KALI pertama tiba di bandar Kuala Terengganu pada suatu tengah malam penghujung 1990an, saya terpaksa berkongsi katil dengan seorang rakan di sebuah hotel bajet  tidak jauh dari bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu. Itu bukanlah pengalaman yang menarik untuk dikenang.
 
Esoknya – siang – saya terkejut melihat rupa sebenar Kuala Terengganu yang banyak ruangnya diisi dengan bangunan usang, dinding zink berkarat malah ada yang terkopak, rumah-rumah lama,  juga warung  nasi dagang, nasi minyak dan keropok lekor yang dipacak seperti rumah setinggan.
 
Malamnya, saya lebih terkejut lagi apabila terserempak dengan sekumpulan lelaki sekadar berkain pelekat dengan baju T, bersembang di depan Astaka – pasar raya paling gah di Kuala Terengganu pada masa itu – seawal jam lapan malam.

Ini mengesahkan tanggapan bahawa Kuala Terengganu bukanlah bandar besar melainkan sebuah kampung yang besar. Itulah wajah pusat pentadbiran sebuah negeri yang digelar ‘Kuwait Malaysia’ kerana kekayaan emas hitam di dasar lautnya.
 
Saya bukan mahu menghina. Tetapi akan ciri-cirinya, bahawa orang Kuala Terengganu baik yang tinggal di Kampung Kolam, Chendering, Kuala Ibai, Losong, Bukit Kechil, Gong Badak, Bukit Tok Beng atau Seberang Takir, mereka masih  saling mengenali dan bertegur sapa jika berselisih di Kedai Payang atau di mana-mana tempat lain di pusat bandar.
 
Saya tahu tentang itu kerana sejak kunjungan pertama yang mengejutkan itu, saya sering ke Kuala Terengganu.

Saya berulang alik ke sana setiap dua atau tiga bulan dan akan berada di bandar itu tiga hingga empat hari bagi setiap kunjungan. Bertahun-tahun lamanya hingga 2003. Kemudian pada 2008, saya kembali semula ke Kuala Terengganu.
 
Pernah terkejut ketika kunjungan pertama, kali ini pun saya terkejut juga. Sungguh tidak sangka wajah Kuala Terengganu yang mengejutkan saya dahulu sudah pun hilang, diganti dengan rupa baharu yang membuat saya terkejut untuk kali kedua.
 
Ternyata dalam tempoh yang sangat singkat – hanya sepenggal sebagai menteri besar – Idris Jusoh berjaya mengubah wajah ibu negeri itu dengan sentuhan Midasnya.  
 
Bangunan usang berdinding zink di tengah pusat bandar yang banyak dahulu sudah hampir tidak ada meskipun saya sendiri berasa rindu juga hendak melihat rumah-rumah kampung yang dahulu banyak di sekitar Grand Continental yang selalu saya ‘skodeng’ penghuninya dari tingkat atas hotel itu. 
 
Juga saya masih rindu akan kemeriahan tengah malam kedai Pok Long di pangkal Jalan Sultan Sulaiman berhampiran Bulatan Ladang di mana saya selalu duduk minum kopi tongkat ali bersama wartawan/ aktivis budaya, Mohd Lazim Endut.

 Sekarang, kedai Pok Long dan kedai-kedai lain di tempat itu sudah tidak ada, diganti dengan bangunan yang agam lagi moden.
 
Kuala Terengganu hari ini sudah tidak seperti dahulu.  Saya dapat memahami perasaan Awang Goneng yang diungkap menerusi bukunya ‘Growing Up in Terengganu’ setelah melihat tapak kampungnya hilang satu persatu.
 
Itulah harga kemajuan dan pembangunan. 
 
Setiap hari orang bercakap hendak menjadikan negeri atau negara maju. Tetapi kita tidak harus bercakap tentang kemajuan semata-mata jika nilai-nilai baik yang ada, yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat sejak sekian lama, tidak mampu hendak dipertahankan.
 
Ini bukan soal sentimental pada rumah-rumah buruk yang bagi orang gilakan kemajuan, pemandangan seperti itu hanya menyakitkan mata mereka.
 
Kuala Terengganu – juga bandar-bandar lain di negara kita – harus bersungguh-sungguh mempertahankan segala nilai yang baik itu.

Ya, ia memang sukar tetapi kita tidak punya pilihan!
 
Pengabaian hanya akan menjadikan kita sesat dalam belukar kemajuan yang manifestasinya adalah kerosakan. 
 
Saya akan berasa sedih jika Kuala Terengganu hilang ciri-ciri kampung besarnya suatu hari nanti. Ini bukanlah bermakna saya hendak terus melihat orang berkain pelekat dengan baju T di tengah-tengah pusat bandar seperti di Sabasun atau  Mydin Mall sampai bila-bila.

Itu pun  akan membuat saya berasa sedih juga, seperti yang pernah saya alami ketika kali pertama memijak kaki di Kuala Terengganu penghujung 1990an dahulu.
 
Berbicara soal kemajuan, tidak ada siapa pun yang akan menolak kemajuan termasuk saya. Jika ditanya kepada pengusaha bot penambang yang berulang alik ke Seberang Takir, mereka pun mahu kemajuan juga meskipun kemajuan akan menyebabkan rezeki mereka semakin hari semakin sempit.

Jambatan yang akan dibina mungkin akan menyebabkan bisnes mereka terpaksa gulung tikar!  
 
Akan tetapi kemajuan tidak seharusnya membuatkan kita tersesat. Bandar-bandar seperti Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Alor Setar harus gagah mempertahankan maruah!