KETIKA ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV malam 30 Disember lalu, saya secara berterus terang mengatakan bahawa idea kerjasama Umno – Pas tidak akan menjadi realiti.

Bagi saya, isu ini hanya polemik musiman yang saya yakin tidak akan ke mana dan akhirnya sirna bagai kabus pagi.

Menjawab soalan moderator Sherkawi Jirim, saya kemukakan dalil-dalil mengapa saya pesimis terhadap perkara itu.  Yang jelasnya, pandangan saya tidak sehala dengan seorang lagi ahli panel, Prof Dr Hoo Ke Ping dari Universiti Malaya.

Prof Hoo yang gilirannya berhujah mendahului saya begitu optimis dan berharap kerjasama Umno – Pas  menjadi kenyataan kerana katanya, itu adalah sangat penting untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi negara bagi tahun 2016.

Tajuk bual bicara kami malam itu, yang diterbitkan oleh Roslan Ariffin dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro 502 bertajuk Cabaran 2016: Isu-Isu Politik & Ekonomi.

Hujah saya yang pertama, selepas Datuk Seri Najib melontarkan idea tersebut dalam ucapannya ketika Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, tidak ada langkah susulan yang konkrit dilakukan sama ada yang terang, mahupun yang tersembunyi.

Setidak-tidaknya sebagai orang media, yang juga mempunyai ramai kawan di kedua-dua belah pagar, apa yang tersembunyi kadang kalanya sampai juga ke pengetahuan (juga wartawan yang lain) saya meskipun secara bisikan. Namun untuk tajuk yang ini, tidak ada langsung!

Najib sememangnya dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu membawa partinya ke dimensi baharu di tahun baharu menerusi kerjasama dengan Pas dan idea itu dilaungkannya sekali lagi pada Multaqa Alumni Al-Azhar Malaysia yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi dalam ucapannya pada majlis yang sama, bercakap mengenai tanggungjawab untuk bekerjasama yang menjadi prinsip Pas sebagai sebuah jemaah Islam. Selain berpolitik,  Pas juga berperanan sebagai organisasi dakwah yang politik juga baginya adalah medium untuk berdakwah lalu mesej kabur yang dibawanya, kerjasama dengan Umno bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Yang kedua, saya membawa analogi tatkala mengaitkan pandangan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak berkaitan hal itu, adalah sama seperti sekumpulan orang buta bercerita mengenai gajah. Bagi yang memegang ekor (gajah), dikatanya binatang itu adalah seumpama tali. Yang memegang badan gajah, dikatanya pula gajah adalah seperti dinding manakala yang memegang telinga, "Oh, gajah ini seperti kipas," katanya.

Perhatikanlah, setiap orang yang bercakap mengenai kerjasama Pas - Umno susulan kenyataan Najib dan Abdul Hadi adalah seperti orang yang teraba-raba dalam kegelapan.

Mereka sendiri jelasnya tidak tahu apa-apa mengenai idea kerjasama itu lalu namun mahu bercakap juga mengenainya dalam perspektif tersendiri. Sesungguhnya, oleh sebab tiada langkah konkrit menyusul, siapa yang tahu apa bentuk kerjasama itu? Bagaimana mekanisme untuk merealisasikannya? Juga lain-lain perkara ...

Berpecah

Apa yang saya percaya, Najib melontarkan hasrat tersebut secara spontan dalam ucapannya, tanpa sebarang perbincangan yang detail dengan anggota Majlis Tertinggi Umno yang lain. Dan mungkin begitu juga Abdul Hadi.

Bagaimanapun Presiden Pas lebih berlapik dalam kenyataannya kerana hujah beliau lebih bersifat umum dan bersandar pada prinsip Pas sebagai jemaah Islam, yang juga ada peranan dan tanggungjawab untuk berdakwah.

Apa yang jelas, Abdul Hadi tidak terburu-buru untuk menunjukkan kecenderungannya terhadap idea itu.  Beliau sudah pasti cukup berhati-hati untuk pisang tidak berbuah dua kali sebagaimana yang berlaku lebih sedekad lalu apabila rundingan sulit mengenai Kerajaan Perpaduan atau UG dengan pimpinan Umno terbocor.

Apa pun, isu yang terbaharu ini harus diakui telah membawa Pas sekali lagi ke ambang perpecahan. Apa yang saya boleh katakan, ketika polemik mengenai perkara ini berkumandang, Pas telah terpecah bukan dua, tetapi tiga dan ia berlaku di semua peringkat.

Ada yang menyokong, ada yang membantah, ada juga yang tidak bersetuju tetapi atas prinsip sebagai orang Islam, mereka terpaksa terima bahawa bekerjasama itu adalah sesuatu yang baik, dan dituntut dalam ajaran Islam.

Umum sudah mengetahui bagaimana sikap dan persepsi sebilangan ahli Pas terhadap Umno selama ini. Benci, marah dan dendam adalah apa yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka dalam sebarang perbincangan mengenai parti Melayu itu.

Nasionalis yang menjadi dasar Umno adalah tembok pemisah yang tidak mungkin terobohkan apabila ia ditafsirkan sebagai 'assobiyah', sikap yang dilarang keras dalam Islam malah Nabi SAW tidak mengaku umat bagi mereka yang berpegang dengannya.

Terdesak

Lalu apabila tiba-tiba ‘jambatan’ mahu dibina dengan Umno ...ini sudah tentu sesuatu yang luar biasa!

Namun apabila melihat seakan ada sedikit ruang dibuka oleh pemimpin agung mereka sendiri, sesetengah ahli Pas mulai berubah fikiran. Bagi mereka, ulama seperti Abdul Hadi mempunyai ilmu mantik pada tahap tinggi, yang tidak mungkin boleh digapai oleh sesiapa jua pun. Maka apa pendirian yang dibuatnya, itulah yang betul.

Dari sinilah lahirnya wala' atau kepatuhan kepada seseorang pemimpin. Lalu apabila Abdul Hadi dianggap cenderung untuk bekerjasama dengan Umno, maka diikutlah mereka.

Dalam situasi ini, kita dapati, pemimpin Pas sendiri ada yang berbeza pendapat. Naib Presiden, Idris Ahmad sejurus selepas ucapan Abdul Hadi di Multaqa Alumni Al Azhar Malaysia tempoh hari, telah membuat kenyataan untuk menolak kerjasama dengan Umno. Beliau mungkin menyedari risiko penentangan ahli dan penyokong, yang boleh membahayakan parti.

Begitu juga dengan Pas Selangor. Sebaliknya pemimpin muda seperti Muhammad Khalil, anak Abdul Hadi sendiri, juga Nik Muhammad Abduh bersungguh-sungguh memberi pencerahan mengenai kerjasama sebagai satu wadah untuk berdakwah yang menjadi prinsip Pas sebagai parti Islam.

Menariknya, kelmarin apabila saya sebagai Editor Sinar Harian mengarahkan wartawan mendapatkan komen pemimpin Pas di peringkat akar umbi mengenai kenyataan Pengarah Institut Darul Ehsan, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman bahawa kajian yang dijalankan oleh institut itu mendapati parti itu mungkin akan berpecah lagi jika idea kerjasama dengan Umno diteruskan, kesemua mereka yang dihubungi menafikan (parti itu akan berpecah).

Ironinya, dalam mengatakan mengatakan parti tidak berpecah, kenyataan mereka sendiri bercanggah antara satu sama lain. Ada yang bersetuju (kerjasama dengan Umno), ada yang membantah!

Walau apa pun, andainya kerjasama ini jadi juga, bagi saya, ia sekadar mengiyakan sebab lahirnya Parti Amanah.

Sebelum menurunkan noktah yang paling akhir, saya titipkan satu dialog meja teh tarik yang saya curi dengar kelmarin.

Lelaki A: Bagi aku, sangat tak kena untuk Pas kerjasama dengan Umno sekarang.

Lelaki B: Mengapa pulak?

Lelaki A: Sekarang ni, Umno tengah terdesak, orang tengah lemas, jangan kata kayu balak, tahi hanyut pun dia gapai!

Lelaki B: Apa pulak terdesak, Umno sekarang ada 88 kerusi Parlimen, Pas tinggal 14 saja, yang lain dah lari masuk PAN (Amanah), takkan yang banyak nak berhajat pada yang sikit, kurang banyak pulak tu ...

Lelaki A: Eh! Itu cerita tahun bila, 2013. Sekarang 2016, dah macam-macam jadi dalam masa dua tahun ni. Umno tengah desperate la sekarang!

Lelaki C: Aku setuju kau kata sekarang masanya tak kena untuk Pas kerjasama dengan Umno ... kerjasama tu bagus. Kita orang Islam, orang Melayu memang patut bersatu, bekerjasama tetapi masanya tak kena. Sekarang orang Umno sendiri pun tak mahu Najib terus jadi PM. Aku rasa apa yang paling baik, Umno - Pas kerjasama tapi PM bagi kat orang lain, Datuk Zahid ke ... kalau Najib betul-betul berjiwa besar, dia kenalah sanggup berkorban!

GULPP!! Saya bayar, dan terus bangun!