KALAULAH anjing tiba-tiba ditakdirkan tuhan boleh berkata-kata, bagaimanalah agaknya mereka ‘menghanjingkan’ kita sepanjang minggu ini dan mungkin hingga beberapa minggu akan datang.

Masakan tidak, di sana sini orang kecoh fasal anjing. Orang politik, orang biasa malah ulama pun ada yang sindir-menyindir dari hal anjing.

Anjing yang selama ini kita tahu suka terjelir-jelir tidak kira waktu senang atau susah, kini sudah jadi haiwan ‘selebriti’ yang sangat terkenal.

Panda yang selama ini menduduki tempat teratas carta pun sudah jatuh ke nombor dua.

Kesemua media – terutama media sosial – berebut-rebut melaporkan hal anjing. Cuma setakat ini, tiada siapa pun yang berjaya menginterbiu binatang itu, bertanya akan perasaannya setelah sekian lama dihina dengan panggilan anjing kurap dan seumpamanya, tiba-tiba jadi ‘selebriti’.

Tetapi seperti yang saya sebut awal tadi, kalaulah anjing diberikan keupayaan untuk bercakap, pasti teruklah kita ‘dihanjingkan’. Mereka boleh berkata, “kerana kita (atau aku), manusia berpecah belah, bercakaran sesama sendiri. Orang politik cara orang politik.

Ulama perli memerli. Ada juga orang Islam sendiri yang tergamak ‘menghanjingkan’ ulama. Benarlah dunia ini sudah akhir zaman.”

Agaknya begitulah perbualan seekor anjing jantan yang baharu pulih daripada kurap dengan isterinya di tepi sebuah padang di Bandar Utama dekat Petaling Jaya.

Tetapi mujurlah, tuhan masih mahu jaga maruah kita sebagai manusia walaupun kita sendiri pada akhir zaman ini berlumba-lumba menjatuhkannya. Kesan daripada kontroversi anjing, lihatlah betapa mudah orang kita dimanipulasi.

Hanya kerana anjing, kita jadi kecoh. Betapa mudah kita tenggelam punca dan hilang pedoman, berantakan sesama sendiri. Malu sebenarnya nak sebut, hanya kerana anjing.

Sebabnya apa?

Kerana ramai yang jahil tetapi berlagak alim. Masing-masing mahu bercakap, mahu menguasai orang lain untuk bersetuju dengannya, walhal diri sendiri kurang ilmu. Maka bercakap ikut pandai sendiri, ikut sedap hati. Apabila pandangan disanggah, berbalah.

Lihatlah di Facebook, Twitter dan apa sahaja bentuk media sosial, berapa ramai yang berbalah kerana program 'I Want To Touch A Dog' di Bandar Utama, Petaling Jaya, hujung minggu lalu?

Mengenai program itu, saya yang saya sendiri mahu akui kekurangan ilmu ini pun bantah, tentang. Bukan kerana saya tidak suka anjing tetapi saya ikut pandangan ulama, ikut mazhab yang saya pegang, Syafie sebagaimana majoriti rakyat Malaysia yang lain.

Saya bukan benci anjing. Saya juga bukan mahu mengajak orang lain baling anjing dengan kayu atau batu. Tetapi saya berpegang pada hukum sebagaimana yang diajar bahawa haram bagi kita untuk sentuh, belai, bermanja-manja apa lagi tidur bersama sebagaimana orang bukan Islam. Kita Islam, buatlah cara Islam!

Kalau kerana tidak bersetuju dengan program itu saya mahu dikata benci anjing, apa salah anjing? Sama ada anjing atau babi sekalipun, mereka bukan boleh pilih untuk lahir sebagai burung punai, kucing siam ataupun sebagai manusia. Sudah tuhan takdir lahir sebagai anjing, jadi anjinglah dia. Apa ingat dia suka sangat jadi anjing?

Jadi kita yang ditakdir lahir sebagai manusia, makhluk yang berakal dan paling mulia ini, gunakanlah akal dan ilmu yang ALLAH beri dengan sebaik mungkin. Kalau mahu ditimbang dengan akal semata-mata pun, apa perlu pesta-pestaan memeluk, membelai anjing?

Apakah selama ini pernah di negara kita pernah ada orang yang  jadi gila, mati kempunan kerana tidak peluk anjing? Yang kena penyakit anjing gila, itu saya tahu ada.

Dalam keadaan ini, sesiapa yang mahu ambil sedikit masa untuk merenung, muhasabah, menilai dengan mata hati akan nasib umatnya, bangsanya, anak cucunya... pasti akan berasa sedih dan khuatir.

Jika beginilah rapuhnya pendirian orang kita – hanya kerana anjing pun boleh jadi huru-hara – apa lagi yang kita mahu harapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Jangankan masa hadapan, pada masa ini pun saya sendiri sudah mulai curiga.

Mengapa kita tidak gunakan akal, yang diadun dengan ilmu untuk melakukan banyak lagi usaha yang lebih bermanfaat untuk agama dan masyarakat. Mengapa anjing yang dipilih?

Mengapa bukan ayam jantan atau kucing. Bukankah kedua-dua itu lebih sesuai untuk disayangi, nak bawa berpeluk atau berguling pun tidak akan jadi kontroversi.

Bawalah ayam jantan dan kucing masing-masing ke mana-mana padang untuk ditonton, disentuh dan bermesraan dalam program ‘I want to touch your cock’ dan ‘I want to touch your pussy’ ini.