SEPANJANG tempoh kempen pilihan raya baru lalu, kerajaan yang memerintah pada masa itu tanpa segan silu mengatakan: “Kalau kami terus diberi mandat, kami akan bina ….” atau “kalau BN menang lagi pilihan raya akan datang, rakyat akan terus mendapat ….”

Ini sudah jadi lumrah di negara kita setiap kali pilihan raya. Rakyat digula-gulakan oleh ahli politik dengan wang yang bukan milik mereka malah wang rakyat sendiri. Walhal mengikut konsep pemerintahan yang sebenar, adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat nikmat pembangunan dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan itu semua.

Adalah sangat tidak bermoral bagi pemerintah untuk menggula-gulakan rakyat dengan wang yang dikeluarkan oleh rakyat sendiri menerusi pembayaran cukai untuk kepentingan politik (baca: diri) mereka. Tidak kiralah parti mana pun yang naik memerintah selepas pilihan raya, agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat perlu dilaksanakan.

Amat menyedihkan apabila parti yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah negeri tidak sehaluan dengan parti pemerintah di peringkat Persekutuan, misi membalas dendam sukar untuk dielakkan.

Ini yang berlaku di negara kita, apa yang ternyata begitu bercanggah dengan konsep demokrasi dan juga federalisme sedangkan semua ahli politik di negara ini mengaku mereka adalah demokrat.

Orang dari luar negara yang faham politik pun tergaru-garu kepala apabila mendapati di negara ini (sebelum ini) jika parti yang memerintah sesebuah negeri itu bukan BN, pemerintah negeri itu akan dikenali sebagai pembangkang sedangkan hakikatnya ia adalah parti yang memerintah.

Sejak tumbangnya BN pada pilihan raya lalu, kita belum dengar lagi istilah itu, iaitu Pahang dan Perlis diperintah oleh pembangkang. Ini mungkin kerana sememangnya BN, juga media yang pro mereka selama ini begitu sukar untuk mengadaptasi diri dengan istilah yang sangat asing bagi mereka itu.

Lebih memburukkan keadaan apabila diwujudkan jawatan penyelaras Parlimen dan penyelaras Dun daripada kalangan calon atau wakil parti yang kalah dalam pilihan raya di kawasan yang berkenaan. Segala peruntukan daripada kerajaan disalurkan menerusi penyelaras hingga wakil rakyat yang sebenar, yang telah dipilih oleh rakyat kehilangan fungsi.

Ini bukan sahaja menyebabkan wujudnya dua wakil rakyat (sebenarnya yang satu lagi itu wakil kerajaan, bukan wakil rakyat) dalam satu kawasan malahan seperti tidak mengiktiraf keputusan yang telah dibuat oleh rakyat menerusi pilihan raya.

Setelah seseorang wakil rakyat dipilih oleh pengundi menerusi sistem pilihan raya yang sah mengikut Perlembagaan, apa perlunya lagi dilantik ‘wakil rakyat’ yang lain pula? Ini seolah-olah keputusan yang dibuat oleh rakyat menerusi peti undi tidak ada nilai dan tidak layak untuk dihormati sedangkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya mengikut lunas-lunas demokrasi.

Mereka yang berkenaan pasti ada alasan iaitu untuk memudahkan urusan pentadbiran dan juga penyaluran peruntukan namun dalam usaha kita hendak mewujudkan budaya politik yang matang, juga untuk anggota masyarakat lebih celik politik, hal yang seperti ini seharusnya dihentikan.

Perubahan tampuk kerajaan yang baru berlaku sepatutnya jadi titik tolak ke arah pembaharuan dalam budaya berpolitik kita ke arah yang lebih matang dan sejahtera, mengiktiraf sistem dan Perlem-bagaan untuk lebih dihormati dan dipatuhi.

Langkah mengadakan jawatan penyelaras Dun dan Parlimen sekadar mewujudkan pertindihan yang sudah tentu akan meningkatkan kos. Memanglah wakil rakyat yang menang tidak mewakili parti yang memerintah tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh rakyat, seharusnya keberadaan mereka diiktiraf sebagai tanda rakyat yang mengundi mereka dihormati.

Wujudnya jawatan yang seperti ini juga menjadi penyebab berlakunya politiking yang berlebihan di sesuatu bahagian. Jika seseorang calon pilihan raya dipilih secara langsung oleh pucuk pimpinan parti dan tidak semestinya calon itu daripada kalangan pemimpin parti di peringkat bahagian, jawatan penyelaras Parlimen atau Dun pula adalah mereka yang menduduki kerusi utama parti. 

Dengan itu, berebut dan mendapatkan jawatan dalam parti akan mencerahkan peluang untuk mereka yang menang dilantik sebagai penyelaras.

Kelebihan bagi penyelaras ialah biasanya peruntukan untuk mereka gunakan diturunkan terus daripada parti, dan mungkin juga daripada peruntukan kerajaan (terdahulu). Ini menyebabkan timbul persepsi sesetengah pemimpin parti di peringkat bahagian hidup selesa dan mewah tanpa berasa apa-apa kekurangan meskipun parti mereka tidak memerintah negeri.

Mereka tetap juga dianggap orang yang berkuasa malah masih boleh memberi arahan kepada sesetengah pegawai kerajaan dengan jawatan penyelaras Parlimen atau Dun yang disandang.

Ini juga menyebabkan ada tanggapan, golongan yang berjawatan ini lebih reda pemerintahan negeri terus dipegang oleh parti lain disebabkan mereka sendiri belum tentu akan dipilih sebagai calon atau belum tentu akan menang jika bertanding pilihan raya.

Namun dengan jawatan yang disandang, kuasa dan peruntukan yang ada dalam tangan mereka sudah lebih daripada wakil rakyat.

Inilah budaya politik yang ada dalam parti pemerintah terdahulu, seperti anai-anai memakan tiang kayu secara perlahan-lahan hingga akhirnya sebuah rumah telah rebah.

Moga perubahan yang berlaku akan lebih mematangkan kita. Apabila rakyat semakin matang dan celik politik, pemimpin seharusnya jadi lebih matang dan tidak berani untuk menggula-gulakan rakyat dengan kebodohan.

* Penulis ialah Felo Universiti di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM