• MUHAMAD MAT YAKIM MUHAMAD MAT YAKIM
1 /

SUDAH dua minggu puasa. Saya sendiri setakat ini hanya baru tiga kali berpeluang berbuka di rumah. Bukan merungut cuma mahu menggambarkan betapa setiap kali terpaksa berbuka bersama kawan-kawan di pejabat, ingatan saya pasti terhantar ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Teringat akan betapa susahnya isteri mengendalikan urusan berbuka dengan anak-anak dalam waktu singkat setelah terkejar-kejar balik dari tempat kerja. Tidak, saya bukan mahu memuji isteri sendiri di depan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan rumah tangga kami.

Saya sekadar mahu berkongsi kesedaran bahawa saya percaya bukan isteri saya sahaja yang menempuh susah payah begitu tetapi ramai isteri-isteri yang lain juga. Saya mahu mengajak rakan-rakan sejawatan saya - suami semua - untuk merenung sejenak pengorbanan isteri-isteri kita pada bulan puasa ini, lalu memberikan mereka penghargaan sewajarnya.

Bukan juga saya mahu mendabik dada seolah-olah hanya saya yang prihatin, malah saya akui saya sendiri sering terlalai. Tetapi dengan menulis begini, sekurang-kurangnya ia juga adalah jam loceng bagi diri saya sehari-hari.

Ironinya, pada bulan puasa, berlaku perubahan besar dalam jadual harian hampir semua wanita. Ia tidak seperti lelaki yang meskipun berubah namun tidaklah sebesar mana, mungkin hanya tambahan drastik pada bilangan rokok yang dihisap waktu malam untuk mengimbangi kekurangan nikotin yang tidak diambil pada waktu siang.

Kadang kala memang kedengaran suara sumbang lelaki kerana wanita ada 'cuti'. Entah mengapa perkara yang terlalu kecil itu pula dicemburui! Kerana 'cuti', ada suami tergamak buli isteri.

Apabila diminta tolong, keluarlah alasan bukan-bukan: "Awak cuti, awak buatlah sendiri. Saya puasa, penat ... kena banyak berehat!" Walhal pada hari isteri tidak bercuti pun, isteri jugalah yang buat semua kerja rumah.

Saya melihat, bulan puasa adalah bulan yang berlipat ganda bebannya bagi wanita yang berumahtangga. Tidak kiralah bekerja atau pun suri rumah sepenuh masa. Yang bekerja tentu bertambah-tambah pula beban dan tanggungjawabnya.

Terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sehingga seperti tidak ada rehat langsung. Daripada urusan membeli, memasak, menyedia hidangan berbuka hingga mencuci pinggan mangkuk dan periuk belanga. Hampir semua kerja itu, dianggap oleh kebanyakan lelaki (bukan semua) sebagai tanggungjawab isteri semata-mata.

Lelaki? Biasalah, pada bulan bulan mulia ini ramai berasa hanya perlu ada di masjid, melebihkan urusan tadarus dan Tarawih. Inilah masanya nak kumpul pahala banyak-banyak untuk bekalan di akhirat. Semoga nanti di syurga dapat kahwin dengan bidadari. Isteri? Pandai-pandai dialah!

Tetapi, keinsafan itu pula biasanya hanya minggu pertama sahaja. Masuk minggu kedua, ada yang lepas sahaja berbuka terus berlingkar macam ular sawa kenyang. Macam mana mahu boroi berkurang walau setiap kali berbuka dan bersahur telan susu slim bergantang-gantang?

Tiba waktu sahur, pun isteri juga yang dahulu bangun untuk memasak atau sekurang-kurangnya memanaskan makanan yang sudah ada. Hanya setelah semua dihidang, barulah dikejutkan suami dan anak-anak.

Kenangkan saja, siang hari mereka  bekerja. Masuk waktu petang, siapkan makan minum kita. Ketika kita sedap berlingkar ular sawa kenyang di depan TV, mereka  tersengguk-sengguk cuci pinggan mangkuk di sinki. Baru bersiap nak masuk tidur, kita pula kuis-kuis kaki.

Apabila mereka bangun sediakan sahur, kita masih berdengkur.

Apabila memikir semua ini, kasihankan, isteri kita?

Oleh itu tuan-tuan, cukup-cukuplah kita buli isteri selama ini. Iktibar daripada madrasah Ramadan, ringan-ringankanlah tulang membantu isteri dalam semua urusan rumah tangga. Ini saya peringatkan diri sendiri juga.

Mengenang semua ini, begitu bersyukur rasanya saya lahir sebagai lelaki. Kalau tidak, mungkin saya tidak kahwin sampai mati!