KELMARIN, lapan anggota tentera Turki maut dalam pertempuran dengan militia Kurdis, YPG di Afrin, Syria. Apa yang berlaku disifatkan sebagai kekalahan paling teruk di pihak Turki sejak dilancarkan Operation Olive Branch bagi menghapuskan kumpulan pemisah itu 20 Januari lalu.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kenyataan anggota Majlis Keselamatan Rusia, Alexander Venediktov selepas pertempuran itu. Beliau mendakwa, Amerika Syarikat (AS) mempergunakan YPG untuk mengumpan Turki terjebak secara langsung dalam konflik di Syria, dan seterusnya bertempur dengan mereka.

Sejak tercetus konflik di Syria pada 2011,  Washington mengambil peluang melindungi etnik Kurdis daripada ancaman Daesh dan pada masa yang sama,  membantu mereka menentang Turki.

Keupayaan YPG membunuh lapan anggota tentera Turki dikira kejayaan besar bagi militia itu kerana ia sukar dicapai tanpa sokongan AS. Ini kerana, Turki termasuk dalam 10 negara tentera terkuat dunia.

Bagaimanapun dalam hal ini, AS menggunakan taktik lempar batu sembunyi tangan. Washington membantu YPG menentang Turki di Afrin, jauh dari wilayah kawalannya di Manbij dan Timur Euphrates.

Barang kali menyedari provokasi terselindung dimainkan oleh Washington, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam mengumumkan rancangan untuk memperluaskan operasi ketenteraannya hingga ke Manbij.

Ini dikhuatiri akan membawa kepada pertempuran secara langsung Turki dengan AS. Meskipun Washington diketahui memperalatkan Kurdis dan wilayah Syria untuk memastikan ‘penyamaran’ dapat dilakukan dengan sempurna, pertembungan dengan Turki sukar dielak sekiranya tentera negara itu mara hingga ke Manbij.

Namun, mengikut kata Venediktov, inilah yang  dimahukan oleh Washington. Jika benar, ia sememangnya satu perkara yang luar biasa.  AS dan Turki  adalah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Mengikut ranking ketenteraan, kedua-duanya adalah kuasa tentera No.1 dan 2 dalam  pertubuhan itu.

Mengikut prinsip NATO, jika mana-mana negara anggotanya diserang, ia seumpama serangan ke atas seluruh negara NATO.

Justeru, tindak balas ketenteraan boleh dilakukan di bawah satu pakatan untuk melindungi negara berkenaan. Dalam konteks di Syria, bagaimana jika pertembungan AS -Turki benar-benar berlaku?

Inilah yang paling dibimbangi melihat pada perkembangan mutakhir ini.  Umum mengetahui, Turki menyertai NATO sejak berada di bawah pemerintahan sekular totok.

Setelah teraju negara diambil alih oleh AKP, parti yang diketuai Erdogan, hubungan Turki dengan negara NATO lain, terutama AS berubah menjadi agak kurang mesra.

Kebangkitan drastik negara itu sebagai kuasa baharu daripada kalangan negara Islam dilihat sebagai ancaman terhadap hegemoni Barat yang diketuai Amerika Syarikat.

Turki juga tidak mesra dengan hampir kesemua negara Eropah meskipun ia kini adalah kuasa ekonomi ketiga terbesar dari blok itu selepas Jerman dan Britain.

Turki juga terus dihalang daripada menyertai Kesatuan Eropah (EU) atas pelbagai alasan dan sekatan.

Hubungan Ankara dengan Washington pernah menjadi sangat tegang pasca cubaan kudeta oleh sekumpulan jeneral Turki pada 15 dan 16 Julai 2016.

Erdogan ketika itu lantang menuduh Washington mendalangi rampasan kuasa terbabit menerusi pakatan dengan Fethullah Gulen, ulama Turki yang hidup dalam buangan di Pennsyalvania.

Turki juga sejak diambil alih Erdogan telah melompat jauh dari tangga ke 111 ke 13 dalam carta ekonomi  dunia.  

Menerusi gagasan Vizyon 2024, Erdogan menyasarkan Turki muncul kuasa ekonomi No.1 Eropah dan No. 3 dunia selepas China dan Amerika Syarikat pada 2023.

Vizyon 2024 adalah visi beliau untuk mengembalikan kegemila-ngan Turki sebagaimana ketika era Uthmaniyyah. 

3 Mac lalu, genap 94 tahun kejatuhan empayar itu berikutan keputusan Parlimen Turki bawah rejim sekular Mustafa Kemal Atarturk menggantikannya dengan sistem republik.  Erdogan meletakkan sasaran selepas tempoh 100 tahun, Turki harus bangkit semula!

Dalam pada itu, beliau juga melancarkan gagasan Biz Bir Ummetiz atau Kita Satu Ummah bagi membela negara-negara Islam yang miskin dan ditindas. Kebangkitan itulah yang ditakuti AS!