KETIKA saya menulis artikel ini, di luar sana orang masih kecoh hal insiden di pentas K-Pop, cerita beberapa pemudi bertudung naik ke pentas dipeluk, malah memeluk artis lelaki dari Korea Selatan yang menurut seorang menteri, berupa paras cantik, kulit gebu dan pucat.

Sudah terlalu banyak yang mengulas mengenai perkara itu daripada cerdik pandai, alim ulama, orang politik hinggalah orang biasa lewat pelbagai media. Saya bukanlah sesiapa untuk jadi nasi tambah.

Apa pun, saya kira sudah jadi lumrah bagi orang kita, tatkala memberi pandangan atas apa jua isu, kita selalunya tidak lari daripada kecenderungan politik. Pandangan kita biasanya dipengaruhi politik.

Apa-apa perkara yang kita dapati tidak berpihak kepada pegangan atau kumpulan politik kita, akan kita luahkan pendapat semahu-mahunya, seperti tidak ada esok lagi untuk mereka yang jadi sasaran.

Akan tetapi jika terkena pada batang hidung  sendiri, sama ada kita mempertahankan, menegakkan benang basah ataupun kita ambil pendekatan yang selamat, diam sediam-diamnya!

Begitulah juga dalam hal K-Pop. Saya tidaklah mengatakan saya orang yang lebih baik, ataupun apa-apa pandangan saya sebagai yang terbaik. Namun dalam suasana kita masih insaf dengan musibah banjir, janganlah K-Pop sampai menghilangkan fokus kita bahawa setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Justeru kita patut ambil isu ini sebagai pengajaran, bermuhasabah dan membebaskan diri daripada kebiasaan yang salah. Saya nak kongsi teguran seorang kawan, dalam mengecam perlakuan pemudi yang berkenaan, ada dalam kalangan kita yang berlagak seolah-olah dialah pemegang kunci syurga.

Tidak, ini bukan untuk membela pelaku maksiat tetapi katakanlah, mereka yang dikecam itu kemudiannya bertaubat, taubatnya diterima ALLAH dan dia berubah menjadi insan yang baik, yang bertaqwa, sedangkan kita sebaliknya terus hidup dalam 'keseronokan' mengecam orang yang kita lakukan bukan atas dasar iman.

Kita berasa diri kita sudah baik sangat hinggakan tidak kisah untuk mempertikaikan orang lain seperti sudah sah mereka akan masuk neraka sedangkan kita pula kononnya akan masuk syurga. Bagaimana dengan dosa kita menghina mereka? Itu satu perkara yang tak dapat tidak kita kena fikirkan juga.

Satu lagi, hal akhlak anak-anak muda, selain tanggungjawab ibu bapa yang paling utama, juga adalah tanggungjawab kita bersama.  Kita masing-masing ada tanggungjawab sebagai anggota masyarakat, kerajaan pula ada tanggungjawabnya yang tersendiri.

Ibu bapa bertanggungjawab dalam memberi pendidikan agama, ajaran moral dan sebagainya. Kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang sesuai, juga dengan undang-undang dan penguatkuasaan yang tegas dalam memastikan akhlak anak-anak muda kita tidak terjejas.

Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan membenarkan program maksiat dianjur secara berleluasa. Memanglah dalam era globalisasi, cabaran akan datang dari segenap sudut untuk menggoda kita mengikut hawa nafsu.

Boleh dikatakan rata-rata cabaran ini sumbernya daripada mereka yang tidak beriman, maka apakah betul jika kita biarkan sahaja anak-anak muda kita mengikut arus atas nama kemodenan, globalisasi seperti anak sungai yang tidak boleh kita sekat.

Kalau ya sekalipun, janganlah pula kita menggunakan cara yang sama, kononnya sebagai cara untuk mengambil hati anak-anak muda. Tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk membimbing, bukan semata-mata mengambil hati anak-anak muda mengikut cara yang 'lagha' juga.

Kalau itu cara kita mendidik anak muda, mengapa tidak dibenarkan sahaja cikgu disiplin di sekolah duduk sama-sama hisap rokok dengan pelajar sebagai kaedah untuk mendekati mereka, kemudian barulah nasihatkan mereka tentang bahaya merokok.

Kita sudah lama faham bahawa apa benih yang kita tanam, itulah juga yang akan tumbuh. Kalau benih rambutan, janganlah ditunggu durian atau manggis yang luruh.

Anak-anak muda harus dibimbing dengan cara yang betul, bukan mengiklan keseronokan untuk jadi tarikan hawa nafsu atas alasan itulah sahaja cara untuk mendekati mereka. Yang penting adalah pengisian menerusi jalan iman dan taqwa.

Tanpa pengisian, inilah jadinya. Bertudung pada zaman sekarang seperti  fesyen sahaja. Kalau atas dasar taqwa, mereka tidak akan hadir aktiviti maksiat, apa lagi untuk merelakan diri sampai diperlakukan begitu.

Saya menceritakan keadaan, bukan untuk menyalahkan mereka. Yang sebenarnya bersalah adalah kita. Apa kesalahan kita? Sama-samalah kita fikirkan, muhasabah diri.

Apakah betul jika kita sebagai ibu bapa memarahi anak yang masih kecil, yang terluka tangannya kerana bermain gunting atau pisau sedangkan kita yang membiarkan benda-benda berbahaya itu bersepah di tempat yang mudah mereka capai? Sama-samalah kita fikirkan ya!