APABILA sentuh hal kerja, yang nombor satu bagi sesetengah orang ialah majikan. Taksubnya kepada majikan kedengaran menakutkan. Pergantungan dan sikap yang melampau kepada majikan ada kala sampai ke tahap seolah-olah majikan yang memberikan dia rezeki.

Saya bukan ustaz untuk mentakrif ketaksuban seperti itu sebagai salah satu ciri-ciri syirik. Tetapi setiap kali berhadapan dengan orang yang demikian, itulah kebimbangan saya.

Saya tahu, orang itu pun akan marah, menafikan jika kita berterus terang menuduh dia syirik. Tetapi jangan kita lupa, keterlaluan dalam hubungan sesama manusia boleh membahayakan akidah. Tidak. Saya bukan melarang  hormati majikan tetapi sekadar mengingatkan kita sesama kita,  jangan  sampai melampaui batas.

Majikan bukan tuhan. Justeru yang wajar dalam kedudukan ini adalah hubungan manusia dengan manusia. Setiap manusia ada haknya ke atas manusia lain dalam lingkaran hubungan mereka. Ini termasuk menghormati dan berterima kasih.

Kerja bersungguh-sungguh semata-mata untuk majikan, kebiasaannya tidak lari daripada tujuan meraih ganjaran tertinggi bagi diri sendiri. Itu bukan tuntutan Islam. Matlamat yang sebenar mengikut ajaran Islam ialah ALLAH.

ALLAHlah majikan kita yang sebenar. Agenda hidup kita juga adalah menyembah ALLAH, termasuk dalam urusan mencari rezeki.

Ya, kerja kuat atau bersungguh-sungguh sememangnya dituntut tetapi sebagai orang Islam, matlamat kita bukan hanya majikan, laporan prestasi, bonus atau kenaikan gaji tetapi tuntutan menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan ALLAH, mencari rezeki sebagai nafkah diri dan tanggungan.

Ya, majikan juga semestinya ada hak ke atas diri kita. Sebagai pekerja, kita wajib menunaikan mandat diamanahkan. Ini termasuk dalam urusan dan tanggungjawab hablumminannas! Apabila ini jadi perkiraan dalam bekerja, barulah 'bersih' luar dalam. Tiada hasad dengki, politik, tikam belakang, adu domba, rasuah dan seumpamanya.

Orang yang menggantung tujuan pada manusia biasanya tidak istiqamah dalam tujuan. Apabila berlaku pertembungan kepentingan, majikan juga entah ke mana ... Lebih buruk lagi jika apa yang dianggap prestasi terbaik itu sekadar lakonan dengan mengambil kredit daripada hasil kerja orang bawahan.

Orang seperti ini hidupnya dihantui bayang-bayang sendiri, mencurigai orang sekeliling yang ada kelebihan kerana bimbang kalau-kalau majikan terperasan. Lalu kuasa diguna ‘memendam’ individu berkenaan supaya tidak timbul di mata majikan.

Orang seperti ini jika tidak dapat apa yang dihajati atau mungkin ada tindakan majikan mengecewakannya, bukan setakat caci maki malah mungkin sampai tahap mensabotaj. Ini sebab tidak ada keluhuran dan keredaan dalam hatinya.

Dalam pada itu, tuntutan fardu tidak  diabai. Tiada erti kerja bersungguh-sungguh jika fardu ditinggalkan. Tuntutan solat jemaah juga tidak kurang penting. Solat jemaah membentuk kesatuan hati dan kasih sayang. Sunat seperti solat Dhuha harus digalakkan.

Fadilat Dhuha bukan sahaja bagi individu yang mengerjakan bahkan juga majikan dan rakan-rakan.

Apabila seseorang mendoakan rezeki untuknya, jika dimakbulkan, rezeki diturunkan melalui majikan maka majikan juga akan peroleh untung berlipat ganda.     Bayangkan jika  sekurang-kurang 80 peratus daripada staf sesebuah organisasi mengamalkan Dhuha setiap hari!

Soal ganjaran, itu urusan ALLAH, bukan majikan. Majikan sekadar perantara dalam aliran rezeki seseorang. Apabila kita melakukan yang terbaik, rezeki yang diperoleh mudah-mudahan berkat.

Walaupun pangkat mungkin tidak tinggi, gaji tidak besar tetapi keberkatan, insya-ALLAH akan kelihatan. Hidup tidak susah, anak isteri berkeadaan baik, sihat dan dengar kata. Hubungan dengan saudara mara, jiran dan rakan-rakan harmoni dan mesra sentiasa.

Selesa berulang alik ke masjid, ilmu dan harta pula bertambah walaupun sedikit demi sedikit. Ini kurniaan ALLAH yang diharapkan setelah kita tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin dalam urusan 'hablumminallah' dan 'hablumminannas'. Islam bukan di tikar solat sahaja tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan sebagai addeen.
   
Ya, benar... ada orang tidak solat, kaki maksiat, rasuah dan pembuli tetapi hidupnya senang juga. Pangkat tinggi, gaji besar, ada kuasa tetapi itu istidraj namanya. Nikmat ALLAH beri tetapi  bukan dengan keredaan, apa lagi keberkatan. Itu pemberian yang tiada  nilai di sisi ALLAH melainkan jambatan ke neraka jika tidak bertaubat.
   
Adakah pemberian itu buat mereka hidup tenang, reda dengan ujian, ikhlas dan berkasih sayang dengan orang lain atau 24 jam muka ketat, dahi berkerut?
  
Orang yang sebenar-benar kaya ialah mereka yang meredai dan diredai tuhannya, reda akan setiap yang berlaku dalam kehidupan mereka. Ini barulah boleh dikira pekerja yang terbaik.