DIA cantik. Apabila dia bercakap mengenai kecantikannya, dia tidak bohong. Tetapi cantiknya dia, tidak di mata suaminya sendiri. Malah katanya, dia sendiri hairan.

Ketika dia merasakan dirinya sudah cukup cantik -suaminya pula ligat memburu wanita lain. Bukan sekali dua pula suaminya terkantoi curang.

"Sudah banyak kali," katanya di hadapan saya pada suatu hari. Kami bertemu di sebuah kopitiam di Shah Alam atas permintaannya sendiri.

"Apa lagi yang tidak cukup pada saya? Apa yang dia mahu, yang saya tak boleh beri?" Dia bertanya. Saya diam. Bergumam. Memang saya tidak ada jawapan.

Sebabnya saya bukanlah suami dia. Manalah saya tahu apa yang lelaki itu fikirkan. Berjumpa pun tidak pernah.

Hanya wanita itu sahaja yang telefon, beritahu nak jumpa saya. Katanya untuk minta nasihat supaya suaminya tidak cari perempuan lain.

Oh! Saya dibuatnya macam bomohlah pula. Mulanya memang saya mengelak. Saya wartawan. Ada sedikit ilmu dan pengalaman mengenai tulis menulis tetapi saya bukanlah kaunselor atau konsultan rumah tangga.

Tidak tahu saya bagaimana hendak beri pandangan kepada orang yang hadapi masalah rumah tangga. Setakat beri pandang bolehlah.

Saya sendiri  kalau balik lambat, isteri pandang pun sudah tidak tahu nak kata apa, inikan mahu menasihati orang pula!

Inilah agaknya apa yang disebut sebagai tanda-tanda kiamat makin hampir, orang yang seperti saya, yang tidak ada ilmu, apa lagi mahu dianggap arif, diminta menasihati rumah tangga orang.

Nasihat orang orang bukan kerja yang mudah. Tambah susah jika kerja dibuat tanpa upah. Tetapi apabila dia kata, "Saya amat harapkan nasihat tuan. Tuan fikirlah,  masjid ini boleh roboh bila-bila masa. Saya saudara seagama yang mengharapkan pertolongan tuan."

Nah! Apa lagi saya boleh kata? Saya serba salah. Mahu tak mahu, terpaksa sudilah juga.

Dia pun bercerita itu ini apa yang berlaku dengan suaminya. Dari hal tidak setia hinggalah larangan suami yang tidak mahu gambar mereka dipaparkan di Facebook.

"Tuan tengoklah, kan gambar saya saja... gambar dia tak ada," kata dia.    Jawapan saya mudah, "suami puan jenis pemalu kut?"

Jawapan acuh tak acuh saya rupanya buat dia marah. "Lelaki ni semuanya sama saja kut!"

Saya balas: "Puan kena tenang. Kalau puan tak tenang, puan tak akan dapat faham apa saya maksudkan. Ini cara saya. Saya bukan kaunselor. Kalau puan tak  suka, kita boleh berhenti di sini."

Dia minta maaf dan beri saya ruang berkata-kata. Nasihat saya lebih berbaur agama, agak teoritikal dan tidak begitu praktikal. Saya sedar, dia tidak selesa.

Ini  ditunjukkan menerusi berkali-kali soalan ditanya, "apa yang saya kurang, apa lagi yang suami saya mahukan?"

Saya kata, saya tidak boleh jawab soalannya. Pertama, saya tidak akan sebut keburukan suaminya jika itu yang dia mahukan. Saya tidak mahu berdosa tak pasal- pasal.

Kedua, saya nasihat mengenai tanggungjawab agama, walaupun membosankan tetapi itulah sebaik-baik jalan untuk dia dan suaminya hidup bahagia. Tidak akan ada kebahagiaan yang sebenar tanpa reda ALLAH dan dengan mengikut syariat agama.

Mengenai kecantikan, saya kata itu kena ketepikan dahulu. Walaupun kecantikan penting untuk tatapan suami tetapi yang lebih penting ialah kecantikan dalaman.  

Walaupun dirinya dirasakan sudah cukup cantik, cukup sempurna, syaitan tetap akan membisikkan berbagai-bagai kekurangan dalam hati suaminya untuk rumah tangga mereka berpecah belah.

Sebab itu, nasihat saya adalah untuk dia berusaha perelokkan lagi kecantikan dalaman kerana itu lebih penting daripada yang fizikal.

Jika kecantikan fizikal diagung-agungkan hingga dia sendiri hairan mengapa suaminya masih cari wanita lain walaupun dirinya cantik, kata saya itu hanya menunjukkan yang dia sendiri begitu ego.

Ego dengan suami tidak akan temukan dia dengan penyelesaian masalah yang dihadapi.

Akhirnya dia mengaku. Katanya, dia memang sengaja papar gambar-gambar termasuk yang tidak menutup aurat di Facebook dengan harapan suaminya akan cemburu.

Lihatlah, api dilawan dengan api. Akhirnya, kedua-dua hangus rentung. 

"Sebaiknya, kembalilah pada jalan agama, ikut syariat, buang semua gambar yang dedah aurat. Jangan biar lelaki lain memuji-muji di laman sosial.

Bersopanlah dengan suami. Sedarkanlah dia yang puan sudah berubah. Saya yakin dia akan ikut kerana puan sememangnya cantik. Tidak ada yang kurang," kata saya.