BAGI pemain industri persuratkhabaran, ledakan teknologi yang membawa perkembangan pesat media online, adalah seumpama garuda dalam epik silam. Mereka hanya diberi dua pilihan: Bersekutu dengan ‘garuda’ itu ataupun dibunuh perlahan-lahan.

Itulah yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan, dengan yang terbaru, akhbar The Independent di United Kingdom yang sudah pun berada dalam pasaran selama 30 tahun, terpaksa menghentikan penerbitan edisi cetaknya bermula bulan lepas. Sejak itu, ia hanya boleh dicapai secara online.

Penerbitnya mengambil langkah untuk bersahabat dengan sang garuda, demi menyelamatkan nyawa!

Ini terpaksa dilakukan berikutan kemerosotan teruk jualan edisi cetaknya sejak beberapa tahun kebelakangan. Pada Disember 2015, hanya 56,074 naskhah The Independent dijual berbanding 421,829 naskhah pada zaman kegemilangannya sekitar 1989.

Bukan The Independent sahaja. Di Amerika Syarikat, akhbar-akhbar seperti Philadelphia Inquirer, Chicago Sun-Times, Minneapolis Star Tribune dan Boston Globe, kesemuanya telah beralih ke era digital.

Ini terpaksa dilakukan apabila kejatuhan perniagaan akhbar-akhbar ini mencecah lebih 90 peratus, suatu angka besar yang membawa petanda ia boleh mati jika tidak berhijrah.

Menyorot senario di Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Mohd Noordin Abbas ketika persidangan Publish Asia 2016 di Manila minggu lalu, menyatakan sirkulasi surat khabar di negara ini telah merosot daripada 4.1 juta naskhah sehari pada 2013 kepada tiga juta pada 2015, penyusutan sebanyak 1.1 juta hanya dalam tempoh dua tahun.

Sebaliknya bagi akhbar yang sama dalam versi digital, ia mencatatkan peningkatan daripada 100,000 kepada 300,000 untuk tempoh sama. Apa yang berlaku ada kaitan dengan kadar penembusan Internet di negara ini yang meningkat daripada 67.2 peratus pada 2014 kepada 72.2 peratus pada 2015. Selain itu, kadar pemilikan telefon selular dalam kalangan rakyat Malaysia adalah lebih tinggi berbanding populasi iaitu 145.8 peratus.

Ini meletakkan kadar capaian terhadap media online adalah tinggi sekali gus mempengaruhi orang ramai untuk beralih daripada surat khabar sebagai sumber maklumat tradisi kepada akhbar versi digital.

Bagaimanapun apa yang ditanggap oleh banyak pihak sebelum ini bahawa media cetak akan mati, tradisi membaca surat khabar ketika minum pagi akan terhenti dalam tempoh sedekad ini, tidak semestinya benar.

Berbanding di Eropah dan Amerika, hayat surat khabar di Asia masih bertahan meskipun telah mula menunjukkan penurunan.

Benarlah apa yang dikata oleh taikun media dunia, Rupert Murdoch bahawa surat khabar hanya ‘semakin pupus’. Beliau tidak menyebut ia akan lenyap!

Dalam pada itu, beralih daripada penerbitan bercetak kepada edisi online sepenuhnya juga bukanlah sesuatu yang mudah.

Newsweek, majalah terkemuka Amerika Syarikat – dan dunia – yang membuat keputusan beralih daripada edisi cetak kepada digital sepenuhnya pada Oktober 2012, telah membuat pusingan U untuk menerbitkan semula edisi cetak pada 2014.

Ini berkait dengan apa yang disebut oleh Shayne Currie, Editor Pengurusan New Zealand Herald yang menyatakan pengintegrasian operasi bilik berita adalah langkah paling berkesan untuk menangani perubahan, bukan menukar sepenuhnya penerbitan daripada edisi cetak kepada digital.

Di Publish Asia 2016, Currie telah membentangkan secara terperinci format pengoperasian bersepadu bilik berita NZ Herald yang melibatkan petugas digital, cetak, radio, video dan fotografi,  yang kesemuanya bergabung dalam satu pasukan. Mereka berintegrasi secara 24/7 dalam setiap operasi editorial di semua peringkat dan di semua lapangan, di dalam mahupun di luar pejabat.

“Ini adalah apa yang kita tidak boleh elak untuk lakukan dalam menghadapi perubahan,” katanya.

Apa yang telah berlaku di Eropah dan Amerika jadi teladan bagi Asia, yang masih mempunyai ruang untuk menangani cabaran dengan lebih berhati-hati berikutan pertumbuhan Internet yang sedikit terkemudian.

Penganalisis industri, Ken Doctor berkata, ramai penerbit yang panik melihat trend kejatuhan jualan telah bertindak melulu menyertai era digital - dengan tanggapan tidak mahu ketinggalan - malah ada yang terus menutup edisi cetak.

Ironinya, di Barat, tiada siapa yang berjaya meskipun sudah dua dekad tindakan seperti itu dilakukan.

Puncanya, kejatuhan jualan mencetuskan masalah kewangan bagi penerbit. Mereka gagal untuk meningkatkan pendapatan selama bertahun-tahun dan ini menyukarkan usaha mereka untuk melabur dalam format digital, kata Doctor.

Hal ini ditambah pula bagi mereka yang telah melabur ke dalam operasi digital, setelah mengeluarkan kos, masa yang diperlukan adalah terlalu lama untuk mendapat pulangan.

“Ini yang jadi masalah mengapa meskipun media online pesat berkembang, masih ada penerbit yang mengeluh,” kata Doctor.

Bagaimanapun sesuatu yang agak mengejutkan didedahkan di Manila baru-baru ini.

Ketika pemain industri di seluruh dunia runsing memikir langkah berkesan untuk menyelamatkan akhbar cetak mereka, dua penerbit Asia – Jawa Pos dan Times of India – tampil bergaya menyatakan: “Jangan risau, kami ada jalannya!”

Azrul Ananda, Presiden Jawa Pos berkata, apa yang paling perlu untuk menangani cabaran ini ialah dengan kembali ke dasar – memantapkan hubungan dengan pembaca, seerat yang mungkin.

“Ini yang perlu dilakukan oleh semua warga surat khabar,” katanya di persidangan Publish Asia 2016 minggu lalu.  

Keupayaan Jawa Pos sememangnya signifikan untuk dijadikan perbandingan dan teladan. Ia seumpama merealisasikan apa yang sebenarnya boleh dikira mustahil!

Mengikut Roy Morgan Research 2015, kadar penembusan Internet di Indonesia adalah sebanyak 43 peratus manakala kadar pembacaan akhbar, 34 peratus.

Bagaimanapun di Surabaya, di mana akhbar Jawa Pos berpangkalan, angka yang ditunjukkan adalah sebaliknya.

Kadar pembacaan akhbar di kota kedua terbesar Indonesia itu adalah sebanyak 52 peratus – jauh lebih tinggi berbanding perangkaan nasional – namun kadar penembusan Internet hanya sekadar 36 peratus.

Grup Jawa Pos bukan hanya menerbitkan akhbar Jawa Pos dengan edaran dua juta naskhah setiap hari meliputi wilayah Jawa Timur, Bali, Jogjakarta dan sebahagian Jawa Tengah, bahkan juga menerbitkan lebih 200 jenama akhbar lain. Akhbar-akhbar Grup Jawa Pos boleh didapati dari Acheh hingga Papua dengan pelbagai jenama dan identiti mengikut wilayah masing-masing. Ada akhbarnya yang mencatat pendapatan setinggi 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.   

“Kuncinya,  jangan berhenti untuk terus aktif dan kreatif. Fokus kepada berita lokal dan isu-isu regional. Juga sediakan platfrom bagi anak muda. Terserah kepada anda, sama ada mahu berinovasi ataupun tidak,” katanya.

Menyelidiki latar belakangnya, Azrul sejak memimpin Grup Jawa Pos telah melakukan banyak pendekatan untuk merakyatkan akhbar itu, termasuk menganjurkan Liga Pembangunan Bola Keranjang (DBL) melibatkan penuntut institusi pengajian  seluruh Indonesia. Beliau kemudian menubuhkan pula Liga Bola Keranjang Nasional (NBL) yang membabitkan puluhan ribu pemain dan petugas profesional. NBL kini muncul liga sukan kedua terbesar Indonesia selepas liga bola sepak nasionalnya.

Manakala bagi petugas di lapangan, terutama wartawan, mereka diberi penekanan untuk beramal dengan konsep hyper local, bukan sahaja dalam pemberitaan malahan juga dalam aktiviti  bersama masyarakat.

Menurut Pengurus Pemasaran Jawa Pos, Kiagus Firdaus, setiap wartawan terutama yang bertugas dengan akhbar lokal dianjurkan untuk mempunyai grup media sosial sendiri dan dari masa ke semasa, harus aktif menganjurkan program dengan anggota komunitinya. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti mudah seperti menanam pokok, beriadah pagi dan sebagainya. “Inilah yang sebenarnya memberi kesan dalam memantapkan hubungan Jawa Pos dengan masyarakat,” katanya.

 Sementara Sanat Hazra, Pengarah Teknikal Times of India pula dengan nada yakin berkata, “kitalah yang sebenarnya melakar  masa depan kita sendiri!”

 Lebih proaktif dalam mendekatkan hubungan dengan pembaca dan sering berinovasi adalah langkah dilakukan oleh Times of India dalam memastikan kelestariannya di negara yang mempunyai lebih 82,000 jenama akhbar itu.

Untuk tujuan itu, kata Hazra, pihaknya melakukan inovasi secara berkala, membahagikannya kepada enam fasa dalam tempoh antara November 2011 hingga Oktober 2015.

 “Secara purata, pada setiap period, kami melaksanakan antara 10 hingga 20 program inovasi. Hasilnya memang menggalakkan,” katanya.

Ini membuktikan bahawa industri persuratkhabaran sebenarnya masih mempunyai masa depan. Apa yang penting ialah bagaimana warganya berperanan, daripada penerbit hinggalah wartawan, mereka harus berupaya untuk mempengaruhi pembaca untuk terus setia.

Selain berasa ‘dekat’, maklumat yang dibawa seharusnya telus dan tepat.

Iyalah, sememangnya kurang enak minum kopi pagi tanpa surat khabar meskipun sudah ada telefon pintar!