CUBAAN kudeta Turki tengah malam 15 Julai lalu berjaya ditangani dalam tempoh dua jam dan diselesaikan sepenuhnya dalam masa lima jam. 

Melihat pada singkatnya masa yang diambil, muncul tanggapan bahawa tindakan merampas kuasa itu tidak dirancang dengan teliti, lalu mudahlah dipatahkan. Malah ada juga yang mengambil faham dari sudut logika, mudahnya hal itu ditangani oleh pihak berkuasa ‘membuktikan’ ia sandiwara yang diarahkan oleh Erdogan sendiri. 

Dengan berfikir mengikut hukum logik juga, mudahkah bagi seorang pemimpin seperti Erdogan untuk mengorbankan rakyat sendiri, termasuk rakan karibnya, Erol Olcak yang maut bersama anaknya ditembak tentera pemberontak ketika  mempertahankan Erdogan? 

Erdogan sendiri menitiskan air mata ketika memberikan penghormatan terakhir buat rakan karibnya itu. 

Tidak mengapalah! 

Kalau sudah dikatakan sandiwara, apalah sangat ‘lakonan’ mengesat air mata dan menggetarkan suara sebagai tanda sebak tatkala berkata-kata dalam situasi sedih seperti itu. 

Orang boleh kata, atas nama realpolitik, apa sahaja sanggup dilakukan oleh seseorang politikus untuk mempertahankan kuasa. Namun jika mahu dikira, apakah logik juga untuk tindakan yang seumpama itu dilakukan tanpa perancangan teliti sedangkan tenaga di belakangnya adalah terdiri daripada kumpulan jeneral tentera yang cukup berpengalaman, berpengaruh dan ternama? 

Sanggupkah mereka mengorbankan reputasi yang diusahakan selama puluhan tahun untuk sesuatu yang diketahui akan berakhir dengan sia-sia? 

Mereka pula bukan seorang atau dua tetapi berpuluh-puluh. 

Selain itu, laporan akhbar semalam mengenai penahanan 11 anggota komando Turki yang cuba menculik Erdogan, membuktikan apa yang mahu dilakukan itu adalah sangat serius. 

Mereka dilaporkan telah bersiap sedia untuk menyerang hotel penginapan Erdogan bersama keluarganya di Pantai Marmaris namun  pemimpin itu bertindak lebih awal meninggalkan hotel tersebut setelah mendapat maklumat mengenainya daripada pihak risikan.

Malah ramai yang tidak sedar bahawa ketua penasihat ketenteraan Erdogan sendiri, Kol. Ali Yazici dan adikong presiden, Lt. Kol. Erkan Kivrak turut bersekongkol dengan dalang kudeta. Mereka adalah orang yang paling tahu mengenai pergerakan Erdogan dan seharusnya adalah yang paling dipercayainya tanpa setitik pun keraguan. 

Sebagai penjaga pemimpin No. 1 negara, mereka adalah pihak yang bertanggungjawab atas keselamatan presiden pada setiap masa, tidak kira waktu dia tidur atau jaga!

Dalam keadaan seperti ini, jika kita berada di tempat Erdogan, siapakah lagi yang boleh dipercayai dan diharapkan sedang yang jadi pertaruhan adalah nyawa diri dan keluarga?

Itulah sebabnya, pasca kudeta, Erdogan telah bertindak membubarkan pasukan perkhidmatan khas 300 pengawal presiden kerana jika dibiarkan, ia adalah sangat membahayakan. Sebagai manusia biasa, Erdogan tidak akan mampu mengenal siapa gunting dalam lipatan, siapa musuh dalam selimut dalam kalangan mereka yang bersamanya setiap hari.

Mujurlah, dalam keadaan seperti itu – meskipun sukar untuk diduga sebenarnya – masih ada yang setia.

Pada malam kejadian 15 Julai, tatkala pejabat MIT  – pasukan intelijen Turki  – ditembak bertalu-talu oleh helikopter prokudeta,  Hakan Fidan, ketua MIT telah menghubungi Erdogan: "Telah terjadi kudeta Tuan Presiden! Kami akan bertempur habis-habisan. Tuan bergabunglah dengan rakyat. Umumkan darurat sekarang juga!"

Itulah sebenarnya tindakan yang telah menyelamatkan Erdogan dan kerajaannya. Daripada makluman Fidan, Erdogan telah mengambil tindakan pantas  menghebahkan apa yang berlaku menerusi Facetime dan minta rakyat turun ke medan menggagalkan rancangan pihak yang mahu menggulingkan kerajaan. 

Serentak dengan itu, berbondong-bondong rakyat Turki tanpa sebarang rasa gentar meskipun sedar nyawa mereka yang menjadi taruhan, turun ke jalanan di mana tentera kudeta sedang berbalas tembakan dengan polis dan rakan-rakan mereka yang setia kepada kerajaan. Rakyat dengan tangan kosong  –  apa yang ada hanyalah semangat patriotisme yang menjulang –  tanpa ragu-ragu menjadi galang untuk mencegah tanah air mereka daripada terperangkap dalam kancah pengelutan kuasa yang mengakibatkan pertumpahan darah. 

Memang menakjubkan apabila ada rakyat Turki yang sanggup berbaring di hadapan kereta kebal pemberontak  semata-mata untuk mempertahankan kerajaan Erdogan yang terbukti telah membawa banyak kebaikan dalam kehidupan mereka. 

Benarlah di sebalik pelbagai kata nista dilempar pihak yang memusuhinya, Erdogan begitu disayangi oleh rakyat , dan benarlah juga pemerhatian Sun Tzu dalam bukunya, The Art of War berabad lalu bahawa seseorang ketua yang menjaga orang bawahannya seperti anaknya sendiri, mereka akan mengikutnya sampai ke pintu neraka! 

Bukan mudah untuk melihat kesanggupan rakyat mempertaruhkan keselamatan diri untuk seorang pemimpin seperti itu!

Apa yang anda beri, itulah yang anda perolehi.

Erdogan tidak mendapat pengorbanan rakyat untuk dirinya secara percuma. Ketika rakyat Turki berhimpun menghalang kemaraan tentera kudeta di jalanan Istanbul terutama di Jambatan Bosphorus, Erdogan memilih untuk terbang pulang meskipun sedar ketika itu, nyawa dia dan keluarganya begitu terancam.

Menurut pegawai kanan di pejabat Presiden Turki, ketika Erdogan dalam penerbangan pulang dari Marmaris, dua pesawat F16 tentera pemberontak mengekori pesawat dinaikinya  dan cuba menembak manakala dua lagi pesawat dari jenis yang sama dikendalikan tentera yang setia kepada Erdogan, berusaha melindunginya. Dengan izin ALLAH, Erdogan dan keluarganya terselamat daripada cubaan membunuh itu.

"Benar, terjadi kesulitan ketika di udara," kata sumber itu seperti dilaporkan Reuters. Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'kesulitan' itu.

"Sebagai orang Islam, saya percaya kuasa  ALLAH yang menyelamatkan Erdogan dan kerajaannya. Dia seorang yang banyak berjasa kepada Islam," kata Prof. Dr. Mohd Redzuan Othman, Naib Canselor Unisel ketika menyampaikan syarahan mengenai cubaan kudeta Turki di di Shah Alam baru-baru ini. 

Mohd Redzuan telah bertahun-tahun menjalankan kajian mengenai politik negara Anatolia itu, dan telah menghasilkan banyak buku berkaitan dengannya.

Meskipun terselamat dalam cubaan kali ini, Erdogan masih perlu berhati-hati.