ISTERI saya sudah berbelas tahun miliki lesen memandu. Dan dia sememangnya seorang pemandu yang cekap, bukan pemandu lesen kopi O atau lesen terbang, apa yang diistilahkan orang terhadap lesen yang diperoleh secara rasuah oleh mereka yang tidak tahu memandu.
  
Namun sesuatu yang jadi masalah bagi isteri saya ialah jalan. Dia tidak tahu jalan, dan jenis tidak ingat jalan. Jalan yang dia tahu hanya yang dia lalu untuk pergi dan balik ke tempat kerjanya di Hospital Sungai Buloh setiap hari.
  
Selain itu, jika dia perlu pergi ke tempat lain, jangankan di luar Lembah Klang, jika di KL sahaja pun, saya yang kena ambil cuti untuk hantar dan jemput dia balik.

Saya tidak boleh ambil sebahagian daripada waktu kerja untuk berbuat begitu kerana rumah kami jauh - lebih 40 kilometer dari pejabat saya di Shah Alam - dan saya perlu masa yang sangat lama untuk pergi dan balik semula ke tempat kerja.
  
Maka langkah paling selamat bagi saya supaya tidak tergopoh-gapah adalah dengan ambil cuti. Tidak. Ini juga bukan rungutan. Isteri saya jadi begitu, mungkin kerana saya sendiri yang sejak dahulu melarang dia memandu ke mana-mana tempat yang dia tidak biasa.

Ini kerana saya selalu berasa risau memandu dalam keadaan tidak biasa boleh mengakibatkan apa sahaja kemungkinan yang buruk. Siapa yang tidak sayang bini, kan?
  
Justeru, sejak dahulu juga saya sudah biasa tawar diri untuk hantar dan jemput dia jika ada urusan di mana-mana yang selain tempat kerja biasanya.

Itu bukan masalah bagi saya dan saya masih bersedia untuk melakukannya sampai bila-bila pun. Cuma kadang kala saya terfikir, bagaimana keadaannya dalam urusan yang seperti ini jika tiba-tiba ajal menjemput saya pergi?
   
Memanglah kalau hendak dikira kesukaran, bukan itu sahaja. Banyak lagi perkara lebih sukar yang akan dilalui oleh seseorang balu selepas pemergian suami.

Bagaimanapun sudah tentu masalah jadi berganda apabila hal yang paling asas iaitu bergerak untuk berurusan di sana sini pun tidak mampu dilakukan secara sempurna. Hendak diharap pada anak-anak, mereka juga tidak mampu.
  
Zaman dahulu, masalah seperti ini tidak banyak berlaku kerana apa-apa urusan bagi seorang balu akan dibantu oleh anggota keluarga yang tinggal sebelah menyebelah rumah. Tetapi zaman ini, kita hidup di bandar, saudara-mara tinggal berjauhan dan mereka juga sibuk dengan urusan masing-masing.
  
Kalau dahulu, banyak perkara boleh diuruskan secara mudah tetapi sekarang, sesetengahnya agak rumit. Jadi, inilah antara perkara yang menghantui saya sejak mencapai umur lebih 40 ini. Sama ada saya risau ataupun tidak, kalau sudah tiba ajal, tidak dilambat atau dipercepat barang sesaat.
  
Mengapa saya lebih memikirkan hal yang seperti itu sejak umur sampai peringkat ini? Sebabnya saya kira kebanyakan kita, apabila usia mencecah 40, baki yang tinggal lazimnya adalah tidak sebanyak yang sudah ditinggalkan.

Maka sudah sampai masa untuk kita lebih memikirkan hal mati, bekalan yang mahu dibawa ke alam yang kekal abadi, juga soal kehidupan anak isteri yang ditinggalkan.

Apakah mereka akan hidup berkali ganda lebih susah setelah ketiadaan kita?
  
Kepada isteri, kadang kala susah juga untuk berterus-terang apa yang kita rasa dalam hati kerana apabila dikaitkan dengan mati. Ini akan bawa kesedihan hingga mungkin tidak dapat lagi hendak dibincangkan. Isteri mana pun mudah emosi apabila suami sebut hal mati, walhal kita cuma mahu dia lebih bersiap sedia andai kita tiba-tiba dijemput.
  
Zaman sekarang, banyak berlaku kes mati mengejut. Jadi hal yang semacam ini perlu diperingatkan, diberikan perhatian. Sekurang-kurangnya supaya dia dan anak-anak yang ditinggalkan tidak panik yang menyebabkan keadaan bertambah sulit.
   
Walau apa pun, seperti yang saya kata tadi, sama ada kita risau atau tidak, ajal tidak akan lewat atau dipercepat. Banyak kes di sekeliling, isteri-isteri sama ada yang kematian suami ataupun diceraikan, yang meskipun sebelum itu hidup mereka terlalu bergantung kepada suami, tiba-tiba sahaja datang keupayaan untuk berdikari setelah ditinggalkan.
  
Harapnya isteri saya pun begitu juga walaupun sebolehnya, saya mahu hidup seribu tahun lagi untuk dia.