SEMALAM saya ke pasar bersama  isteri. Hajat hati mahu beli ikan bawal untuk digoreng kelar  cicah sambal kicap buat lauk tengah hari. Tengok, tengok, ikan semua sudah mati. Tak ada satu pun yang hidup.

Bukan ikan bawal sahaja tetapi semua jenis ikan, sotong, udang, semuanya mati. Yang hidup hanya kerang dan siput sedut!

Nanti sekejap, jangan komen dahulu. Biar saya terangkan, catatan ini sekadar untuk mengimbau kenangan. Bukanlah saya tidak pernah ke pasar beli ikan hingga tidak tahu yang dijual hampir kesemuanya ikan mati.

Saya teringat untuk menulis begini apabila terkenang kisah zaman kanak-kanak. Waktu itu, emak selalu suruh saya ke kedai beli ikan. Pesannya, “belilah ikan ‘hidup’ dua tiga ekor untuk buat lauk tengah hari ini!”

Kali pertama terima arahan itu, saya balik ke rumah dengan tangan kosong, juga wajah yang kehampaan. Apabila emak bertanya, “mana ikan yang mak suruh beli tadi?” saya jawab, “tak beli!”

Emak tanya lagi, “pasai apa tak beli?”

Saya jawab, “sebab semua ikan sudah mati!”

Asbab jawapan saya adalah kerana arahan yang saya terima, beli ikan ‘hidup’!

Jadi apabila tengok yang ada di kedai semuanya ikan mati, saya buat keputusan untuk tidak beli.

Ketika itu, dengan akal tahap budak, secara lurus bendulnya  saya memahami bahawa  istilah ‘hidup’ yang disebut emak adalah hidup atau alive. Rupa-rupanya ‘ikan hidup’ ikut istilah orang kampung saya merujuk ‘ikan laut yang segar’.

Berlawanan maksud dengan ‘ikan hidup’ ialah ikan kering atau ikan masin, bukan  ikan mati. Sememangnya kalau  ke kedai atau pasar, kita tidak akan  jumpa ikan yang masih hidup dijual melainkan ikan keli.

 Itu cerita fasal ikan hidup. Di negeri asal saya, Kedah, satu lagi istilah yang lazim diguna pakai ialah ikan darat.

Nanti, anda jangan terus percaya di negeri kami ada spesies ikan yang hidup di darat. Kedah, seperti juga negeri lain tidak ada ikan hidup di darat, yang ada buaya darat.

Lalu, ikan apa yang dipanggil ikan darat?  Ia merujuk kepada ikan yang hidup di paya, bendang atau sawah seperti keli, sepat, puyu dan haruan.

Selain hendak bercerita mengenai istilah yang biasa digunakan di daerah asal saya tetapi mungkin luar biasa di kawasan atau negeri lain, saya menulis hal ini kerana terkenang akan kehidupan zaman kanak-kanak.

Ketika ini, hati saya penuh dengan perasaan rindu yang teramat sangat kepada emak, kepada arwah ayah, kepada anggota keluarga lain terutama yang sudah tiada, juga segala kenangan yang telah berlalu dan tidak mungkin akan kembali lagi.

Saya percaya, ramai yang sering berasa seperti yang saya rasa sekarang ini.

Betapa jauh sudah perjalanan hidup yang kita lalui. Betapa banyak kesilapan dan dosa yang kita telah buat sama ada sengaja atau tidak sengaja kepada mereka yang kita sayang, terutama emak dan ayah kita, datuk dan nenek kita serta anggota keluarga lainnya.

Ada kesilapan yang tidak dapat kita tarik kembali meskipun penyesalan bersarang memenuhi hati.

Dalam usia yang sudah masuk 44  - sedar tidak sedar sudah hampir empat tahun usia Kelab 40 - macam-macam perasaan bercampur baur setiap kali saya merenung diri. Seperti yang selalu saya tulis, perjalanan hidup yang berbaki hampir pasti tidak akan sejauh masa yang telah dilalui.

Ramai yang dahulu bersama dengan kita, terlalu dekat dengan kita, terlalu menyayangi kita, telahpun  pergi mendahului dan kini, kita pula sedang mengekori.

Dalam hidup saya sekarang, yang paling saya ingati adalah arwah ayah. Banyak dosa saya kepadanya, banyak hajatnya yang saya tidak tunaikan. Apa yang saya terdaya sekarang ialah meniatkan segala pahala amal baik yang saya buat jika ada, untuk dia kesemuanya.

Saya tahu saya terlalu banyak mengecewakannya. Itu yang paling saya sesali dan berasa begitu sedih setiap kali mengingatinya.

Mujur emak masih ada, tetapi usianya pun sudah 74. Usia bukan pengukur, tidak tahu siapa yang 'pergi' dahulu, mungkin saya tetapi saya bertekad dengan baki usia yang ada, saya mahu berbakti dan buat emak berasa gembira terutama kegembiraan melalui menantu (isteri saya) dan cucu-cucunya yang baik, beragama dan berjaya.

Seorang kawan mengingatkan saya, jika kamu tidak kisah untuk tidak memeluk dan mencium pipi anak-anak sebelum atau sesudah keluar pintu rumah hari ini, suatu hari nanti mereka mungkin akan malu juga mengucup dahi kamu ketika kamu sudah menjadi jenazah. Semoga hari-hari yang berbaki ini saya isi dengan baik dan tidak ada penyesalan lagi!