SAYA ada lebih 3,000 rakan maya di Facebook. Kebanyakannya wanita. Ramai daripada mereka adalah pengikut ruangan saya di Sinar Harian (Kelab 40), Mingguan Wanita (Sembang Lelaki) dan Kopi O Kaw - Majalah Nur selain pembaca buku-buku saya.

Sepanjang pemerhatian, tidak ramai rakan-rakan wanita saya mencatat tarikh lahir yang lengkap pada profil mereka. Kalau pun ada, hanya hari dan bulan, tanpa tahun. Hampir kesemua mereka begitu berahsia mengenai umur.

Mungkin kerana mereka tidak mahu orang tahu umur mereka yang bersangkutan pula dengan motif takut dianggap tua.

Meskipun demikian mereka cuba sembunyikan, bumi tetap berputar juga. Umur mereka, seperti orang lain tetap akan bertambah dan mereka akan jadi tua juga.  Ini tidak berlaku pada lelaki. Lelaki biasanya tidak ambil kisah pasal umur.

Mereka juga tidak takut umur mereka diketahui orang. Kalau ada lelaki yang begitu, ini mungkin kerana hormon kewanitaan ada tersesat atau terperangkap di dalam tubuhnya.

Lelaki sejati tidak ambil kisah pasal umur. Malah satu falsafah yang masyhur dalam kalangan lelaki peringkat pertengahan, semakin berumur, semakin mereka diburu. Yang memburu itu pula bukan yang sebaya tetapi yang muda, bahkan ada yang sangat muda.

Saya sekadar memetik kata-kata orang, bukan daripada pengalaman. Saya menulis pojok ini petang Khamis. Malam ini malam Jumaat. Tiadalah malam Jumaat saya untuk beberapa minggu akan datang jika saya mengaku ini pengalaman.

Keresahan kaum wanita adalah kerana bertambahnya usia mereka dikaitkan dengan semakin kendurnya kulit muka. Semakin besar angka, dikaitkan dengan fenomena semakin menggelebernya dada. Itu yang mereka risaukan.

Walhal, saya sendiri sebagai lelaki tidak berpandangan begitu. Ramai wanita kenalan saya yang dahulunya tidaklah secantik mana tiba-tiba berubah jadi mengancam dan begitu menawan wajah serta penampilan mereka tatkala usia hampir separuh baya.

Tidak. Perlu saya akui bahawa pandangan saya ini bukan kerana dipengaruhi oleh paras umur sendiri yang sebaya dengan mereka. Yang muda pun saya pandang juga.

Tetapi ini kenyataan jujur saya, bahkan saya berasakan sudah sampai masa untuk wanita sendiri berhenti daripada memikirkan bertambah usia semestinya akan memudarkan kecantikan mereka.

Bukan itu sahaja, bagi mereka yang begitu obses dengan kecantikan, sesetengahnya sampai menganggap hidup seolah-olah sudah berakhir apabila rupa paras tidak lagi cantik.

Jangan jadikan umur atau rupa paras sebagai asbab untuk anda hidup dalam keadaan berputus asa, tiada motivasi yang mungkin akan meletakkan diri anda pada tahap yang paling rendah, mati sebelum mati.

Sebenarnya melalui pandangan sebagai lelaki, saya melihat kecantikan seseorang wanita tiada kaitan dengan usia. Bertambah usia tidak semestinya akan memudarkan kecantikan.

Sebelum ini pun, menerusi tulisan-tulisan saya yang terdahulu, sering saya nyatakan bahawa saya menilai kemuncak keanggunan seseorang wanita adalah pada paras usia lewat 30an atau awal 40an.

Ya, memang betul gadis awal 20an itu cantik tetapi pada saya belum cukup masak. Tarikan yang ada pada mereka belum sempurna, belum sampai tahap matang.

Sedang wanita yang berusia sekitar 40an, mereka ada segala - kecantikan, kematangan, ketenangan, pertimbangan, keterbukaan, juga kemampuan kewangan - yang sememangnya mempengaruhi penampilan.

Tetapi mengapa ramai yang kelihatannya semakin 'berserabut' tatkala usia bertambah?

Antara sebabnya adalah persepsi yang tidak betul. Persepsi itulah yang menyebabkan mereka hidup dalam keadaan putus asa dan tiada semangat untuk menjaga penampilan diri, menyebabkan mereka tua sebelum masa.

Kadang kala ini berkait dengan sikap suami juga. Suami bukan sahaja tidak beri semangat malah sering pula 'kondem' isteri yang dilihatnya tidak cantik. Ini mungkin satu tindakan eskapisme untuk menyembunyikan kekurangan diri sebagaimana yang disebut seorang ustaz dalam satu ceramah: Ada suami yang memperlekehkan isteri, "dulu baru kahwin, badan macam botol Coca Cola, sekarang sudah jadi botol mineral.

Dia terlupa, dia sendiri dulu pipihnya perut macam tikar dengan lantai, sekarang mengusung bantal." Tetapi eskapisme yang paling dibimbangi isteri ialah kalaulah itu alasan suami untuk bermain mata dengan wanita lain. Maka bertambah makan hatilah isteri ...