JATUHNYA Kerajaan BN yang telah memerintah begitu lama dan naiknya kerajaan PH bukan sahaja membawa 1,001 harapan daripada rakyat yang memilih mereka tetapi juga 1,001 penilaian; adakah Pakatan Harapan (Harapan) akan benar-benar membawa pembaharuan dalam pemerintahan negarakita atau sekadar mewarisi sistem dan budaya rejim lama?

Adakah mereka akan jadi seperti apa yang sering disebut, more of the same iaitu hanya parti yang berubah sedangkan polisi dan budaya pemerintahan yang sebelumnya dikekalkan?

Secara jujur, memanglah tidak adil untuk menilai kerajaan yang baharu berusia tiga minggu ini dalam masa terdekat namun mereka harus sentiasa diperingatkan tentang segala janji yang sudah dibuat, yang telah begitu berjaya mempengaruhi rakyat yang nekad menumbangkan BN.

Mereka harus segera dikejutkan daripada lambungan euforia,, keghairahan melampaui batas yang mungkin boleh mengecewakan rakyat sekiranya berlarutan.

Banyak yang perlu dilakukan oleh Harapan untuk menjadikan negara ini lebih matang dan berdaya saing. Dalam aspek politik, juga sistem pemerintahan misalnya, kita terlalu banyak ketinggalan.

Dalam pemerintahan negara, kita mengamalkan konsep Westminster yang diambil daripada sistem pemerintah Biritish. Nama Westminster diambil daripada Westminster Palace, bangunan Parlimen Britain.

Sebagaimana salah sebuah negara Komanwel yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, banyak corak dan peraturan yang diguna pakai dalam pemerintahan negara hari ini dicedok daripada konsep dan perundangan British. Sesetengahnya memang telah diubah suai mengikut hukum-hakam, budaya dan peradaban tempatan namun asasnya masih bertunjang di Westminster.

Ironinya, setelah British sendiri melaksanakan berbagai-bagai transformasi dalam budaya mahupun perundangan Westminsternya, apa yang berlaku di negara kita bukan sahaja masih ditakuk lama bahkan sesetengahnya seakan mundur ke belakang.

Ini termasuklah layanan terhadap pembangkang - yang kini sudah jadi kerajaan - oleh kerajaan yang terdahulu. Pembangkang di negara ini bukan sahaja tidak dirai sebagai sebahagian daripada komponen pemerintahan malah ada ketikanya dianggap seperti musuh negara.

Ini antara perkara yang harus diubah oleh kerajaan pada hari ini untuk menjadikan negara kita lebih baik sebagaimana yang dijanjikan, bukan membalas dendam!

Sebagai sebuah negara yang sedang berasimilasi dengan karakter untuk menjadi sebuah negara mau, amatlah tidak kena apabila mendapati hampir tidak ada perubahan dilakukan oleh kerajaan yang terdahulu untuk mengubah dan menaik taraf status pembangkang sebagai sebahagian daripada komponen pemerintahan yang layak untuk dihormati seiring dengan  kedudukannya diiktriraf di sisi perlembagaan.

Berbanding negara kita, Britain sebaliknya telah memperkenalkan banyak insiatif  dalam usaha memartabatkan institusi Parlimen Westminsternya. Ini juga bagi menggalakkan penglibatan rakyat selain pengukuhan konsep semak dan imbang yang sudah melibatkan peranan penting pihak pembangkang.

Di negara itu, parti pembangkang - walaupun menentang kerajaan dalam pilihan raya - tetap mendapat peruntukan dana daripada kerajaan jika mereka berupaya memenuhi kriteria tertentu yang ditetapkan mengikut undang-undang.

Setiap anggota Parlimen pembangkang berhak untuk mendapat peruntukan short money. Itu bagi ahli Parlimen manakala bagi parti pembangkang pula, mereka mendapat peruntukan terus daripada Suruhanjaya Pilihan Raya United Kingdom.

Mengikut dasar Policy Development Grant (PDG) yang berada di bawah suruhanjaya itu, setiap parti politik yang mendapat jumlah undi tertentu ketika pilihan raya berhak untuk mendapat dana bernilai RM10.5 juta setahun bagi menjalankan kajian dan aktiviti parti di kawasan yang mereka wakili.

Ini peruntukan terus kepada parti pembangkang, bukan kepada wakil rakyat ataupun yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah atau Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang biasa diamalkan di negara kita.

Sebagaimana yang dinyatakan tadi peruntukan untuk anggota Parlimen yang mewakili parti pembangkang adalah berasingan dan tidak termasuk dalam peruntukan PDG.

Di negara kita, walaupun mungkin boleh disifatkan sebagai terlalu perlahan, perubahan ke arah itu sudah mula diperlihatkan.

Sebelum PRU14 lagi, Harapan telah menetapkan polisi untuk memberikan peruntukan kepada parti-parti pembangkang sekiranya (setelah) mereka menang pilihan raya lalu.

Ini yang menjadi isu apabila Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan, menegaskan kerajaan negeri itu tidak akan beri peruntukan kepada pembangkang.

Kenyataannya itu segera ‘diperbetulkan’ oleh Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan Kerajaan Harapan tetap berpegang pada janji yang telah diikrarkan sebelum itu.

BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN.