FILIPINA berada di ambang  pilihan raya untuk memilih presiden yang ke 16 ketika pemuka-pemuka media dari seluruh Asia berhimpun di Teluk Manila menghadiri perhimpunan Publish Asia 2016,  minggu lalu. Perhimpunan tahunan itu dirasmikan Presiden Benigno ‘Noynoy’ Aquino III.

Selain Pilihan Raya Presiden, Makati, pusat pertumbuhan ekonomi paling pesat yang berjiran dengan Metro Manila juga sedang berhadapan dengan pilihan raya tempatan. Penduduk Makati akan memilih datuk bandar yang baharu pada 9 Mei, setelah penyandangnya, Jejomar ‘Junjun’ Binay Jr. dipecat berikutan skandal rasuah.

Junjun yang mentadbir Makati sejak 2010, anak kepada Naib Presiden Filipina, Jejomar 'Jojo' Binay Sr. yang bertanding Pilihan Raya Presiden yang juga pada 9 Mei. Junjun 'mewarisi' jawatan itu daripada ayahnya. Datuk Bandar Makati sebelum itu adalah ibunya, Elenita.

Sejak kempen bermula 9 Februari lalu, Grace Poe, 47, dilihat sebagai calon pilihan mendahului Mar Roxas, 58; Rodrigo Duterte, 70, Miriam Santiago dan Binay, 73.

Bagaimanapun laluan Poe tidak semestinya mudah. Ini berikutan dakwaan beliau bukan anak jati Filipina, tinggal lama di Amerika Syarikat malah pernah mendapat kerakyatan negara itu sebelum pulang ke Manila.

Jika pencalonan Poe ditolak, ada kemungkinan politik negara yang mempunyai lebih 94 juta penduduk itu akan bergolak teruk memandangkan calon-calon lain hanya memperoleh sekitar 20 peratus sokongan, berbanding Poe yang mendapat 30 peratus.

Binay si Naib Presiden diselubungi pelbagai isu penyelewengan selain masalah yang dicetuskan anaknya di Makati. Calon lain juga masing-masing menghadapi masalah tersendiri, terutama Duterte yang dituduh mempunyai rekod membunuh lebih 1,000 suspek penjenayah semasa berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao.  

Sokongan terhadap Poe dibantu oleh populariti bapa angkatnya, Fernando Poe Jr, bekas aktor yang popular dalam kalangan penduduk miskin, pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden tetapi tewas kepada Gloria Macapagal Arroyo.

Menariknya, politik Filipina menjelang pemilihan presiden tahun ini, diwarnai kontroversi sejak awal apabila Presiden Aquino sendiri pada Ogos lalu,  membuat kenyataan mahu mengubah Perlembagaan bagi membolehkannya bertanding sekali lagi mempertahankan jawatan untuk penggal kedua.

Perlembagaan yang digubal di bawah pentadbiran ibunya, Corazon - Presiden Filipina ke 11 yang memerintah pada 1986 hingga 1992 selepas menggulingkan Ferdinand Marcos - mengehadkan seseorang presiden memegang jawatan hanya bagi tempoh sepenggal yang bersamaan enam tahun sahaja.

Ini bertujuan mengelak berulangnya pemerintahan ‘kuku besi’ sebagaimana Marcos yang memerintah selama 20 tahun sebelum digulingkan oleh rakyat yang hilang sabar setelah sekian lama hidup dalam keadaan tertindas.

Kegagalan Sang Presiden mengubah Perlembagaan untuk membolehkannya terus berada dalam arena politik tingkat atas Filipina, mungkin petanda akan berakhirnya dinasti politik Aquino sekali gus membuka ruang untuk seteru ketat mereka, keluarga Marcos melakukan 'comeback' ?

Pewaris Marcos, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, kini dilihat sedang dalam perjalanan ke mercu kuasa. Bongbong adalah calon naib presiden dalam pilihan raya ini bergandingan dengan Binay.

Selain beliau sendiri diangkat menjadi senator sejak 2010, ibunya Imelda yang pada suatu ketika cukup dibenci oleh rakyat Filipina, kini adalah ahli Kongres.

Menelusuri sejarah perseteruan dua keluarga itu, bukan sahaja rakyat Filipina malah dunia tidak mungkin melupakan tragedi yang menimpa bapa Presiden Aquino, Benigno ‘Ninoy’ Aquino Jr, ditembak mati di lapangan terbang Manila - yang kini dinamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino bersempena namanya – hanya beberapa saat setelah menjejakkan kaki di tanah airnya ketika pulang dari hidup dalam buangan di Amerika Syarikat pada 21 Ogos 1983.

Pesanan

Sebelum itu, Ninoy yang ditahan oleh rejim Marcos sejak 1972 atas tuduhan terlibat dengan kegiatan subversif, telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan jantung dan seterusnya hidup dalam buangan di negara itu selama tiga tahun.

Ketika ditahan, Ninoy telah mengutuskan satu pesanan yang cukup bermakna buat anaknya, Noynoy: “Satu pesanan yang ayah boleh berikan kepada kamu, hiduplah dengan penuh rasa hormat, dengan mengikut kata nalurimu.

Tiada yang lebih mulia di atas muka bumi ini melainkan tanah airmu. Tidak ada yang lebih bermakna melainkan rakyatnya. Berkhidmatlah untuk mereka dengan sepenuh hatimu, dengan segala keupayaan dan kekuatanmu. Anakku, bola sekarang di kakimu.”

Pembunuhan Ninoy juga telah membawa isterinya, Corazon ke kancah politik, mengepalai pemberontakan rakyat terhadap Marcos yang akhirnya mendudukkan beliau di kerusi presiden tiga tahun kemudian.

Sejak itulah, keluarga Aquino begitu dihormati dan disanjung oleh rakyat Filipina meskipun penglibatan mereka dalam politik sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu.

Moyang Noynoy, Servillano ‘Mianong’ Aquino adalah seorang jeneral dalam revolusi menentang penjajah Sepanyol dan kemudian diangkat menjadi pembantu kepada presiden yang pertama, Emilio Aguinaldo manakala datuknya, Benigno ‘Igno’ Aquino Sr, pula pernah dilantik Speaker Dewan Senat.

Keputusan Noynoy untuk terus hidup membujang sampai sekarang, seakan menutup legasi keluarganya dalam politik Filipina melainkan jika adiknya, Kris, 45, seorang pengacara program bual bicara televisyen terkenal turut mengambil langkah menyertai politik.

Sebaliknya di pihak seteru mereka, Bongbong dilihat sudah cukup bersedia. Meskipun bapanya, Marcos Sr, pernah begitu dibenci oleh rakyat Filipina, imej Bongbong adalah sebaliknya.

Simon, pemandu teksi yang bawa penulis dari Hotel Manila ke lapangan terbang NAIA Jumaat lalu, ketika ditanya pilihannya berkata, dia akan terus menyokong Bongbong, hingga pewaris Marcos itu bertanding kerusi presiden.

Terkejut dengan jawapannya, penulis bertanya: “Bukankah keluarga Marcos terkenal dengan rasuah?”

Simon menjawab: “Ada beza... Marcos ambil rasuah untuk dirinya, dan keluarganya saja tetapi Noynoy walaupun dia sendiri tidak rasuah, orang sekelilingnya lebih teruk daripada Marcos.

“Kalau orang di sekelilingnya ada 20, atau 50, atau 100 orang, bukankah penyelewengan mereka lebih teruk daripada Marcos?,” soalnya.

Jika demikian persepsi rakyat Filipina terhadap presiden mereka, ini sekadar melangsungkan pola politik mereka yang berubah-ubah. Malah bersangkut dengan sejarah yang berlumuran darah ayahnya, Noynoy tidak harus meninggalkan arena politik Filipina begitu sahaja tanpa pewaris.

Untuk waktu ini, beliau harus memastikan sekutunya, Roxas menang, dan bukan naibnya, Binay yang bergandingan dengan Bongbong.