APABILA bacaan kali kedua usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diturunkan daripada kedudukan keempat ke kedudukan ketujuh dalam kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu, ia segera mengundang polemik.

Ada pihak menjadikan apa yang berlaku itu sebagai sendaan untuk memperlekehkan usaha Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang membawa usul tersebut untuk dibentang dan dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Termasuk yang bergembira dengan penangguhan usul itu dibentangkan adalah daripada kalangan orang Islam sendiri.  Mereka gembira kerana menganggap Pas telah diperdayakan  oleh BN sebagai parti yang menguasai Parlimen setelah beberapa kali usaha Abdul Hadi membentangkan usul itu tertangguh.

Demikianlah betapa usaha untuk membentangkan usul yang ada kaitan dengan kehidupan umat Islam negara ini – yang boleh dianggap begitu diperlukan dalam keadaan tahap masalah sosial membabitkan mereka semakin parah dan membimbangkan – begitu mendapat perhatian (baca: Tentangan) sedangkan ini bukanlah kali pertama akta itu dipinda.

Antara yang jadi penyebab berlakunya hal seperti itu adalah kerana yang membawakan usul berkenaan adalah Presiden Pas. Sebelum ini, usul yang membabitkan pentadbiran seperti itu lazimnya dibawa oleh anggota kerajaan. Apabila yang membawanya pemimpin utama sebuah parti yang dasar perjuangannya adalah untuk melaksanakan pemerintahan secara Islam termasuk dalam aspek perundangan, mudahlah untuk mereka yang menyokong dan tidak menyokong mengaitkan usul pindaan Akta 355 sebagai laluan ke arah menguatkuasakan undang-undang hudud di negara ini.

Sememangnya, apabila Abdul Hadi yang ke hadapan dalam urusan yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah, ia telah mencetuskan keresahan dalam kalangan bukan Islam terutamanya kerana dianggap pindaan Akta 355 ada kaitan dengan usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam. Sementelahan pula di Kelantan dan Terengganu, undang-undang yang berasaskan hukum hudud sudahpun diluluskan dan diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing. Kelantaan pada 1993 manakala Terengganu pada 2002 ketika Abdul Hadi sebagai menteri besar negeri itu.

Ironinya, usul untuk meminda Akta 355 bukanlah suatu perkara yang rumit. Ia sekadar suatu usaha yang dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen untuk membentang bagi membolehkan usul meminda suatu akta yang boleh dianggap dianggap lapuk dan tidak relevan untuk dibawa ke dalam persidangan, yang jika diluluskan dan diwartakan, suatu undang-undang yang lebih realistik dengan situasi semasa dapat dilaksanakan dalam kalangan umat Islam. Ini penting supaya terma yang berkaitan dalam udang-undang itu dapat dipinda dan pertingkatkan kuasanya seiring dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat, khususnya umat Islam. Tidak ada apa-apa yang luar biasa dalam usaha ini!

Apabila dijadikan polemik sekali gus isu politik, apa yang sepatutnya mudah akan menjadi payah. Malah isu itu juga dimanipulasi untuk mencetuskan kekeliruan, kecurigaan, perbalahan dan kecelaruan dalam masyarakat. Amat merisaukan apabila ia turut diseret untuk membakar sentimen keagamaan dan perkauman.

Ketika rang undang-undang yang kini dikenali sebagai Akta 355 itu dibentangkan di Dewan Rakyat oleh menteri Persekutuan, Tun Abdul Rahman Yaakub pada 1965, lapan Ahli Parlimen – yang kesemuanya beragama Islam - membahaskan usul itu. Langsung tidak ada Ahli Parlimen bukan Islam bangun menentang dan ia akhirnya diluluskan dengan mudah.

Begitu juga ketika dibuat pindaan terhadap undang-undang tersebut pada 1984. Usul pindaan itu dibawa oleh Menteri di JPM pada masa itu, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.  13 Ahli Parlimen yang kesemuanya juga beragama Islam, bangun membahaskan dan pindaan itu juga diluluskan dalam keadaan tenang.

Hiruk-pikuk

Hanya usul untuk meminda kali ini yang mencetuskan hiruk-pikuk hingga ada yang merah-merah muka.

Ya, walaupun memang menyedihkan apabila ada dalam kalangan orang Islam sendiri terutama daripada kumpulan liberalis begitu keras menentang cadangan ini, tindak-tanduk mereka masih boleh difahami.

Ini kerana sebagai orang Islam, mereka masih tertakluk di bawah undang-undang syariah yang sememangnya hanya khusus untuk orang Islam. Dalam kata lain, sebarang pindaan untuk memperkasakan undang-undang itu termasuk meningkatkan kadar hukuman sama ada denda wang, penjara atau sebatan, adalah juga melibatkan mereka.

Jika ditakrif mengikut istilah undang-undang, mereka mempunyai locus standi untuk memberi maklum balas dalam perkara itu.

Akan tetapi yang menghairankan adalah apabila orang bukan Islam turut sama riuh-rendah membantah apa yang sememangnya sedia diketahui tidak ada kena mengena pun dengan mereka.

Mereka mencipta sebab bahawa pindaan Akta 355 kali ini bertujuan untuk membuka ruang kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu dan apa yang sedang dilakukan adalah tindakan pintu belakang untuk merealisasikan usaha menguatkuasakan undang-undang hudud.

Jika benar sekalipun apa yang dirisaukan itu, amat jelas bahawa kedua-dua enakmen yang telah diwartakan di dua negeri Pantai Timur itu tetap juga tidak membabitkan orang bukan Islam.

Lalu, apa yang sebenarnya mereka risaukan?

Paranoid

Paranoid. Itulah masalah yang dihadapi mereka. Mereka mencipta cerita hantu yang akhirnya membuatkan mereka sendiri hidup dalam ketakutan.

Mereka tidak peduli bahawa pada masa mereka membantah usul itu, mereka juga sebenarnya telah melakukan campur tangan yang terang-terangan dalam urusan orang Islam. Pada masa mereka bercakap mengenai kepentingan hidup bertoleransi dalam masyarakat majmuk, mereka sendiri sebaliknya telah melanggar prinsip yang mereka laungkan!

Jika dahulu mereka minta Pas berikan penjelasan, sesudah usaha itu dibuat, mereka masih juga membantah. Ini menunjukkan seolah-olah penyakit ultra kiasu telahpun menjangkiti satu golongan penduduk negara ini.

Sesungguhnya, pindaan kali ini tidak lebih sekadar untuk memperkasakan undang-undang syariah yang sedia ada untuk bersifat relevan dengan perubahan dalam masyarakat, juga untuk meningkatkan tahap moral dan disiplin sosial mereka.

Hukuman yang pada masa ini dihadkan kepada penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000  atau enam kali sebatan sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini.

Itu sahaja yang mahu dilakukan sedangkan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud yang dicita-citakan oleh Pas, masih terlalu jauh sebenarnya!

Apa pun, hajat pemimpin dan penyokong parti itu untuk melihat terlaksananya pembentangan kali kedua dan ketiga usul pindaan Akta 355 pada sesi sidang kali ini, kelihatannya seperti tidak akan kesampaian.

Ini kerana, usul itu kini berada pada kedudukan kelima sedangkan mengikut aturan mesyuarat, usul Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu, akan mengambil tempoh sehingga 22 November untuk dibahaskan.

Tarikh akhir sesi sidang kali ini akan berakhir pada 24 November yang bermakna, hanya tinggal dua hari untuk usul lain dibawa.

Mengambil kira kedudukannya di tempat yang kelima, hampir pasti usul pindaan Akta 355 tidak akan sempat untuk dibentangkan dalam tempoh dua hari itu sebelum sidang ditangguhkan.

Jika berlaku seperti yang dijangka, terpaksalah tunggu sesi pada Mac tahun hadapan pula!