CUTI hari kedua Aidiladha  minggu lalu, saya bawa isteri dan anak-anak kembali ke tempat dating kami 20 tahun dahulu – Taman Tasik Titiwangsa. Mengapa, apa yang ada di sana?

Terlalu banyak sebenarnya, dan terlalu istimewa pula kedudukannya dalam hati kami. Itulah tempat di mana kami menganyam persefahaman pada penghujung dunia cinta monyet dalam perjalanan memulakan hidup sebagai suami isteri. Malah dalam beberapa bulan awal perkahwinan, itulah juga kami memeterai janji dan merancang kehidupan masa depan.

Semasa bujang, saya tinggal menyewa bilik di sebuah rumah kedai di Jalan Cemur off Jalan Pahang. Isteri pun menyewa bilik juga bersama kawan-kawan kolejnya di rumah kedai yang sama. Selepas bernikah pada Ogos 1995, saya berpindah ke biliknya dan di situlah kami memulakan kehidupan berumah tangga dalam keadaan yang serba kekurangan.

Dengan gaji yang kecil, saya tidak mampu untuk bawa dia berbulan madu ke luar negara atau lokasi percutian mewah seperti pasangan lain. Yang saya mampu, hanya ke Taman Tasik Titiwangsa pada hujung minggu.

Itulah percintaan bajet – saya namakan ia – yang kami lalui pada zaman itu. Percintaan bajet di Tasik Titiwangsa tidak memerlukan belanja besar. Kami tidak perlu bertambang untuk ke situ kerana dari bilik sewa di Jalan Cemur, hanya perlu berjalan melalui terowong dan lorong di bawah Bulatan Pahang untuk menyeberang Jalan Tun Razak.

Di sana, bangku sudah disediakan oleh DBKL untuk kami duduk. Sampai di situ, saya hanya perlu duduk bercakap dengannya, mengulang lafaz ikrar bahawa saya benar-benar cintakan dia, mahu bina keluarga dan sehidup semati dengannya sambil melontar batu ke tengah tasik untuk menunjukkan kesungguhan saya. Semakin bersungguh saya ulang lafaz ikrar itu, saya berasa hati saya semakin kuat dan lontaran saya juga semakin jauh.

Apa kala berasa haus, saya hanya perlu bajet sekadar RM2 untuk beli air tebu atau cincau dalam cawan kertas. Kalau mahu lebih romantik, cukup RM1 untuk beli secawan sahaja dan dikongsi berdua. Kadang kala, cukup hanya dengan ais krim yang juga RM1 harganya.

Kalau berasa lapar pula, sekeping sengkuang calit berharga RM1. Orang perempuan yang bercinta tidak boleh makan banyak, malu katanya. Jadi sekeping sengkuang calit sudah memadai!
Itulah gaya percintaan bajet yang saya amalkan pada masa itu, juga pada tempoh awal perkahwinan. Kesempitan hidup tidak semestinya menyempitkan ruang untuk kita menikmati percintaan yang indah lagi mengasyikkan. Tak perlu nak berlagak kalau sememangnya tidak mampu!

Ok! Kembalinya saya dan isteri ke tempat itu, disertai tiga daripada empat anak kami. Saya bercerita kepada anak-anak, itulah tempatnya yang penuh nostalgia dan sentimental bagi ayah dan ibu mereka.
Ya, saya yakin akan ada yang anggap cara saya ini salah. Terpulanglah.

Sekurang-kurangnya saya mahu bersikap jujur dengan anak-anak bahawa saya benar-benar menyayangi ibu mereka dan setiap pengalaman yang dilalui itu terlalu bernilai dan bermakna bagi saya  waima hanya di sebuah bangku di tepi tasik.

Dan saya mahu mereka tahu, meskipun permulaannya di situ, pengakhiran bagi hubungan kami adalah baik – bukan semata-mata cinta monyet - sebagaimana yang mereka dapat lihat sekarang ini!

Bagi saya, setiap titik yang dilalui sepanjang jalan kenangan selama tempoh bercinta – enam tahun sebagai kekasih dan 19 tahun sebagai suami isteri – adalah terlalu indah, sangat bernilai dan begitu bermakna bagi diri saya.

Saya masih ingat pada awal-awal percintaan dahulu, ayam togel yang saya lihat di laman rumah mertua juga teramat comel hanya kerana ia ada watak dalam percintaan saya dengan isteri. Begitu juga batu-batu di tepi jalan sepanjang laluan saya ke rumah itu yang bagi saya lebih berharga daripada emas permata!

Dan kini, selepas 20 tahun, penghargaan itu seharusnya sentiasa ada dalam hati kita. Menghargai kenangan silam yang dilalui bersama, adalah ukuran rasa hormat kita terhadap pasangan yang sudah menyerahkan dirinya sepanjang usia untuk hidup bersama kita, juga dengan sepenuh penghormatan dan penghargaan.

Kerana itu, ada baiknya, selepas beberapa lama, kembalilah semula ke jalan kenangan itu untuk menghangatkan semula hati dan perasaan. Kasih sayang, cinta nan suci kepada pasangan jangan dibiar menyuram!