SEMEMANGNYA adalah tidak adil bagi kita untuk menuduh sesiapa yang bertanding dalam pemilihan Umno baru lalu terbabit dengan politik wang.

Namun melihat pada kenyataan calon-calon yang tewas terutama bagi jawatan Presiden iaitu tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah juga bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, ia sudah tentu menimbulkan persoalan.

Setelah tewas dalam pilihan raya hingga hilang kuasa, ramai yang mengharapkan Umno akan segera pulih.

Namun apabila isu politik wang dibangkitkan semula seolah-olah orang Umno tidak pernah insaf, ini amat mengecewakan, bukan sahaja bagi kalangan ahli malahan juga mereka yang daripada parti lawan.

Sebagaimana kata Ku Li: “Kalau benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga (kerana amalan politik wang). Pengaruh duit yang seharusnya dihapuskan sudah bermaharajalela semula dalam politik tanah air, terutama politik Umno.”

Khairy pula mendakwa menjelang pemilihan, ramai perwakilan diarah, diugut dan dipaksa untuk mengikut pilihan ‘warlord’ yang mempunyai cengkaman kuat ke atas bahagian walaupun statistik menunjukkan ramai anggota parti mahukan perubahan.

“Majoriti ahli parti nak berubah tetapi ‘warlords’ masih pekak terhadap suara rakyat,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Bermula daripada pemilihan 2013, Umno telah mengguna pakai format baharu yang diadaptasi daripada sistem ‘electoral college’ iaitu melibatkan 146,500 ahli di peringkat akar umbi.

Ini berbeza dengan kaedah pemilihan sebelumnya yang hanya membabitkan 13 perwakilan bagi setiap bahagian iaitu anggota dalam pimpinan selain tujuh perwakilan yang dikenali sebagai G7 yang dipilih menerusi persidangan bahagian.

Sistem itu dilaksanakan selepas pindaan perlembagaan Umno diluluskan pada 2009.

 Jika mahu dikira sebagai kebaikan, itulah antara perubahan yang baik dilakukan oleh Umno pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana format baharu mulanya dianggap sebagai langkah paling berkesan untuk mengekang gejala politik wang.

Berbanding dengan sistem pemilihan sebelum ini, bilangan pemilih yang begitu ramai iaitu 146,500 di seluruh 191 bahagian Umno sudah pasti menyukarkan calon untuk melobi dengan wang malah boleh dianggap mustahil untuk kerja menyogok dilakukan.

Bagaimanapun apabila keputusan akhir adalah dikira mengikut sistem ‘electoral college’ iaitu satu undi untuk satu bahagian, bukannya undi popular, ia sekali gus membuka ruang bagi para ‘warlords’ memainkan peranan mempengaruhi pengundian.

Ini kerana proses pemilihan sebenarnya masih lagi bergantung pada bahagian yang kebanyakannya masih dikuasai oleh ‘warlord’ meskipun yang mengundi itu adalah ahli di peringkat akar umbi. Apabila pengiraan keputusan dibuat mengikut bahagian - bukan undi popular - calon atau pemimpin yang ‘established’ yang mempunyai hubungan akrab dengan golongan ‘warlord’ atau mereka yang menguasai bahagian, juga secara tidak langsung mempunyai ruang untuk mempengaruhi pengundian.

Seseorang ketua bahagian pasti tidak sekali-kali akan membenarkan calon yang akrab dengannya, tidak dipilih oleh bahagiannya sendiri.

Jika dinilai sekadar daripada hubungan yang akrab, itu bukanlah masalah besar yang boleh mempengaruhi kelestarian Umno dalam arena politik negara. Namun apabila politik wang menjadi isu yang dikaitkan sebagaimana yang dibangkitkan oleh Ku Li dan Khairy, ini bukan lagi masalah biasa-biasa.

 Jika benar apa yang diperkatakan oleh mereka, amatlah mendukacitakan apabila orang Umno masih juga tidak insaf meskipun mereka telah dilanda musibah kehilangan kuasa yang begitu teruk.

Telah terbukti bahawa mereka telah ‘dibuang’ oleh rakyat akibat bau busuk yang keluar dari lubang rasuah dan mereka masih juga mahu masuk ke dalam lubang yang sama hari ini.