AWAK suka jamban yang macam mana?” Kalaulah soalan itu keluar dari mulut seorang lelaki kepada seorang lelaki lain, mungkin mudah untuk kita tangkap maksudnya.

Akan tetapi bagaimana jika soalan itu ditanya oleh seorang lelaki kepada wanita, apatah lagi seorang gadis dan ditanya pula pada temu janji mereka yang pertama. Agak-agaknya makan penampar atau tidak lelaki itu?

Kalaupun bukan dalam sebuah pertemuan fizikal, soalan itu masih boleh ditanya menerusi SMS, Whatsapp, Facebook, WeChat atau apa sahaja. Walaupun bunyinya  tidak senonoh  malah turut menampilkan elemen pengotor yang amat sangat, tetapi ia sebenarnya adalah sangat penting.

Penting untuk ditanya oleh lelaki kepada mana-mana wanita yang dia berhajat untuk jadikan isteri. Itu pendapat saya.

Saya teringat untuk mengupas hal ini susulan tersebarnya satu rungutan di laman sosial pada musim cuti raya baru lalu perihal seorang lelaki yang menghadapi dilema akibat sikap isterinya yang tidak pernah mahu bermalam di rumah keluarga si suami.

Ada pun yang menjadi penyebab keengganan isteri tersebut adalah kerana tandas atau jamban yang terdapat di rumah keluarga suaminya adalah daripada jenis jamban cangkung, bukan jamban duduk.

Ini menyebabkan si isteri berasa tidak selesa untuk bermalam, biarpun hanya semalam dua di rumah keluarga suaminya. Paling dia risau kalau-kalau semasa dia berada di situ, sampai seru untuk dia menunaikan hajat yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Menurut si suami, jangankan bermalam, kadang kala apabila seruan itu mendatangi isterinya pada waktu siang, dia tidak peduli lagi sama ada suaminya sedang enak berborak dengan anggota keluarga ataupun apa juga aktiviti yang lazim bagi seseorang yang sekali-sekala balik ke kampung, dia akan segera beri isyarat mengajak suaminya keluar dari rumah. Maka bersegeralah mereka mencari tempat yang sesuai untuk dia menunaikan hajatnya di mana-mana tempat yang ada jamban duduk.

Pantang besar baginya menggunakan jamban cangkung meskipun terpaksa bertahan dan menempuh pelbagai kesukaran sepanjang usaha mencari tempat seperti itu.

Apa yang paling merisaukan hati si suami kalau-kalau di ketika itu, mereka terserempak atau terkantoi dengan keluarga, jiran tetangga atau sesiapa juga yang mengenali mereka.

“Saya paling risau takut kalau-kalau hal ini sampai ke pengetahuan keluarga, terutama emak saya. Sebab itulah, walaupun pernah terlintas cadangan untuk tukar jamban cangkung yang ada di rumah emak saya dengan jamban duduk, saya serba salah untuk memberitahu sebab-sebabnya.

“Takkan saya nak kata sebab isteri saya tak suka jamban itu, habis pecahlah tembelang kami menolak daripada bermalam di rumah emak saya selama ini,” katanya.

Lagi pun, katanya lagi, dia tidak fikir emaknya akan setuju dengan cadangan itu kerana dia yakin emaknya lebih selesa menggunakan jamban cangkung berbanding jamban duduk.

“Emak saya sudah lama guna jamban itu, tidak bolehlah saya memandai-mandai nak tukar apa yang ada di rumah dia. Itu yang buat saya dilema,” katanya.

Kata lelaki itu lagi, cadangan itu juga tidak jadi disuarakan  kerana dia pernah bercadang untuk membina tandas baharu di luar rumah ibunya tetapi rancangan itu turut dibantah oleh isterinya.

Sebabnya, isterinya tidak setuju dengan lokasi jamban di luar rumah atas pelbagai alasan, takut hantu, takut pacat, takut ular dan bermacam-macam terutama jika terpaksa tunai hajat di waktu malam.

Dengan pelbagai alasan dan kerenah itu, mahu tidak mahu, terpaksalah si suami terus memendam keinginan untuk bermalam di rumah emaknya disebabkan masalah mengada-ada isterinya sendiri.

Malah selama ini pun katanya, dia sudah terlalu banyak berbohong kepada emaknya tatkala memberi alasan untuk tidak bermalam di kampung kononnya kerana ada urusan kerja yang penting dan bermacam-macam lagi.

Bagi mengelak berlaku hal yang seperti itu, anak-anak muda yang dalam proses mencari bakal isteri, ada baik bertanya terus terang kepada si gadis yang dihajati soalan yang saya tulis di baris pertama itu.

Biarlah apa dia nak kata, yang penting anda tidak dilema di kemudian hari. Kalau sudah jadi isteri, takkan tergamak anda nak tinggalkan dia semata-mata atas sebab itu.

Sedangkan di pihak sini, terutama hati ibu dan ayah anda juga sangat penting untuk dijaga. Berdosa besar membiarkan mereka terasa hati atau tersinggung kerana anda tidak pernah bermalam dengan anak isteri di rumah mereka.