KELMARIN ulang tahun kelahiran saya ikut kalendar lunar. Sudah 44 tahun. Ini bermakna Kelab 40 juga sudah berusia empat tahun. Apabila sampai tarikh ulang tahun kelahiran, apa yang seharusnya kita fikirkan?

Sejak usia masuk 40, ingatan yang  datang bersama tarikh 25 Mac ialah baki (usia) yang tinggal tidak akan sama banyak dengan yang telah ditinggalkan. Ertinya, kita semakin hampir dengan kematian. Mengambil kira hadis Nabi SAW, bahawa purata usia umat Baginda antara 60 hingga 70 tahun, maka tidak lama lagilah saya di dunia ini.

Meskipun ajal maut itu ilmu ALLAH SWT tetapi kita maklum bahawa jarang ada orang sekarang yang boleh bertahan sehingga 88 tahun. Kalau dahulu, waktu kanak-kanak atau remaja, tidaklah saya terfikir seperti ini. Walaupun sedar ajal boleh datang bila-bila masa namun kematian seolah-olah masih terlalu jauh dengan kita.

Tetapi sekarang lain. Sejak umur masuk 40, berbeza sungguh perasaannya. Benarlah kata orang, umur 40 itu titik peralihan. Life begin at forty. Hadis Nabi SAW, riwayat Ibn Abbas RA pun ada menyebut: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”

Itulah apa yang saya fikir setiap kali hari ulang tahun sejak empat tahun lalu.

Demi ALLAH!

Ini bukan untuk saya menunjuk baik tetapi yang sebenarnya kerana saya hamba ALLAH yang terlalu banyak dosa. Itu yang menakutkan. Malangnya, dalam mengingat, masih juga  terlupa dan akhirnya terjebak semula ke kancah dosa yang sama. Saya hamba ALLAH yang hina, masih bergelut dalam dunia amarah yang tidak sudah-sudah.

Setiap kali umur bertambah, baru teringat hendak bermuhasabah. Teringat dosa-dosa yang pernah saya lakukan dengan ALLAH, sesama manusia... dengan sesiapa sahaja. Sedang kematian semakin hampir, saya tetap juga tidak berubah. Kalaupun ada sedikit keinsafan, belum mencapai tahap istiqamah.

Sedang kalau kita renung ke dalam diri, kita mengaku Islam, mengaku beriman... mengaku kesemua apa yang disampaikan oleh Nabi, yang ilmu dan syariat ajarannya turun menitis kepada kita hari ini, bahawa kesemua itu benar belaka.

Kita sudah diajar hal syurga neraka. Kita tahu azab kubur itu bagaimana. Kita yakin yang akan dihimpit di dalam kubur hingga patah riuk tulang temulangnya adalah kita. Kita yang banyak dosa dan sombong tidak bertaubat hingga ke akhir nyawa. Kita juga tahu bahawa yang akan dibakar di dalam neraka nanti atas dosa-dosa yang kita tidak rasa bersalah melakukannya sekarang, adalah kita.  

Ya, kita tahu semua itu.  Kita yakin ini semua bukan dongeng, bukan cerita TV,  Tanah Kubur tetapi realiti yang akan kita lalui jika kita tidak sempat bertaubat hingga hembusan nafas terakhir. Tetapi dalam mengaku tahu, dalam mengaku yakin, tindak-tanduk  kita sebaliknya. Akhlak masih tidak terjaga, maksiat sekali sekala dibuat juga.

Dulu, semasa muda, jika terlintas mahu buat baik, seakan ada suara berbisik, "nantilah dulu, tunggu tua sikitlah, tunggulah nanti ada masa lapang sikit."

Ini termasuk dalam urusan mencari ilmu-ilmu yang fardu. Sekarang dalam usia sudah 44, masih tidak ada masa lapang juga. Ditambah pula dengan fizikal yang tidak lagi secergas dahulu. Penyakit yang dulu tidak ada, sudah datang menjengah. Badan sudah pandai berasa letih-letih. Yang tidak bertambah, ilmu. Alasan untuk mencari ilmu yang dahulu ditangguhkan, sekarang sudah bertambah. Macam mana mahu menghadap ALLAH?

Bukan soal mencari ilmu sahaja, tetapi juga bekalan yang lain, amalan-amalan sunat misalnya. Kerana tidak dididik sejak muda hingga sekarang sudah beransur tua, bukan mudah untuk melakukannya.

Itulah apa yang saya fikir, bermuhasabah diri ketika terjaga tengah malam 25 Mac lalu. Saya merayu minta ALLAH ampunkan dosa-dosa saya, berikan ruang masa secukupnya untuk saya tebus kesalahan, cari sebanyak mungkin ilmu dan buat sebanyak mungkin amal kebajikan. Berikan juga saya peluang untuk melihat anak-anak membesar dengan sempurna hingga mereka mampu berdikari kerana saya bimbang ada tanggungjawab untuk mereka telah saya abaikan.

Apa pun, saya bersyukur kerana ALLAH telah kurniakan saya anak-anak yang baik, lahir daripada seorang ibu yang baik meskipun saya sendiri tidaklah sebaik mana. Itulah anugerah 'rahman' dan 'rahim' ALLAH untuk diri saya yang hina!

Akhirnya, dengan ingatan bahawa yang berbaki tidak akan sama banyak dengan yang ditinggalkan, saya bersujud taubat, merayu ALLAH berikan saya kekuatan untuk istiqamah dalam mengisi masa yang tidak lama ini jauh dari segala hedonisme.  Saya bersungguh-sungguh mahu memperbaiki hubungan saya dengan ALLAH, juga sesama manusia supaya saya tidak lagi terus dirundung lara dalam menuju jalan pulang.

Kepada semua, saya mohon maaf atas apa juga salah dan dosa, tidak kira siapa pun anda. Saya sedar banyak dosa saya dengan anda yang anda sendiri mungkin tidak sedar.

Kita tidak tahu ajal kita!