APABILA Chong Wei sanggup minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran kekalahannya kepada Chen Long malam Sabtu lalu, dia telah menjentik hati sekalian kita, membuat kita semua berasa terharu.  

Berkali-kali pemain badminton No.1 dunia itu menyebut,  “saya minta maaf” dan “I’m sorry”.  

Tingkah laku spontannya menunjukkan betapa bertanggungjawabnya  dia.

Memang pada masa itu, kita semua bersedih malah boleh dikatakan agak sukar juga  untuk terima kenyataan bahawa satu-satunya jaguh yang paling kita harapkan untuk membawa pulang emas pertama negara telah kecundang.  

Bagaimanapun sikap Chong Wei yang adalah refleksi pada nilai-nilai baik yang ada di dalam dirinya membuatkan kita sebulat suara ‘menolak’ permohonan maafnya itu.

Kita sebaliknya katakan kepada dia: “Datuk, kamu tak perlu minta maaf  kerana kami semua telah menyaksikan betapa kamu telah berusaha dan bekerja keras. Hanya nasib dan takdir sahaja yang memisahkan kamu dengan pingat emas!”

Begitulah.

Air mata

Saya jarang sekali menitiskan air mata bersebab dengan orang lain.

Ketika Dr.  Mahathir mengumumkan persaraannya pada Perhimpunan Agung Umno 2002, spontan terbit dari mulut saya “jangan” yang saya sebut berulang kali sebelum sedar bahawa saya telah benar-benar menangis.

Terasa langit bagaikan menghempap kepala kerana itulah antara perkara yang paling saya tidak mahukan.

Sebelum itu,  saya sering memikirkan bahawa suatu hari Dr.  Mahathir  pasti akan berhenti jua dan pada masa itu,  apa akan jadi pada bangsa dan negara ini?

Saya memikirkan hal itu kerana percaya bahawa bangsa dan negara kita masih memerlukannya dan saya tidak nampak ada siapa-siapa dalam kalangan pemimpin yang ada berupaya untuk mengambil alih tempat  dan keupayaan Dr. Mahathir.

Dia  telah membuatkan bangsa kita dihormati dan dipandang tinggi di dalam dan di luar negara.

Kali kedua,  saya menitiskan air mata tatkala mendapat berita kembalinya ke rahmatullah pemimpin agung Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seperti ramai orang lain, saya  juga berasa begitu kehilangan dengan pemergiannya.

Malam Sabtu lalu, walaupun tidaklah sampai keluar air mata, di dalam hati, saya menangis juga.

Memanglah  Chong Wei tidak mengenali saya malah kami tidak pernah pun berjumpa,  dan apalah sangat untuk saya  berasa lebih-lebih sedangkan badminton hanya sekadar satu acara sukan.  

Perjuangan

Namun bagi saya, Chong Wei dan badminton negara pada zamannya adalah lebih daripada itu. Ia bukan sekadar mengenai sukan dan kejuaraan, bukan juga hanya cerita mengenai perpaduan dan penyatuan minat dalam kalangan sebilangan orang.

Apa yang diajarnya kepada kita adalah mengenai nilai dan makna perjuangan, mengenai semangat dan pertanggungjawaban, kesungguhan dan sikap jangan berputus asa biar apa pun halangan dan cabaran. Chong Wei juga mengajar kita mengenai  keikhlasan dan menghormati harapan mereka yang menyokong.

Ia bukanlah hal yang biasa-biasa apabila seorang ahli sukan sanggup untuk bekerja keras setelah tanpa sengaja terbabit dengan kes doping yang menyaksikan pingat dan kemenangannya ditarik balik, kedudukannya merudum daripada tangga pertama ke tangga 180 dunia.

Namun dari kedudukan tercorot itu, dia bangkit secara luar biasa, dalam tempoh yang sangat luar biasa dan hanya mampu dilakukan oleh orang yang sememangnya luar biasa. Dia sememangnya lagenda.

Banyak lagi sebenarnya yang diajar dalam kisah hidup seorang Chong Wei untuk jadi iktibar bagi kita semua.

Chong Wei mula berkarier di penghujung  zaman Dr. Mahathir memimpin kerajaan ketika kita dibakar semangat  'Malaysia Boleh', ketika kita diajar untuk berjiwa besar dan yakin untuk menakluk dunia dengan tiga elemen utama iaitu keikhlasan, kesungguhan dan keyakinan.

Itulah juga slogan yang menggemuruhkan arena Riocentro pada malam dia mengalahkan Lin Dan. Bagaimanapun dengan kudrat pada usia 34 tahun dan keletihan teramat sangat yang bertanda di wajahnya, jelas semangat Chong Wei tidak cukup untuk membantu dia menyaingi Chen Long yang jauh lebih muda.

Justeru, warna pingat yang diperoleh Chong Wei pada Olimpik terakhirnya bukanlah perkiraan bagi saya. Apa yang diajarnya kepada kita semua mengenai semangat juangnya yang sangat luar biasa,  itu lebih utama.

Apabila kita berfikir tentang nilai-nilai yang baik, seperti juga dalam hal yang berkaitan dengan kemanusiaan, suara hati kita, naluri kita tidak akan terbatas oleh perbezaan mengenai kepercayaan dan warna kulit.

Sesungguhnya, saya  – dan ramai orang lain juga – tetap berasa sebak, berkongsi rasa dengan Chong Wei malam itu.  

Kamu tetap hero kami. Kesungguhanmu, inspirasi kami.

Pemimpin

Apabila kamu meminta maaf – atas ‘kesalahan’ yang tidak kamu lakukan – kamu telah menunjukkan sesuatu bagi kami bahawa kamu bukan sekadar juara di gelanggang sukan tetapi juga dalam masyarakat, di dalam hati rakyat.

Dalam kata lain, kamu ada sesuatu yang mungkin kamu sendiri tidak sedar, naluri  seorang pemimpin.

Kamu telah menunjukkan sikap bertanggungjawab, satu syarat utama untuk jadi pemimpin (walaupun ramai orang tetap mahu jadi pemimpin meskipun tidak bertanggungjawab).  

Meminta maaf daripada orang yang dipimpin adalah termasuk dalam ciri-ciri pertanggungjawaban dan juga satu cara untuk seseorang pemimpin meminta pemahaman (daripada orang bawahan).

Kamu juga telah membuat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersatu di belakang kamu.

Atas sifat dan sikapnya, saya yakin Chong Wei mampu jadi pemimpin bukan sekadar di gelanggang badminton tetapi juga dalam masyarakat, di gelanggang politik.

Siapa setuju?