IA umpama pergaduhan melibatkan budak-budak. Seorang daripadanya mengalami luka-luka akibat dipukul. 

Apabila hal itu sampai kepada pengetahuan orang tua mereka, apa yang kita boleh jangka?

Mengikut adab masyarakat yang mengutamakan kerukunan, ibu bapa kepada budak yang memukul itu wajar untuk menziarah 'mangsa', bertanya khabar. Kalau ada kecederaan, hulurkan belanja ubat-ubatan dan tentu sekali, minta maaf. 

Pada masa yang sama, ajarlah si anak untuk juga minta maaf daripada rakan yang dipukulnya dan nasihatkan mereka berbaik-baik semula. 

Untuk jangka panjang, didikan untuk mematuhi hukum adab yang seperti itu akan memberi kesan positif dalam diri si anak dan mempengaruhi tatalakunya hingga dewasa. Itu juga akan jadi modul pusaka untuk dia mendidik anak-anaknya pula pada masa akan datang. 

Bagi keluarga anak yang dipukul pula, menziarah, ambil berat terutama apabila ditanya mengenai kos ubat, cukup untuk membuat mereka sejuk hati sekali gus memadamkan api dendam. Jika itu langkah yang diambil, kerukunan hidup kita akan terpelihara sampai bila-bila. 

Bagaimanapun, ada juga yang tidak memilih jalan itu. 

Apabila anak mereka memukul anak orang lain, ibu bapa buat-buat tidak tahu. Jika ditanya atau dipersoalkan, mereka akan marah. 

Itulah yang banyak berlaku hingga menyebabkan masyarakat kita punah-ranah, walhal puncanya hanya kerana pergaduhan anak-anak. 

Ini menunjukkan orang kita semakin hari semakin jauh daripada kehidupan beradab! 

Orang yang kurang adab, tidak kisah untuk melantik pemimpin yang juga kurang adab. Peri bahasa ada menyebut: 'Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Bagaimana rakyat, begitulah pemimpinnya.' 

Kita hidup dalam sistem demokrasi. Pemimpin dipilih menerusi pemilihan atau pilihan raya. Seseorang yang berjaya mempengaruhi majoriti akan mendapat lebih banyak undi dan diangkat sebagai pemimpin, tidak kira bagaimana moralnya, sama ada dia seorang yang beradab ataupun tidak!

 

Politik

Inilah politik. 

Politik yang tidak mengikut hukum kepemimpinan yang berasaskan akhlak terpuji, karisme dan karakter yang melayakkan seseorang diangkat setelah mengatasi keterpujian peribadi yang ada pada orang lain, bukanlah molek sebenarnya. Sebab itulah Aristotle menyifatkan ahli politik sebagai zoa politika atau political animal. Saya tidak tergamak untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa kita.

Apa yang dimaksudkan oleh Aristotle sebenarnya? 

Political animal adalah naluri, sifat atau sikap seseorang manusia yang sanggup melakukan apa sahaja apabila dia memasuki arena politik. Dalam konteks pengistilahan oleh Aristotle, apabila mereka memasuki ibu kota Greece yang dikenali sebagai 'polis', itulah perubahan yang berlaku pada diri mereka. Istilah 'polis' (bandar) membentuk terminologi politik.

Secara lebih mendalam, politik boleh menyebabkan seseorang hilang adab, sesat dalam kompleksiti kuasa, tidak mengambil kira hukum-hakam, bebas untuk bercakap atau berbuat apa sahaja. Kesemua itu seperti dihalalkan atas nama 'kenyataan politik' ataupun 'tindakan politik'.

Penyelewengan ini disahihkan pula oleh Machiavelli menerusi apa yang disebutkan 'the ends justify means' atau matlamat membenarkan cara.

Ini sebenarnya bercanggah dengan hukum asas kepemimpinan.

Politik hanyalah satu metod atau sistem untuk memilih pemimpin tetapi hukum asasnya tidak harus berubah. Seseorang ahli politik diterima oleh masyarakat umum sebagai pemimpin.

Mengikut hukum asas kepemimpinan, seseorang pemimpin harus diangkat oleh orang lain, bukan dirinya sendiri. Malahan menawarkan diri (untuk jadi pemimpin) pun juga seharusnya tidak dilakukan kerana boleh merendahkan martabat kepemimpinan.

 

Perasuah

Atas kedudukan sebagai pemimpin, mereka yang dipilih harus memenuhi syarat-syarat asas iaitu lebih berakhlak berbanding orang lain yang termasuk dalam syarat-syarat itu tentulah amanah, berkarisme dan kesediaan untuk berkorban. Oleh kerana politik dikaitkan dengan kuasa, mereka harus seorang yang benar-benar amanah, tidak mudah 'kelabu mata', bukan perasuah atau yang suka bermewah-mewah. 

Bukan sahaja dirinya, keluarga juga harus sanggup untuk hidup jauh daripada sebarang perkara yang boleh mengaitkan mereka dengan fitnah. Mereka bukan sahaja semestinya bersih, tetapi dilihat, dianggap dan dipercayai bersih.

Hukum akhlak tidak mengira kaum atau agama. Ia berkaitan dengan tahap moral yang ada pada diri seseorang.

Mempersendakan kematian orang lain, jelas menunjukkan kerendahan tahap moral orang yang melakukannya.

Mengikut budaya apa pun, perbuatan seumpama itu sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi apabila ia melibatkan seseorang yang bertaraf pemimpin.

Bagaimanapun apabila seorang pemimpin lain yang berjawatan lebih kanan, kemudian membuat kenyataan bahawa apa yang dinyatakan oleh pemimpin juniornya itu adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili parti, apakah itu boleh diterima?

Pada hemat saya, itu sekadar kenyataan untuk menafikan pertanggungjawaban.

Keluarga, penyokong dan simpatisan si mati telahpun dilukakan oleh kenyataan itu. Tambahan pula apabila kematian yang diperlekehkan itu membabitkan seorang ulama atau pemimpin agama yang begitu dihormati serta mempunyai penyokong yang ramai, sentimen kesan daripada perbuatan itu adalah sukar dikawal. Dan ini sesuatu yang boleh mengancam keharmonian masyarakat!

Justeru, atas nama tanggungjawab moral sebagaimana dalam kes dua budak bergaduh dan pukul memukul tadi, tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap individu yang berkenaan.

Sekadar menyatakan itu pandangan peribadi, bukan pandangan parti adalah tidak memadai. Sebagai seorang yang bertaraf pemimpin, sepatutnya tidak ada istilah untuk 'kenyataan peribadi' kerana apa jua yang diucap dan dilakukan adalah membawa nama atau sekurang-kurangnya dikaitkan dengan institusi yang diwakili, sama ada hal itu mahu diiyakan ataupun tidak! 

Itu satu perkara.

Dalam satu insiden yang lain, sesetengah orang yang sudah lama berada dalam politik, pernah memegang jawatan kanan, pun nampaknya masih perlu diperingatkan bahawa politik bukanlah pentas teater. 

Politik – sebagaimana yang diterangkan tadi adalah sistem untuk memilih individu yang terbaik – menuntut mereka yang terlibat dengannya menunjukkan penampilan diri sebagai yang cukup layak serta lebih berakhlak berbanding orang lain. Sesungguhnya politik bukanlah tempat untuk menunjuk bakat sebagai badut atau pelawak.

Tindakan menarik perhatian kepada satu cerita sensasi bahawa akan ada 10 wakil rakyat keluar meninggalkan parti mereka untuk mengikut seseorang yang dipecat daripada parti, adalah satu contoh jelas kempen yang merendahkan mentaliti akar umbi. 

Apabila dituntut untuk menyatakan siapa 10 wakil rakyat itu, lain pula ceritanya. Katanya, itu sekadar analogi untuk mengumpamakan tokoh yang dipecat itu, keupayaannya adalah menyamai 10 wakil rakyat lain.

Ini satu perbuatan yang kurang adab dan tidak harus dilakukan!

Kalau kita mahu bercerita mengenai kesan, sensasinya cerita itu yang sudah berlegar dalam masyarakat sudah tentu mendorong kepada fitnah, menyebabkan orang ramai berspekulasi mengenai siapa termasuk dalam kumpulan 10 YB yang dikatakan akan lompat parti itu. Siapa yang harus bertanggungjawab tanggung dosa sedangkan kesudahannya, amat jelas bahawa cerita itu sekadar dongengan?

Amat menyedihkan apabila hal ini membabitkan pemimpin daripada barisan pimpinan alternatif yang bercita-cita mahu mengambil alih kepimpinan negara yang sepatutnya meletakkan graf moral mereka yang tinggi, mengatasi kepentingan politik sempit untuk membuktikan kepada rakyat bahawa merekalah yang terbaik! 

Apapun, itu hanyalah satu contoh daripada sekian banyak contoh yang dihadapkan kepada kita setiap hari. 

Dalam kalangan pemimpin kerajaan juga tidak kurang contoh pemimpin yang kurang adab, malah ada yang tergamak sampai menunjuk isyarat lucah di tempat awam. Ada juga yang secara terbuka mencabar orang bertumbuk. Jenis apakah pemimpin yang seperti ini?

Kita tidak berupaya untuk mengubah sistem tetapi kuasa undi masih di tangan kita. Gunakanlah dengan sebaiknya!

Jangan hancurkan masa depan anak cucu kita dengan memilih pemimpin yang  kurang adab untuk memegang kuasa, termasuk sebagai pembangkang!