BELUM hilang dakwat di jari, apakah rakyat Kedah terpaksa mengundi lagi?

Ini yang tergambar di fikiran tatkala menatap kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dua hari lalu.

Menurut Mukhriz, hal itu boleh berlaku sekiranya usaha melantik Speaker Dun terus buntu.

Undang-undang tubuh negeri menetapkan bahawa persidangan Dun mesti diadakan tidak lewat dari tempoh 120 hari selepas Dun dibubarkan. Dan sekiranya tidak ada persidangan dalam tempoh setiap enam bulan, Dun boleh terbubar secara automatik.

Yang menjadi masalah pada masa ini ialah cadangan calon Speaker oleh Kerajaan PH ditolak oleh pembangkang (baca: Pas).

Pas mempunyai alasan untuk bertindak demikian setelah tawaran parti itu untuk menubuhkan Kera-jaan Perpaduan beberapa hari selepas PRU14, ditolak oleh Mukhriz.

“Apabila Mukhriz menolak cadangan kami, ini bermaksud beliau sedia menanggung risiko. Takkanlah apabila tawaran kita ditolak, kami kena terima pula cadangannya untuk melantik Speaker,” kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi petang semalam.

Muhammad Sanusi yang juga Adun Jeneri berkata, beliau membawa cadangan Kerajaan Perpaduan kepada Mukhriz bagi mengelak kemelut dalam pentadbiran setelah menyedari kedudukan komposisi 50-50 wakil kerajaan dan pembangkang dalam Dun sememangnya sukar untuk ditangani.

“Awal lagi kami sudah tunjuk jalan untuk mengelak masalah ini tapi mereka tak sudi. Sekarang mahu kami bersetuju dengan mereka pula. Apa yang saya boleh katakan, kami tidak akan setuju sehinggalah mereka terima cadangan Kerajaan Perpaduan yang kami tawarkan,” katanya.

Pada PRU14, 9 Mei lalu, PH mendapat 18 kerusi manakala Pas, 15 dan BN, tiga kerusi. Meskipun Pas dan BN tidak bergabung secara rasmi, kiraan mengikut blok memberikan pembangkang 18 kerusi dalam komposisi Dun.

Ini sekali gus meletakkan kerajaan dan pembangkang mempunyai bilangan kerusi yang sama banyak iaitu 18:18 daripada 36 kerusi Dun Kedah.

Justeru, kerajaan memerlukan satu undi tambahan bagi mendapatkan majoriti mudah untuk meluluskan suatu rang undang-undang dengan kedudukan 19:18.

Untuk itu, Kerajaan PH memerlukan calon Speaker yang boleh menyokong mereka mendapat undi penentu yang amat diperlukan itu.

Bayangan yang diberikan oleh Mukhriz menerusi kenyataannya bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya masalah itu tidak selesai secara kompromi dengan pembangkang mungkin sekadar mahu memberikan tekanan kepada Pas. Atau itu mungkin juga taktik Mukhriz supaya Pas dilihat sebagai antagonis yang tamak kuasa hingga menyebabkan pilihan raya semula terpaksa dijalankan.

Beliau mungkin mahu pemimpin Pas negeri dilihat sebagai sukar untuk berkompromi hingga mengakibatkan rakyat perlu keluar mengundi sekali lagi selain kerajaan juga perlu keluar belanja banyak.

Dalam keadaan ini, Pas bagai-manapun dilihat telah bersiap sedia dengan mengemukakan tawaran Kerajaan Perpaduan lebih awal.

Ertinya, pembangkang mempunyai alasan konkrit untuk menolak harapan Mukhriz yang mahu  Pas berikan restu mereka bagi pelantikan Speaker Dun setelah beliau sendiri tolak cadangan parti.

Kita tidak pasti apa yang telah dirundingkan antara Muhammad Sanusi dengan Mukhriz berkaitan cadangan Kerajaan Perpaduan namun secara logiknya, sudah pasti hal pembahagian kerusi Exco disebut.

Kita tolak tepi pasal Exco, bagaimana pula sekiranya dicadangkan untuk menyelesaikan kebuntuan ini sekali gus mengelak PRN terpaksa diadakan yang boleh menyusahkan rakyat dan kerajaan, dibuka ruang kompromi pihak kerajaan untuk  terima wakil Pas sebagai Speaker?

Pas tidak perlu ada wakil dalam Exco tetapi jawatan Speaker diberikan kepada mereka. Bagaimana?

Cadangan ini tidak melukakan untuk ditimbang dan dirundingkan melainkan hanya dengan sedikit kompromi kerana PH akan kekal sebagai kerajaan tanpa perlu ada pilihan raya semula, dan Pas yang mewakili sebahagian rakyat negeri dengan 15 kerusi, turut mendapat peluang menduduki posisi pentadbiran negeri yang paling kanan.

Sekiranya di pihak kerajaan ada kebimbangan mereka boleh kalah satu undi disebabkan undi Speaker daripada Pas, kita percaya hal itu tidak akan berlaku meskipun dalam hal sepenting bajet.

Kompromi akan dibalas dengan kompromi juga demi maslahat rasa hormat dan keyakinan rakyat. Begitu juga mengenai kemungkinan akan berlakunya diskriminasi dalam perbahasan sidang Dewan.

Peranan Speaker Dun,  adalah tertakluk kepada undang-undang dan tata cara yang ketat, perlu sentiasa menunjukkan kebijaksanaan dan tiada pilih kasih.

Ini penting kerana setiap Speaker dewan perwakilan perlu mengekalkan profesionalisme dalam setiap tutur kata dan tindak tanduknya bagi mendapatkan rasa hormat yang tinggi daripada ahli Dewan yang amat diperlukan untuk memudahkan urusannya mengendalikan persidangan.

Dalam konteks ini, orang paling sesuai untuk diketengahkan sebagai calon Speaker Dun Kedah daripada Pas ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.