SAYA tonton kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di kaca televisyen, mengalu-alukan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bertanding kerusi parlimen kawasan itu pada PRU14, malam Sabtu lalu sambil memicit jerawat.

Tidak. Saya tidak alami sebarang tekanan perasaan walaupun kenyataan itu agak sedikit mengejutkan.

Siapa tidak kenal Jamal, ketua Umno bahagian yang sering mencetus kontroversi?

Apa sahaja boleh dilakukannya untuk dapat publisiti.

Jika tidak, masakan beliau sampai mencadang Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertanding di Dun Sekinchan, yang sekian lama dikuasai DAP.

Namun kenyataannya 10 Februari lalu, yang menyebut Umno Bahagian Sungai Besar sediakan ‘karpet merah’ untuk Shahrizat bertanding kerusi parlimen itu, sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya.

Memahami karakternya, kata-kata Jamal mungkin diabaikan begitu sahaja jika bukan Shahrizat sendiri pada hari yang sama menyatakan, beliau akur Sungai Besar adalah kerusi Wanita.

Walaupun Kak Jat tidak berterus terang menyatakan pendiriannya, namun beliau seolah-olah menyambut gayung Jamal.

Itu yang ditafsirkan oleh sesetengah orang.

Soalnya, mengapa Sungai Besar?

Apa yang tidak kena dengan Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen kawasan itu sekarang yang pada pilihan raya kecil 18 Jun 2016 telah mencatatkan majoriti besar, 9,191 undi.

Mengapa kerusi yang boleh dikira selamat untuk BN, mahu diusik?

Budiman pada PRK itu, bukan sahaja menang besar, jauh mengatasi majoriti 399 undi yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada PRU13,  malah pendekatan yang dilakukannya selepas menang juga dilihat berupaya mengukuhkan kedudukan BN di Parlimen Sungai Besar, termasuk Sekinchan.

Salam dua jari, baju petak, rambut panjang ala legenda hoki Datuk Poon Fook Loke, antara pendekatan dan imej yang sudah cukup mesra dengan penduduk Sungai Besar.

Budiman ternyata mampu memahami secara mendalam akan keperluan dan kehendak penduduk Sungai Besar, lalu beliau mengaplikasikan pendekatan yang tersendiri dalam menawan hati mereka.

Antaranya, diwujudkan ruang interaktif maya yang khusus untuk penduduk keturunan Cina dalam bahasa  mereka, manakala dengan golongan muda, siapa tidak kenal YB yang gemar menerbitkan video drama pendek yang begitu sentimental dengan warga setempat, selain klip video nyanyian bersama kumpulan muziknya sendiri.

Walaupun ramai menyifatkan nyanyian Budiman sebagai sumbang, namun itulah yang menjadi kekuatannya dalam menawan hati anak-anak muda.

Bukan itu sahaja, Adun Sungai Panjang itu juga aktif di saluran radio MySuara FM serta mempunyai segmen sendiri, PosToWaibi, selain mempunyai kolum pojok dalam majalah popular, Gila Gila.

Kiranya mahu disebut semua, terlalu banyak usaha kreatif  Budiman yang berupaya menawan hati masyarakat . Jika apa yang dilakukan itu tidak berkesan, mana mungkin  seorang  wanita warga emas di Dun Sungai Panjang tergamak menarik telinga Yang Berhormat itu kerana marahkannya berambut panjang.

Video kejadian itu pernah tular suatu ketika dahulu.

Wanita itu mulanya bertanyakan Budiman sama ada rambutnya asli atau palsu. Setelah memeriksa sendiri dan mendapati rambut wakil rakyat itu asli, wanita berkenaan bertanya mengapa beliau biarkan rambutnya panjang.

 “Nanti nak sekolah, saya guntinglah mak!,” jawab Budiman persis seorang anak yang begitu taat.

Begitulah mesranya beliau dengan penduduk Sungai Besar.

Ini seharusnya menjadi contoh wakil rakyat lain. Beliau berupaya memahami kehendak golongan sasar dengan baik dan ini ternyata begitu membantu BN.

Mengikut tinjauan Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), prestasi Budiman sebagai Ahli Parlimen Sungai Besar dan Adun Sungai Panjang pada masa ini mendapat sokongan tertinggi pengundi yang berpunca daripada personalitinya yang mudah larut dengan budaya kehidupan mereka.

Justeru, apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tiba-tiba mahu menghampar karpet merah untuk orang lain, yang dari luar kawasan pula, ia disifatkan sebagai antiklimaks.

Pada PRU13, Budiman telah menyelamatkan kerusi Parlimen Sungai Besar untuk kekal dalam tangan BN menerusi kemenangan di kerusi Dun Sungai Panjang dengan majoriti 2,183 undi. Beliau meraih majoriti yang besar tatkala Noriah hanya mampu memperoleh kelebihan 399 undi untuk kerusi parlimen.

Di Sekinchan, BN kalah teruk dengan majoriti 2,239 undi kepada DAP.

Justeru, meletak calon lain waima tokoh nasional seperti Shahrizat untuk bertanding di Sungai Besar pada ketika rakyat sudah pun menerima Budiman boleh dianggap percaturan yang kurang bijak malah mungkin berisiko.

Namun Shahrizat setakat ini belum pun berterus terang mengenai pendiriannya. Hanya Ketua Umno bahagian yang kelihatan beria-ia mahu membawa bekas menteri itu ke situ.

Dalam kenyataannya kepada wartawan kelmarin, Shahrizat seperti sengaja mengelak dikaitkan dengan Sungai Besar. Beliau sebaliknya bertanya balas kepada wartawan:

“Gila ke? Hentikanlah spekulasi siapa jadi calon di kawasan mana. Saya selaku ketua Wanita Umno dan BN, tumpuan saya adalah memastikan jentera Wanita berada dalam keadaan mantap untuk turun padang.

Bukan jadi hak dan kuasa mana-mana pihak termasuk sayaa untuk menamakan calon. Saya hanya boleh mencadangkan dan akhirnya perdana menteri yang akan buat keputusan,” katanya ketika ditanya mengenai spekulasi akan bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya, yang kini diwakili Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Shahrizat lagi, Ku Nan telah menjaga Putrajaya dengan baik.

Menariknya, Shahrizat dengan tegas menafikan ketika ditanya mengenai Putrajaya, tetapi tidak ketika dikaitkan dengan Sungai Besar.

Malah ketika ditanya mengenai Sungai Besar,  Shahrizat menyatakan beliau bukanlah orang luar di kawasan itu.

“Selaku Ketua Wanita Umno, malah ketika jadi Naib Ketua pun, saya kerap turun ke sini. Ketika arwah Tan Sri Noriah, saya selalu turun. Ketika PRK, Wanita jadi tulang belakang kempen dan banyak masa saya di sini,” katanya.

Apa pun, harus diingat, Shahrizat membuat kenyataan itu ketika hadir majlis perkahwinan anak Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Ramli Norani, bukan majlis yang khusus untuk mempromosi beliau.

Justeru, kontroversi ini mungkn tidak lebih sekadar game Jamal seperti kontroversi lain yang pernah dicetuskannya sebelum ini.

Bagi saya pula, ia tidak lebih seperti jerawat yang baru pecah di pipi, tidak menjejaskan pun!