“ENOUGH is enough,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya berhubung krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine, Myanmar.

Kata-kata itu yang ditujukan kepada pemerintah Myanmar terutama kaunselor Aung San Suu Kyi membawa isyarat ketegasan Malaysia sebagai anggota berpengaruh ASEAN  yang mahu Naypyitaw segera menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.

Umum sedar bahawa krisis di Rakhine bukan lagi isu politik biasa tetapi sudah memasuki kategori genosid. Dalam keadaan ini, naluri kemanusiaan bukan sahaja Najib malah setiap yang waras pasti akan terpanggil untuk bangun menentang. 

“Mereka gertak saya,  saya tak peduli,” kata Najib lagi ketika berucap di hadapan 20,000 peserta himpunan solidariti Rohingya di Stadium Tasik  Titiwangsa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Najib sebelum itu telah diperingatkan oleh wakil Kerajaan Myanmar supaya jangan masuk  campur apa yang disifatkan sebagai urusan dalaman negara itu. Naypyitaw menganggap beliau campur tangan jika hadir himpunan tersebut.

Bagaimanapun dalam ucapan di hadapan lebih lima ribu perwakilan Umno di PWTC sehari sebelumnya, Najib menegaskan bahawa beliau tetap akan hadir himpunan itu “walau apa juga pun yang berlaku!”

“Apa mereka nak saya buat? Tutup mata? Tutup mulut? Saya tak akan diam. Apabila berlaku kezaliman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dipukul, diusir, adakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?” katanya.

 

Hina 

Terdahulu, Wisma Putra menyatakan akan memanggil Duta Myanmar, Zaw Myint untuk mendapatkan penjelasan mengenai krisis Rakhine.

Dalam pada itu, Najib tetap menyatakan Kuala Lumpur tiada maksud mahu memutuskan hubungan dengan Naypyitaw. 

“Malaysia tidak akan sampai ke peringkat memutuskan hubungan dengan Myanmar. Apa yang kita suarakan adalah nilai sejagat dan hak asasi manusia. Ini yang dipegang oleh ASEAN. Keadaan di Myanmar boleh jadi masalah serantau kerana kesan konflik di Rakhine boleh melimpah ke negara anggota yang lain,” katanya. 

Itu pada masa itu. Persoalannya sekarang, apa pula selepas ini? 

Adakah cukup bagi seorang pemimpin No. 1 negara menunjukkan kesungguhan memerangi jenayah kemanusiaan yang begitu kritikal  dengan hanya hadir satu himpunan solidariti?

Jawapannya sudah tentu tidak, dan rakyat menunggu yang lebih tegas lagi.

Inilah masanya. 

Susulan ketegasan Najib, dalam beberapa hari ini, reaksi lebih keras diterima daripada pihak sana. Lewat media sosial, rakyat Maynmar didapati telah melakukan penghinaan yang begitu melampau terhadap Malaysia. Adalah dipercayai, penghinaan serupa turut dilakukan oleh mereka yang menetap di negara ini. 

Tanpa mahu menidakkan bahawa penghinaan terhadap agama Islam adalah lebih jauh menyinggung, penghinaan terhadap raja-raja Melayu mengharuskan kerajaan untuk  bertindak balas dengan lebih tegas termasuk menggantung hubungan diplomatik dengan negara itu.

Mengapa tidak?

Penghinaan terhadap simbol kedaulatan bangsa dan negara terutama raja-raja kita cukup untuk jadi sebab mengapa harus hubungan antara dua negara ditimbang semula. Kalau pun tidak sampai memutuskan, ia perlu digantung sementara. Setidak-tidaknya, ini akan menunjukkan betapa seriusnya perhatian kita terhadap tindakan biadab mereka!

 

Duta

Meskipun dalam hal ini, yang terlibat adalah rakyatnya, Kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab. Tambahan pula dalam krisis di Rakhine,  bukanlah rahsia bahawa pemerintah merestui pembantaian terhadap etnik Rohingya yang dibela oleh kerajaan dan rakyat Malaysia serta dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

Lalu apa yang wajar dilakukan ialah menutup kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan memanggil pulang duta kita di Naypyitaw.

Pedulikan kebimbangan para kapitalis yang masih mahu mengambil kira untung rugi bisnes jika kerajaan bertindak tegas dalam isu Myanmar. Mengikut rekod, terdapat 141,868 pekerja Myanmar di negara ini. 

Sudah sampai masa untuk golongan pemodal diberi kesedaran bahawa kemanusiaan adalah jauh lebih tinggi nilainya berbanding wang ringgit dan janganlah mereka selama-lamanya mahu mengejar upah yang rendah semata-mata hingga mengkesampingkan elemen lain yang lebih penting di persekitaran. 

Sebagai bandingan, terdapat lebih 150,000 pelarian Rohingya di negara ini yang pada bila-bila masa boleh diambil bekerja jika kerajaan sedia untuk berunding dengan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) bagi meminda undang-undang untuk membolehkan mereka berbuat demikian. 

Dalam hal ini, sudah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah mendahului dalam membela nasib Rohingya. Tatkala pemimpin utama dunia termasuk negara-negara Islam (kecuali Turki) diam melihat penindasan yang berterusan terhadap etnik minoriti ini, Najib memilih untuk bersuara.

Amerika Syarikat yang selama ini sering melaungkan pembelaan dalam isu-isu hak asasi, sebaliknya diam membisu melihat kekejaman berleluasa di Myanmar. 

Ini jauh berbeza dengan sikap mereka ketika membela Suu Kyi menghadapi rejim junta yang belum pun begitu lama untuk kita lupakan. Dalam isu Rohingya, mereka tidak mampu hendak menegur seorang pemenang anugerah Nobel yang diterima sebagai kroni mereka. 

Lantaran itu, tidak dapat tidak Malaysia harus melakukan sesuatu yang lebih tegas untuk menghentikan kesumbangan ini. Biarlah kita mendahului yang lain dengan langkah-langkah yang logik kerana apabila ada yang sanggup ke hadapan, lebih mudah untuk yang lain menyusul. 

Penindasan terhadap etnik Rohingya adalah kekejaman yang begitu menghiris hati dan tidak mampu untuk didiamkan lebih lama.

 

Retorik  

Setelah memulakan langkah yang pertama, elakkan daripada sekadar beretorik kerana tanpa langkah susulan yang konkrit, ia mungkin akan lebih memudaratkan keadaan. Jika kita sekadar berteriak dari jauh, ada kemungkinan saudara kita di Rakhine akan lebih teruk dibantai oleh kaum pemangsa yang tidak berperikemanusiaan itu untuk membalas dendam. 

Apa yang lebih dibimbangi sebenarnya, sentimen agama yang jadi punca pembantaian di sana dikhuatiri akan merebak ke negara ini. Contoh jelas adalah kes penemuan empat mayat di Bachok, Kelantan bulan lalu. Menurut polis, kes itu dipercayai ada kaitan dengan krisis di Myanmar.

Sementelahan pula, reaksi terhadap kelantangan Perdana Menteri telah memperlihatkan di media sosial adanya tindak balas dari dalam negara oleh mereka yang mungkin menyamar untuk memanaskan lagi keadaan. 

Selain itu, kehadiran warga Myanmar di negara ini dengan latar belakang dan gaya hidup yang begitu kontradik dengan budaya tempatan turut menjejaskan ketenteraman hidup masyarakat setempat. Apatah lagi sebilangan mereka turut dikaitkan dengan kes-kes jenayah berat hingga menimbulkan rasa takut kita di tanah air sendiri. Isu-isu seperti penguasaan kawasan tertentu hingga seolah-olah mewujudkan koloni mereka yang tersendiri sudah tentu tidak boleh dipandang ringan.

Dalam pada itu, adalah dinasihatkan supaya netizen Muslim tidak emosional dalam mengulas isu ini di media sosial. Jangan sampai menghina agama lain kerana Islam melarang penganutnya bertindak demikian bagi mengelak ALLAH dihina balas oleh mereka yang dihina.

Mengecam tindakan ganas ekstremis Buddha di Myanmar biarlah secara khusus, jangan sampai menghina penganut Buddha yang tidak ada kaitan. 

Ada penganut Buddha sendiri yang turut mengecam keganasan puak pelampau itu kerana Buddha bukanlah ajaran yang menganjur kekejaman sebaliknya menjunjung tinggi nilai kemanusiaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • WASWAS daripada segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. Rujuk: Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah (43/147). ALLAH SWT berfirman: "Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya." (Surah Qaf: 16)
  • Rakyat Malaysia, terutama mereka yang berusia antara 16 hingga 35 tahun perlu mempertimbang untuk mempelbagaikan pelaburan serta simpanan mereka bagi mengelak mempunyai dana persaraan yang tidak mencukupi.
  • PERTUBUHAN kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.
  • SHAH ALAM - Pertubuhan kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menggesa semua negara Islam agar berhenti daripada bersifat dayus dalam menangani isu penghapusan etnik Rohingya yang kini semakin meruncing.
  • PUTRAJAYA - Lebih ramai golongan wanita digalakkan terlibat dalam bidang keusahawanan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.