LEPAS solat Subuh semalam, telinga menangkap kata-kata seorang pakcik ketika melangkah keluar dari surau: "Apa susah harga minyak naik, kerajaan dah tanggung hidup kita tiga bulan dalam setahun..."

Mendengar itu, saya bertanya: "Pakcik, masa belajar dulu dapat CGPA berapa? 3.85 jugak ka?" Kami kemudiannya sama-sama tertawa. Saya tahu dia bergurau, dan saya sendiri juga bergurau.

Itulah. Cerita harga minyak sentiasa jadi perhatian kita. Ya, benar harga minyak kita antara yang murah di rantau ini namun setiap kali berlaku kenaikan - yang ramai orang kata saya silap tulis harga minyak naik walhal yang sebenarnya pengurangan subsidi atau lebih mesra disebut program rasionalisasi subsidi - pasti akan menyusul ialah kenaikan harga barang.

Yang tidak ada kena mengena dengan minyak pun naik walaupun sesetengahnya bukan setakat tidak relevan, malah tidak masuk akal pun. Harga teh tarik boleh naik 20 sen segelas kerana harga minyak naik 20 sen seliter.

Ketika mesyuarat petang semalam, saya dapat maklumat harga bahan binaan naik 20 peratus  disebabkan kenaikan harga minyak. Terus naik walhal kenaikan harga minyak baharu sahaja berkuat kuasa beberapa jam.

Inilah sebab kenaikan harga minyak sentiasa dapat reaksi paling negatif. Rakyat sebenarnya boleh terima kenaikan harga minyak kerana semua sudah maklum akan subsidi yang begitu banyak sampai lebih RM20 bilion dibelanja kerajaan untuk tampung harga sebenar.

Namun kita juga maklum bahawa alasan akan memperketatkan penguatkuasaan dalam kawalan harga barang yang dilaung setiap kali harga minyak dinaikkan tidak lebih sekadar 'penyedap hati' yang tidak pernah mengubah keadaan ke arah yang lebih baik bagi rakyat.

Apa yang berlaku, rakyat tidak lebih seperti lubuk untuk melambak masalah tanggungan kos yang tidak mampu diurus dengan baik oleh kerajaan. Ini yang jadi tekanan sedangkan mereka yang buat keputusan itu, diketahui umum bahawa bukan sahaja kos minyak, bahkan hampir semua perbelanjaan mereka ditanggung oleh kerajaan (baca: wang rakyat).

Mengapa tidak dikorbankan tanggungan itu pada kadar yang berbaloi sebelum saliran keluar daripada masalah itu dihala kepada rakyat yang sudah sedia hidup dalam kesempitan?

Apakah pengurangan elaun keraian menteri dan timbalan menteri yang hanya 10 peratus diumum sebelum ini sudah dianggap pengorbanan yang terlalu besar hingga menjejaskan kehidupan mereka?

Selain itu, apa yang lebih perlu ialah hentikan secara jelas segala pembaziran yang sangat mencolok mata selain memastikan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan dapat diatasi hingga mencapai tahap yang mampu memuaskan hati rakyat. Itu lebih penting sebenarnya!

Jangan laporan Ketua Audit Negara dengan angka kecurangan yang begitu membeliakkan mata sekadar jadi acara tahunan yang berulang-ulang. Tetapi siapalah saya untuk menegur mereka yang CGPA 3.85 MBA dalam hal ini!

Apa pun, saya sendiri amat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Saya tinggal di Bandar Tasik Puteri, Rawang berulang alik kerja  di Shah Alam dengan jarak sehala sejauh hampir 50 kilometer. Melalui Lebuh Raya Latar dan Guthrie, saya perlu berbelanja RM12 sehari untuk tol sahaja.

Kos minyak hampir RM20 pergi dan balik.  Kos keseluruhan harian saya untuk pengangkutan sahaja, RM30. Itu ketika harga minyak RM2.10 seliter. Sekali isi RM70, paling lama tiga hari.

Tidak lalu lebuh raya, saya guna jalan biasa yang lebih jauh melalui Puncak Alam. Jarak jauh, kos minyak lebih tinggi. Jalan itu bukan sahaja tidak  berlampu dan agak bahaya pada waktu malam, malahan juga banyak lubang. Untuk mengelak tol, kereta saya pernah jatuh lubang hingga pecah rim. Terbang beratus RM pula!

Orang boleh tanya, "dah tu, sapa suruh beli rumah di tempat jin bertendang?" Saya beli rumah di situ kerana harga rumah itu yang saya mampu berbanding  di Shah Alam yang paling murah pun lebih RM500,000 untuk teres dua tingkat tanpa ubah suai seperti rumah saya. Itu bukan harga mampu milik bagi saya, hanya mampu tengok.

Sebagai suami dan ayah, saya tentunya seperti orang lain juga, berhajat mahu sediakan tempat tinggal yang selesa untuk keluarga. Jadi mahu tidak mahu, saya beli di tempat jin bertendang itu untuk dapat harga rumah yang murah meskipun akibatnya saya sendiri terpaksa ulang alik begitu jauh untuk ke tempat kerja.

Justeru, kenaikan harga minyak yang mendadak ini beri kesan yang besar kepada saya kerana kos yang sebelum ini sahaja pun sudah agak tinggi. Maknanya, untuk orang biasa seperti saya, tidak ada pilihan. Kalau tidak mampu bayar harga rumah yang mahal, terpaksa belanja tinggi untuk keluar  jauh cari rezeki. Sudah nasib kita, mentimun!