SATU indikator perubahan, keterbukaan dan kemajuan dalam demokrasi adalah apabila pihak yang menang mengiktiraf undi minoriti. Antaranya termasuk menyediakan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat mewakili parti yang tewas dalam pilihan raya.

 Inilah yang sekian lama ditunggu oleh rakyat Malaysia, sebuah negara yang mengamalkan acuan pemerintahan Westminster - demokrasi berparlimen British - namun tegar dengan budaya politik lapuk yang meminggirkan pembangkang.

Meskipun sistem di negara ibunda Westminster sendiri telah mengalami berbagai fasa perubahan ke arah lebih mesra pembangkang sebagai menghormati keputusan rakyat,  apa yang berlaku di negara kita amat menyedihkan.

 Jangankan konstituensi, negeri yang diperintah oleh parti yang tidak sehaluan malah dinafikan hak mereka mendapat peruntukan termasuk royalti hasil bumi. Inilah yang berlaku atau sekurang-kurangnya pernah berlaku di negara kita.

 Hak rakyat seakan-akan diragut jika memilih pembangkang sedangkan mengikut prinsip demokrasi, setiap individu bebas untuk memilih pemimpin.

 Bagaimanapun, simpulan yang menyakitkan itu seakan terungkai sedikit apabila kerajaan baharu mengumumkan peruntukan disediakan kepada semua Ahli Parlimen termasuk wakil oposisi.

Walaupun hanya RM100,000 berbanding RM500,000 untuk wakil kerajaan, sekurang-kurangnya apa yang terhijab sejak sekian lama sudah  dibuka dan ini wajar diraikan.

 Sesungguhnya, gesaan ke arah ini bukan cerita baharu. Pada Mac 2016, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa kerajaan menyediakan geran kepada parti-parti politik.

 Langkah itu katanya boleh mencegah penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik yang terpaksa mengutip dana kempen lalu terhutang budi dengan pihak yang memberi.

 Ini sangat tidak baik dari perspektif integriti kerana mewujudkan ruang yang mencurigakan lebih-lebih lagi jika pihak yang menerima menang dalam pilihan raya.

 Dengan adanya geran yang diperoleh secara sah di sisi undang-undang, aliran keluar masuk dana boleh diaudit dan ini menjamin ketelusan dalam pentadbiran sesebuah parti.

 Di Britain, Ketua Pembangkang House of Commons diberi kedudukan setaraf dengan anggota Kabinet, gaji yang sama dengan menteri dan Speaker Dewan 142,000 Pound Sterling atau RM748,000 setahun. Begitu juga Ketua Whip Pembang-kang yang mendapat gaji 104,000 Pound Sterling (RM548,000) setahun.

 Sebaliknya di negara kita, keadaannya tidak serupa. Ketua Pem-bangkang Dewan Rakyat adalah anggota Parlimen biasa yang tidak mendapat keistimewaan atas jawatannya. Penjawat posisi itu hanya diberi sebuah pejabat di bangunan Parlimen dengan peruntukan yang terhad.

 Jika di Malaysia, peruntukan kepada Ahli Parlimen termasuk pembangkang yang baru diumumkan itu adalah lebih kepada biaya untuk menguruskan rakyat, di Britain ia adalah berbeza.

 Setiap wakil rakyat pembangkang di negara itu berhak mendapat peruntukan short money bagi membiayai urusan pejabat mereka termasuk penyelidikan yang harus dilakukan demi kepentingan rakyat.

 Parti politik pula mendapat peruntukan terus daripada suruhanjaya pilihan raya. Mereka tidak memerlukan belanja untuk pembangunan atau prasarana rakyat kerana semua urusan itu adalah tanggungjawab kerajaan tempatan.

 Pada 9 September 2015, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu mengulangi cadangan untuk memperkenalkan peraturan mengawal aliran dana parti-parti politik. Cadangan itu pernah disuarakan lima tahun sebelumnya.

 Menerusi peraturan yang mahu dinamakan sebagai Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik itu, kerajaan boleh memantau setiap sumbangan yang diterima dan dibelanjakan oleh parti-parti.

 Cadangan itu bagaimanapun ditolak oleh pembangkang ketika itu, yang juga adalah pemerintah negara hari ini.

 Kerajaan pada masa itu turut mengumumkan penubuhan Jawa-tankuasa Perundingan Kebangsaan Mengenai Pembiayaan Politik yang bertanggungjawab merangka pelan menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak ke arah merealisasikan cadangan itu.

 Walaupun pernah menolak, diharapkan kerajaan Harapan akan menimbang untuk membawa semula cadangan penggubalan akta itu ke Parlimen. Rakyat berhak untuk tahu sumber kewangan parti-parti politik kerana sebarang perhatian mengenainya dalam situasi yang tidak telus  tidak dapat lari daripada persepsi.

 Kadang kala ia terbabas untuk dikaitkan dengan isu kedaulatan kerana bukanlah rahsia dalam dunia politik, ada parti yang menerima dana pihak asing.

 Moga suatu hari nanti, apabila keadaan mengizinkan, bukan sekadar peruntukan untuk wakil rakyat malah parti politik termasuk pembangkang juga disediakan dana atas kedudukan mereka sebagai komponen dalam sistem demokrasi berparlimen, sebagaimana yang dicadangkan Tan Sri Abdul Khalid.

* Penulis Felo Universiti di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM