STATUS - bukan status Facebook - sebagai bapa banyak mengubah saya. Paling utama, persepsi terhadap pelajaran. Berbicara mengenai diri sendiri, saya kira diri saya sudah terbalik 180 darjah setelah jadi bapa.

Dahulu, semasa zaman sekolah, saya termasuk kategori pelajar bermasalah. Tetapi kepada anak-anak, saya sering mengingatkan mereka betapa pentingnya pelajaran sebagai penyuluh kehidupan, retorika yang amat membosankan saya sendiri  dahulu. Ketika itu, tidak kiralah siapa pun yang bercakap, saya akan segera cari jalan untuk angkat kaki.

Tetapi hari ini, setelah jadi bapa dan mula berasa bimbang tentang masa depan anak-anak, saya bercakap dengan mereka tentang pelajaran, tentang kelulusan persis pakar motivasi. Paling tidak pun seperti ucapan YB ketika merasmikan mesyuarat PIBG.

Inilah perubahan paradigma yang saya lalui. Apa pun, segala kata-kata saya kepada anak-anak memang dari lubuk hati. Kerisauan saya ialah mengenai masa depan mereka, kemampuan mereka untuk mengharungi hidup dengan seribu satu macam cabaran dan persaingan yang semakin sengit pada masa hadapan. Pada masa ini pun sudah cukup sengit, apatah lagi masa mereka nanti.

Kerana itu, meskipun dibelit dengan tuntutan kerja, dengan deadline yang sentiasa memanaskan ‘bontot’, juga sebagai suami, sebagai bapa, saya mendaftar untuk sambung belajar pada 2000. Tujuan saya belajar bukan untuk matlamat kerjaya kerana pada saya, dari segi pendapatan, walaupun tidaklah sebanyak mana,  saya yakin cukup untuk menyara keluarga. Begitu juga mengenai prospek masa hadapan, saya yakin dengan kedudukan saya walaupun pangkat tidaklah setinggi mana  masa itu.

Matlamat  saya yang sebenar hanyalah demi anak-anak. Saya bukanlah generasi yang membesar dan bersekolah pada era 60an atau 70an yang peluang untuk menyambung pelajaran ke tahap tertinggi begitu sukar. Saya generasi 80an dan 90an, yang lebih ramai kawan-kawan segenerasi masuk universiti berbanding yang tidak. Maknanya saya yang tidak masuk universiti, itu  kerana diri sendiri, bukan soal tidak ada peluang.

Hanya kerana mahu memberikan jawapan yang positif kepada anak-anak jika mereka bertanya balas “mengapa ayah tak masuk universiti?” saya sambung belajar walaupun dengan seribu satu kepayahan. Selepas lahir anak ketiga pada 2004, barulah saya sah bergelar graduan. Lega, gembira, bersyukurnya, hanya Tuhan yang tahu. Selepas itu, apabila ada kawan-kawan mengajak sambung lagi, saya katakan kepada mereka, “jangan cari penyakit!”

Mei 2013, seorang kawan pensyarah universiti datang mencampak borang di hadapan saya sambil berkata: “Hang isi, jangan dok bercakap banyak.” Saya pun isi borang seperti orang kena pukau. Sungguhpun begitu, dalam hati, saya tetap memikirkan anak-anak. Saya sambung belajar lagi untuk ijazah sarjana kerana mahu menetapkan piawaian untuk mereka, “kalau ayah orang kampung pun ada master, anak-anak ayah kena ada PhD!”

Itulah, apabila sudah jadi bapa, kita berubah, baru tersedar betapa pentingnya pelajaran. Dan selalu saya sebutkan kepada anak-anak, mereka telah lihat sendiri betapa susahnya saya menguruskan hidup seharian sebagai pekerja, sebagai ketua keluarga dan pada masa yang sama sebagai pelajar. Itu belum lagi dikira sebagai anggota jemaah masjid yang selalu dikesampingkan kerana mengejar tuntutan jawatan-jawatan yang awal itu. Kerana itulah kata saya, mereka kena lakukan tanggungjawab sekarang - sebagai pelajar - mengikut turutan dan kedudukan semasa dengan sebaik mungkin, “jangan jadi macam ayah, takut tak mampu...”

Baru-baru ini, seorang daripada empat anak saya menunjukkan keputusan peperiksaannya. Mungkin mewarisi apa yang saya sendiri sebenarnya tidak mahu wariskan kepada dia, pencapaiannya dalam subjek  biologi, fizik dan kimia,  agak menyesakkan nafas saya. Teruklah juga saya berikan ‘motivasi pagi’ kepadanya. Sambil berceramah, teringat apa yang saya sendiri lalui dahulu. Kelas subjek sains seumpama waktu tidur siang saya. Pernah semasa cikgu mengajar di depan, saya terlena. Guru fizik, Cikgu Ng namanya ketika itu mengajar mengenai tenaga. Macam-macamlah jenis tenaga disebutnya. Dalam keadaan kelopak mata semakin rapat menunduk, dia tiba-tiba minta saya sebut jenis-jenis tenaga itu yang katanya, amat penting dalam kehidupan manusia. Tahu-tahu, ringan sahaja lidah saya menyebut “tenaga batin, cikgu” kerana yang melintas dalam fikiran saya ketika itu, tenaga batin sememangnya penting dalam hidup setiap lelaki dewasa.

Setelah itu baru tersedar, saya ‘mamai’ rupanya tetapi sudah terlambat, Cikgu Ng semakin dekat ...