HARI ini tercatat sejarah bagi Britain. Theresa May akan mengambil alih kepimpinan Parti Konservatif daripada David Cameron.

Ini disusuli pengambilalihan jawatan perdana menteri setelah Cameron membuat keputusan untuk melepaskan kedudukan dalam parti dan kerajaan.

Membuktikan prinsip moral mengatasi kepentingan diri, Cameron mengambil tindakan itu berikutan keputusan referendum Brexit baru-baru ini yang mana gagasannya untuk Britain kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) tidak diterima oleh majoriti rakyat.

Seramai 17.5 juta atau 51.9 peratus warga Britain memilih untuk keluar daripada EU. Hanya 16.1 juta atau 48.1 peratus sahaja yang bersetuju dengan Cameron.

Begitupun, beliau memilih untuk melepaskan jawatan malah mempercepatkan tindakan itu meskipun awalnya, menyatakan hanya akan berundur pada Oktober bagi memastikan proses transisi  tidak menimbulkan masalah dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Bagaimanapun setelah keputusan melantik pengganti, May – yang mendapat sokongannya – dibuat, Cameron dilaporkan akan menghadap Ratu Elizabeth II untuk mendapat perkenan meletak jawatan perdana menteri.

Sebilangan pemerhati politik Barat terkejut dengan tindakan itu. Mengikut perlembagaan, beliau boleh sahaja mengekalkan jawatannya kerana itu bukan keputusan pilihan raya. Malah dalam pilihan raya tahun lalu, Parti Konservatif pimpinannya menang, sekali gus membuktikan majoriti rakyat Britain masih mahukan kepimpinan Cameron.

Keputusan referendum sekadar menunjukkan majoriti rakyat mahu negara itu meninggalkan EU, bukannya menolak Cameron. Mungkin sebilangan mereka yang mengundi Brexit masih mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri Britain namun bagi dirinya sendiri, keputusan 51.9 peratus adalah petunjuk penolakan terhadap kepimpinannya.

Cameron membuktikan kebesaran jiwa sebagai pemimpin!

Sebagai negara Komanwel, apa yang berlaku di Britain dirasakan begitu ‘dekat’ dengan kita.

Dalam aspek pemerintahan, negara-negara Komanwel termasuk Malaysia juga mengamalkan konsep Westminster seperti Britain.

Bagaimanapun, setelah Britain melaksanakan berbagai inisiatif pendemokrasian untuk mengukuhkan lagi sistem yang diamalkannya, kebanyakan negara ini sebaliknya masih tegar mempertahankan budaya politik lapuk hingga menimbulkan tanggapan; tujuannya adalah untuk memberi kelebihan kepada pemerintah.

Malah ada pandangan, tampuk kuasa yang dikepung begitu lama, yang begitu berpusat pada individu di puncak kuasa kadang kala memperlihatkan konsep pemerintahan yang diamalkan di sesetengah negara ini seakan mengundur, persis era feudalisme.

Ini berlaku apabila demokrasi dan birokrasi ditundukkan serentak menerusi manipulasi dan dominasi kuasa. Pengaruh seseorang ketua kerajaan bukan sahaja menguasai ahli politik, malahan juga sistem dan anggota dalam pentadbiran awam.

Orang Inggeris terkenal dengan karakter budimannya. Dalam budaya mereka, watak gentleman sudah sebati dengan diri dan kehidupan mereka sehari-hari. Apabila melibatkan diri dengan poltik, mereka meletakkan karakter itu sebagai petunjuk integriti. Prinsip dan moraliti adalah lebih dipentingkan berbanding kepentingan diri.

 Malangnya, itu agak kurang berlaku di negara-negara yang pernah dijajah meskipun pemerintahan yang diamalkan juga mengikut konsep Westminster.

Lebih malang lagi, ada sesetengah negara yang kemajuan materialnya menghampiri kelas pertama namun budaya politik masih pada tahap kelas ketiga.

Cameron bukannya tidak berpengaruh tetapi. inilah sikap gentleman dan akauntabiliti pemimpin negara maju. Mereka meletakkan kepentingan rakyat, maruah dan reputasi negara mengatasi diri sendiri. Inilah kematangan politik yang sejati, bukan pada retorik tetapi kesediaan untuk mengorbankan kepentingan diri demi rakyat dan negara.