IMBAS semula: Dulu betapa pemalunya kita. Sudahlah pemalu, bersopan santun pula. Tutur kata cukup dijaga. Tertibnya bahasa, ketawa pun mulut tidak dibuka. Itu zaman baru-baru bercinta.
 
Ketika itu, jumpa dan bercakap, mesti ada ‘kubu’ di tangan. Kubu adalah benda yang dipegang ketika bercakap.
 
Walaupun benda itu kecil, cukup untuk kita jadikan tempat ‘berlindung’ juga disalurkan dan disembunyikan segala rasa gemuruh, gementar, gugup dan yang seumpama dengannya.
 
Dengan ‘kubu’ itulah kita akan bermain-main untuk mengalih perhatian daripada terlalu memberi fokus terhadap perasaan gementar, gemuruh dan gugup tadi.
 
Terjadi pada seorang kawan saya yang memang sangat pemalu orangnya. Pertama kali dia ‘date’ dengan seorang gadis yang memang sudah lama diidamkannya, dia terlalu gugup, gemuruh dan malu ketika mereka berhadapan. Untuk meredakan tekanan itu, sambil bercakap dia bermain-main dengan kain alas meja. Ketika itu mereka berada dalam sebuah restoran.
 
Malang sungguh nasibnya, ditarik sedikit demi sedikit, hingga akhirnya terbalik gelas minuman mereka. Berganda-ganda malunya dia!
 
Satu lagi, cuba ingat balik. Dulu semasa baru-baru kenal dengan si dia, setiap kali jumpa, tentulah kita ke restoran atau kafe. Ingat semula, betapa pembazirnya kita ketika itu. Makan tidak pernah habis, kadang kala setengah pinggan pun tak sampai. Minum pun sekadar setengah gelas atau setengah gelas pun tidak sampai. Sekadar beberapa sedut!

Membazir sungguh, sedangkan Nabi sudah pesan, barang siapa yang membazir itu saudaranya syaitan!
 
Sikap ini cukup ketara pada perempuan. Jarang ada, dan saya yakin memangnya tidak ada perempuan yang belum berkahwin, jika duduk dengan lelaki, tidak kiralah ‘steady boyfriend’ atau sekadar kawan-kawan, akan minum sampai habis.
 
Jauh sekalilah kalau sampai terkeluar bunyi SRROTTTT!!!!SRROTTTT! gelas yang sudah tinggal air batu itu disedut!
 
Yang lelaki pun serupa. Rekod kesopanan cukup dijaga. Minum atau makan sampai habis sudah dikira pelahap, jadi kena tinggal setengah pinggan, paling kurang suku pinggan meskipun jika diikut rasa hati, dengan pinggan-pinggan itu sekali mahu ditelan.

Hal-hal yang lain, lebih lagilah. Nak dengar bunyi terlepas angin, kirim salamlah. Itulah yang paling dijaga. Habislah reputasi kalau terlepas juga!
 
Mungkin jadi pengalaman pertama dan yang terakhir berpasangan. Malu seumur hidup. Dengan orang lain pun sendiri berasa tak sanggup, takut sejarah hitam berulang!
 
Tetapi, mengapa ya?
 
Selepas berkahwin, segalanya berubah. Perkara yang paling jadi kepantangan – kentut – setelah jadi suami isteri, ada yang berasa tidak kisah. Walhal, baunya tidak berubah. Bukan semasa bujang, teruna atau dara kentutnya busuk dan berubah jadi seperti ‘ambi pur’ setelah jadi suami orang, isteri orang!
 
Busuk tetap busuk juga. Tetapi setelah berkahwin, ada orang yang berasa seperti sudah dapat lesen besar untuk bebas melepas kentut di depan isteri, malah yang di depan suami pun ada!
 
Sudahlah begitu, siap dengan ulasan pula: “Huh! Baru lega rasanya perut ...”
 
Ulasan seperti itu sebenarnya sekadar untuk merasionalkan perbuatan yang sememangnya tidak rasional. Kentut di depan orang, yang bukan sekadar mencetuskan pencemaran bunyi malahan juga udara dan persekitaran tetap dikira adalah perbuatan yang sangat biadab, meskipun dalam keadaan hanya berdua dengan pasangan.

Mengapa semasa bercinta dahulu boleh pula ditahan-tahan, dikontrol dan dilepas perlahan-lahan hingga suami ataupun isteri (ketika itu kekasih) langsung tidak perasan?
 
Sepatutnya sudah jadi suami  isteri, dia lebih lagi dihormati. Bukan apabila sudah ada hubungan yang sah, sudah halal, bebas untuk paksa dia sedut bau pekasam terlebih peram dari usus pasangan!
 
Bukan itu tarafnya suami atau isteri kita!