangguk. Dalam beberapa saat kemudian, saya terperasan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Mana tidaknya. Pelayan itu menuju ke arah dapur tomyam sedangkan tempat murtabak di arah sebelah kanan. Sah, dia tidak faham bahasa rupanya.

Seorang pelayan lain yang berdiri tidak jauh dari saya juga perasan apa yang berlaku kepada rakannya itu, lantas dia memanggil dan beritahu, tukang masak tomyam tidak tahu buat murtabak dan dia harus ke meja tukang murtabak di sebelah kanan.

Pelayan yang kedua itu kemudian bertanya, "minum abang sudah mintak?" "Belum, bagi saya dragon fruit juice ..." Dia membalas tetapi sebutannya agak kurang jelas.

Dia seperti mahu mengajuk sebutan saya tetapi yang kedengaran 'tiger fruit juice'. Katanya, "tiger fruit juice tidak ada." Saya langsung tunjuk menu sambil dalam hati berbisik, "kau pun 2x5 juga!"

Dia kemudian  bertanya seseorang tentang minuman yang saya minta. Orang Indonesia rupanya pelayan yang kedua itu. Mulanya saya sangka dia orang tempatan.

Tidak lama kemudian, murtabak siap. Saya tanya kepada si tukang hantar, mana bawang besar dalam cuka bersirap yang biasa dihidang dengan murtabak.

Sekali lagi pelayan itu kebingungan hingga terpaksa panggil tukang buat murtabak sendiri datang ke meja saya.

Saya ulang tanya soalan yang sama kepada tukang buat murtabak. Terkejutnya saya apabila dia sebaliknya bertanya, "itu bawang mau taruk kicap ka?"

Saya kata, "bukan kicap tapi cuka, vinegar!"

"Oh! Saya tak tau ooo...," katanya mengaku. Pada suatu pagi, di sebuah restoran di Kota Damansara, saya ditanya pelayan warga India apa yang saya mahu untuk makan dan minum. Saya beritahu, roti canai dan teh. Kemudian dia bertanya lagi, "makan?"

Saya tanya dia semula, "itu roti canai bukan untuk makankah?" Ternyata dia tidak tahu apa yang dia cakap dengan saya dan apa yang saya cakap dengan dia melainkan setiap patah perkataan dihafalnya sahaja.

Apabila dia 'kehilangan', dia tidak teragak-agak untuk bertanya semula tanpa masalah dan tanpa rasa bersalah. Mujur seorang lelaki India yang sedang makan di sebelah meja saya terangkan semula kepada pelayan itu dalam bahasa Tamil.

Kalau tidak mungkin dia akan terus bertanya saya makan, minum, makan, minum entah berapa kali! Dua tiga tahun lalu, ada sebuah restoran mamak di Shah Alam yang saya kunjungi hampir setiap hari.

Kadang kala dalam sehari sampai dua atau tiga kali. Makanannya sedap, harga pun berpatutan tetapi selepas satu peristiwa, pijak kaki lima kedai itu pun saya tidak pernah, sampai sekarang.

Alkisahnya, pada satu malam, saya minta nasi goreng sardin. Si pelayan warga Bangladesh bertanya saya semula, "roti sardin?" Saya jawab, "bukan, saya mahu nasi goreng sardin!"

Dengan tidak semena-mena, dia ketawakan saya. Bersungguh-sungguh pula ketawanya. Dengan nada mengejek dia berkata, "nasi goreng sardin mana ada! Roti sardin ada la...." sambil menunjuk ke arah menu di dinding. Darah menyerbu naik ke muka. Malunya saya. Terasa sangat diperbodohkan oleh orang asing itu.

Kemudian dengan suara yang kuat juga, saya kata: "Ini negara saya, saya tahu apa yang ada, apa yang tidak ada di negara saya. Awak tu datang tumpang cari makan, jangan nak berlagak! Kalau tak ada (makanan yang saya minta) di kedai ini, cakap saja tak ada. Mengapa nak ketawakan saya?"

Terus masam manis, masam manis mukanya. Saya suruh dia pergi dan panggil pelayan lain datang ambil pesanan saya. Yang datang itu, lebih senior agaknya berkali-kali minta maaf sambil mengutuk kebiadaban rakannya itu.

Semasa bayar, saya beritahu pengurus kedai itu mengenai sikap kurang ajar stafnya. Apa yang buat saya bertambah sakit hati ialah dia bukan minta maaf malah berkali-kali membela anak buahnya itu atas alasan "dia tidak faham bahasa Melayu."

Saya kata, tidak faham bukan masalah tetapi yang saya tidak puas hati kerana dia ketawakan saya seolah-olah saya orang bodoh yang tidak tahu apa-apa, di hadapan orang ramai pula.

Inilah kehidupan kita di tanah air tercinta ini. Warga asing yang tidak faham sepatah pun bahasa kita, masih boleh datang dan bekerja, di barisan hadapan pula.

Saya bukan anti warga asing tetapi terfikir, kalau kitalah...jika hanya tahu berbahasa Melayu, sanggupkah berusaha sebegitu rupa, merantau ke negara orang untuk cari makan?

Rasanya, ini tidak akan berlaku kepada orang kita, juga tidak berlaku di negara lain melainkan hanya di Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LAZIMNYA, pengguna akan membuang saja beg yang sudah rosak atau koyak biarpun ada antaranya berjenama terkenal dan mahal harganya.
  • ALLAHYARHAM Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, bakal melangsungkan perkahwinan dan persandingan secara serentak bersama kakaknya, pada Mac tahun hadapan.
  • PERAK TENGAH - Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri, di sini, masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan fasa kedua sekolah berkenaan.
  • [VIDEO] MYDIN Mohamed Holding Bhd (Mydin) bekerjasama dengan AmMetLife Takaful Berhad (AmMetLife Takaful) melancarkan perlindungan Takaful iMeriah, eksklusif untuk ahli Kad Meriah Mydin yang layak di seluruh negara.
  • COX'S BAZAR - BANGLADESH. Disebalik penderitaan bangsa Rohingya di kem pelarian di sini, rupanya ada yang menganggap kehidupan di situ lebih seronok!
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.