BUKAN mudah menjadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau akan masuk gelanggang merebut jawatan Presiden Umno 30 Jun ini dalam keadaan bahunya memikul beban.

Zahid orang No. 2 dalam rejim terdahulu, rejim yang telah dihukum oleh rakyat pada pilihan raya yang lepas dengan penghukuman yang terbesar dalam sejarah.

Apabila Datuk Seri Najib Razak ambil keputusan berundur daripada parti, sebagai orang No. 2, ada sesetengah orang melihat Zahid juga patut berundur.

Lalu  apabila beliau umum mahu bertanding jawatan No. 1 atas semangat mahu memulihkan parti, tidak mudah untuk sesetengah orang Umno sendiri terima.

Walaupun skandal 1MDB yang menjatuhkan Barisan Nasional daripada tampuk kuasa lebih berpusat kepada Najib, Zahid ada peranan antagonisnya juga.

Siapa boleh lupa akan cerita Zahid berjumpa dengan penderma Arab yang mengaku sedekah RM2.6 bilion ke akaun Najib?

Malah adalah lebih terhormat kiranya Zahid mengambil langkah berundur untuk dilihat sama bertanggungjawab, seperti apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Hisham-muddin Hussein.

Dalam keadaan ini, Khairy Jamaluddin walaupun daripada rejim yang sama, beban dipikulnya tidaklah seberat Zahid. KJ bagai-manapun telah mengambil langkah pantas untuk memisahkan dirinya daripada kemarahan rakyat terhadap Barisan Nasional  sejurus berakhirnya pilihan raya.

Beliau membuat banyak kenyataan mengakui kesilapannya sebagai anggota Kabinet dan Ketua Pemuda Umno tidak mengambil langkah yang betul untuk mengelak kerosakan menjadi begitu teruk.

Apa jua pun tanggapan orang, mengikut budaya Melayu, permohonan maaf dan kenyataan yang seperti ini akhirnya akan diterima. Tambahan pula, KJ tidak mempunyai rekod membela Najib ataupun 1MDB dengan cara seperti apa yang telah dilakukan oleh Zahid.

Sekurang-kurangnya apa yang dilakukan masih boleh memberi imej yang lebih baik untuk beliau masuk ke gelanggang dengan bahu yang lebih ringan.

Walaupun Barisan Nasional  telah tumbang, KJ tetap berupaya untuk memperlihatkan dirinya sebagai harapan aspirasi baharu untuk masa hadapan, sama ada dalam mahupun luar Umno.

Namun apabila yang disainginya adalah Ku Li, tokoh yang dianggap paling layak untuk menyaingi Tun Dr Mahathir, ada sesetengah pihak anggap belum masanya lagi untuk KJ masuk gelanggang. Beliau dirasakan lebih baik memberikan Ku Li laluan.

Adanya KJ bagi sesetengah pihak seakan mengacau peluang untuk Ku Li mengembalikan Umno kepada semangat asal untuk bersaing dengan Pakatan Harapan.

Zahid sendiri tidak akan berupaya untuk memberikan Ku Li saingan sebagaimana Khairy.

Namun itulah faktor masa dan situasi sebagai pemboleh ubah dalam politik. Sama ada terlalu cepat, tepat pada masa atau terlambat hingga langsung terlepas peluang, ia akan selalu jadi dilema bagi ahli politik.

Jika ada pihak yang anggap ini bukan masa bagi KJ untuk bertanding, dia masih muda dan punya banyak masa lagi untuk naik jadi pemimpin No. 1 Umno dan mungkin negara pada masa akan datang, mungkin ini satu-satunya peluang yang beliau ada.

Mungkin ini masa yang paling sesuai untuknya ketika Umno sedang jatuh dan ahli akar umbi mengharapkan tokoh baharu yang muda lagi perkasa untuk mengembalikan semula Umno ke persada.

Apa pun, sebagai pemimpin pelapis yang berpotensi, KJ dilihat masih kurang imej Islami yang amat diperlukan sebagai  pemimpin utama parti dan mungkin juga negara suatu hari nanti.

Dalam budaya masyarakat Melayu yang tidak lari daripada akar agamanya, imej Islami sangat penting untuk seseorang pemimpin diterima di peringkat nasional.