KALAU balik berbuka puasa di kampung, saya pasti cari cucur balak. Cucur balak hanya ada di kampung saya di Mahang, Kedah. Di pasar Ramadan Pekan Mahang, jumpa cucur balak, saya mesti borong habis tanpa tinggal sebiji pun.

Kalau bukan di bulan puasa pun, cucur balak di kedai kopi Pak Teh Chop, akan licin bekasnya saya bawa balik untuk bersarapan. 

Cucur balak yang sangat masyhur di Mahang dan kawasan sekitarnya itu dibuat daripada tepung gandum yang dicampur dan dilenyek dengan keledek. Adunan digaul dengan kucai, kemudian digulung sepanjang kira-kira empat inci. Setelah itu, digoreng. Cucur yang sudah digoreng, dilubangkan memanjang pada badannya untuk diisi kuah kacang.

Sudah jadi macam kelas memasaklah pula Kelab 40 minggu ini!

Hampir 40 tahun sudah berlalu, hingga sekarang saya masih lagi belum temui pengganti cucur balak paling sedap buatan ibu saudara saya, Allahyarham Mak Ngah Nyah dari Kampung Ulu Mahang yang sekarang jadi legenda bagi saya. Tiada lagi cucur balak sesedap air tangannya. Bukan cucurnya sahaja yang sedap, kuah kacang pun rasanya lain dari yang lain.

Sekarang memang ada peniaga kuih generasi baharu di Pekan Mahang yang jual cucur balak. Akan tetapi pada penilaian saya, cucur mereka walaupun boleh dikira sedap, masih tidak setanding buatan Mak Ngah Nyah yang sudah jadi kenangan itu.

Itu pun baru-baru ini, saya mulai berasa bimbang apabila mendapati cucur balak untuk sarapan di kedai kopi Pak Teh Chop begitu cepat habisnya. Belum pukul lapan, bekasnya sudah licin. Apabila saya tanya Pak Teh, mengapa cepat sangat habis? Katanya, dahulu dia dapat bekalan daripada dua pengusaha, sekarang sudah tinggal satu.

"Orang tua Mat... dia bagi alasan dah tak larat nak buat cucur ni," katanya.
 
Saya bimbang kalau-kalau suatu hari nanti, cucur balak Mahang juga akan tinggal kenangan, tidak sempat lagi dinikmati kesedapannya oleh cucu cicit saya sebagaimana balak di hutan juga, yang kian hari, makin cerah ditebang atas nama pembangunan dan kemajuan.

Apa pun, cucur balak memang terbaik dan jadi kebanggaan anak Mahang, termasuk yang sudah lebih 20 tahun merantau seperti saya.

Mengingat kuih-muih tradisional kita, saya tertanya-tanya mengapa juadah yang jadi kegemaran dan membanggakan kita itu tidak dipasarkan secara meluas ke seluruh dunia? Mungkin ada kaitan atau bersebab dengan namanya. 

Katakan kita mahu hantar kuih-muih kita ke Eropah atau Amerika, pada bungkusan produk, dalam bahasa apa kita mahu tulis nama kuih itu?

Jika kita guna bahasa Inggeris bagi cucur badak, apakah kita boleh tulis ‘fried rhino’? 

‘Jump and stab’ bagi lompat tikam. ‘Ducks’ shit’ untuk kuih kebanggaan anak Kelantan, tahi itik. Kuih badak berendam, apakah kita mahu tulis 'soaking hippo' pada labelnya? 

Dan 'elephants' ear' bagi kuih telinga gajah atau kuih tiram.

Mungkin kita boleh bayangkan bagaimana pegawai kastam di negara itu akan tergaru-garu kepala kerana menyangka kita hantar barang larangan ke negara mereka.

Ini mungkin juga akan menyebabkan kita dituduh sebagai bangsa Asia yang ganas dan tidak bertamadun lagi pengotor. Masakan bukan pengotor kalau 'ugly stick' yakni batang buruk pun kita makan?

Kalaulah cucur balak kesukaan saya itu dieksport juga, apakah kita labelkan ia sebagai 'fried timber'?

Sudah tentu mereka di atas angin sana menyangka kita di sini daripada keturunan gergasi yang makan pokok kayu hutan.

Dan agaknya mereka akan anggap kita tidak senonoh kerana menamakan kuih yang sedap dari Pantai Timur sebagai 'bathing princess' atau puteri mandi.

Mereka juga mungkin akan menyangka kita hantar kosmetik apabila melihat label kuih seri muka pada kotaknya. Janganlah ada yang sampai ambil dan tenyeh-tenyehkan kuih itu di muka mereka sendiri.

Apa pun, cerita daripada kawan saya penjual apam balik di tengah-tengah Kuala Lumpur ini mungkin boleh mengiakan bahawa masalah bahasa punca makanan kita sukar diterima oleh orang putih.

Suatu hari, gerai kawan saya itu didatangi sepasang pelancong asing yang bertanya akan nama kuih itu. Dia yang bahasa Inggerisnya pun ala-ala, langsung menjawab: “‘Go back’ apam!” 

Sambil berkata “sorry”, pasangan itu segera berlalu dengan wajah yang cemas ketakutan!