KAWAN saya, Din Jawa guna nama ‘Datuk’ Mohd Khafiz Yunus pada profil Facebooknya. Mohd Khafiz Yunus adalah namanya yang sebenar. Gelaran ‘Datuk’ diberikannya sendiri, bukan oleh mana-mana raja ataupun raja palsu.  

Itu pun ramai orang kemudiannya panggil Din Jawa dengan gelaran ‘Datuk’. Hanya kami yang mengenalinya sahaja yang tidak.

Apa yang melucukan, pernah seseorang mengingatkan Din Jawa supaya berhati-hati membuat kenyataan di Facebook kerana “nanti tak pasal-pasal gelaran Datuk kena tarik...”

Apa pun, Din Jawa orangnya baik. Dia guna gelaran ‘Datuk’ di Facebook sekadar untuk suka-suka, bukan mahu menipu atau mengenakan sesiapa!

Selain raja palsu, beri gelaran kepada diri sendiri dalam profil Facebook pun juga salah satu cara juga untuk anda dipanggil Datuk. Din Jawa sudah buktikan. Tinggal lagi sama ada sanggup atau tidak, itu sahaja...

Betapa kemaruknya orang kita kepada gelaran kebesaran hinggakan raja yang tidak diiktiraf dari negara lain, pun juga beri anugerah bergelar yang khusus untuk orang kita sedangkan gelaran seumpama itu tidak ada pun dalam istilah atau budaya bangsa mereka.  

Apa pun, memberi atau menerima anugerah bukanlah kesalahan. Itu hak mereka. Namun apabila melibatkan bayaran, ia boleh dianggap mencemarkan kerana anugerah seharusnya hanya diberi sebagai pengiktirafan atas jasa atau sumbangan kepada negeri, negara dan masyarakat. Dapat anugerah dengan membayar untuk diterima sebagai setaraf dengan mereka yang berjasa...  oh, malunya!

Apa lagi jika anugerah itu diberi oleh ‘raja’ yang angkat diri sendiri.  Isu ini bukan baru sehari dua jadi polemik tetapi sudah lama. Hal ramainya orang yang bergelar Datuk di negara kita sejak dahulu jadi gurau senda malah seakan menghina. Misalnya dikatakan, kalaulah dibaling batu di tengah kumpulan orang ramai,  ia akan mengenai kepala sekurang-kurangnya seorang Datuk daripada setiap seribu orang.

Itu cerita sebelum ada raja palsu!

Manakala dalam satu peristiwa yang bukan peristiwa sebenar, dikatakan ketika diperkenalkan dalam satu majlis, seorang tetamu asing begitu teruja tatkala berjabat tangan dengan seorang ‘Encik’ hingga tangan ‘Encik’ itu digoncangnya berkali-kali.

Sedangkan sebelum itu, ketika berjabat tangan dengan kenamaan yang bergelar Tan Sri dan Datuk, dia tidak pula seteruja itu. Ini kerana dia menyangka anugerah yang membawa gelaran ‘Encik’ jauh lebih tinggi darjatnya berbanding Datuk dan Tan Sri sebab berbanding mereka, hanya seorang 'Encik' sahaja yang ditemuinya pada majlis itu.

Dengan apa yang berlaku, rasanya sudah sampai masa untuk penganugerahan sebarang darjah yang membawa gelaran kebesaran disemak semula. Ini termasuk anugerah yang diiktiraf di sisi undang-undang, istiadat dan budaya.

Meskipun itu adalah hak mutlak atau prerogatif raja-raja dan yang dipertua negeri, pada hemat saya, mana yang mungkin longgar wajar untuk  diperketatkan semula demi memelihara kemuliaan dan kedaulatan institusi pemerintah itu sendiri.

Sememangnya, ada sesetengah negeri yang mengawal ketat pemberian anugerah terutama yang bergelar, namun ada juga yang boleh dikira longgar. Walaupun setiap anugerah diberikan atas perkenan raja-raja, namun sesetengahnya adalah daripada rekomendasi pihak lain terutama orang politik. Ini memungkinkan kurangnya tapisan hingga berlaku ketirisan dari segi prestij, kredibiliti dan integriti.

Bukan rahsia lagi bahawa ada sesetengah individu yang menerima anugerah bergelar seperti Datuk dan Datuk Seri, bukan sahaja dipersoal kelayakannya malah ada yang didapati terbabit jenayah.

Hal yang seperti ini sudah semestinya jadi momokan masyarakat. Dalam drama TV atau filem, watak-watak antagonis yang berlatar belakang orang kaya jahat tidak sah kalau tidak bergelar Datuk, malah ada juga yang menggunakan watak Tan Sri.

Kerana itu, perketatkanlah syarat layak dan syarat sah kepada penerima anugerah yang dianggap istimewa ini demi memelihara kemuliaan mereka yang memberi dan juga yang menerima, selain kemuliaan dan kehormatan darjah itu sendiri.

Harus ditetapkan juga had umur minimum melainkan jika sumbangan dan jasa seseorang individu itu benar-benar luar biasa dan bertaraf dunia.

Pada masa yang sama, golongan raja palsu yang mencari wang mudah dengan menjual anugerah tidak diiktiraf, tidak harus dibiarkan dan perlu diuruskan dengan setegas mungkin bagi memastikan ia tidak terus mencemar kedaulatan raja-raja kita. Pastikan anugerah yang bermotif pengiktirafan ini benar-benar diberikan atas merit yang sah dan diperakui!