KETIKA pulang ke kampung baru-baru ini, saya minta tolong bapa mertua simpankan untuk saya biji padi yang belum jadi beras.

Ini kerana, saya tiba-tiba teringat hendak makan bertih. Sudah lama sangat - lebih 30 tahun rasanya -  tidak makan bertih. Bukanlah keinginan itu kerana saya dapat apa-apa mimpi atau alamat hendak jadi bomoh, terima arahan suruh pergi bertapa atau yang seumpamanya.

Keinginan itu tidak lebih kerana mahu mengenang nostalgia lama, apa yang saya pernah lalui ketika zaman kanak-kanak, selalu pergi bersama arwah ayah ke kenduri tahlil yang mana hidangan atau juadah sinonimnya selain pulut kuning dengan ayam panggang ialah bertih.

Turut sama dihidang dengan bertih ialah lempeng tepung yang biasa disebut oleh orang kampung saya dengan panggilan tepung dadar. Selepas bertahlil dan makan, pulangnya juga bukan dengan tangan kosong tetapi dibekalkan sama ada pulut dan pisang emas yang diletak dalam piring dan dibungkus dengan sapu tangan ataupun tepung dadar dengan bertih yang juga dibungkus dengan sapu tangan.

 Apabila terkenang detik-detik nostalgia itu, rindu saya memuncak kepada arwah ayah. Sejak kecil, saya memang kerap dibawa ke kenduri arwah seperti itu. Dalam keadaan malam gelap gelita, kami berdua beranak meredah denai kebun getah hanya berteman lampu picit
ataupun pelita minyak. Kadang kala apabila mendapati laluan becak, ayah menggendong si kecil Muhamad ini di belakangnya dengan penuh kasih sayang.

Sesungguhnya ayah begitu mementingkan setiap jemputan kenduri yang diterima dan seboleh mungkin akan berusaha menghadirinya. Baginya, memenuhi jemputan kenduri adalah petunjuk yang paling jelas akan usaha kita untuk menjaga hati orang yang menjemput dan memastikan hubungan baik dengan jiran sekampung. Malah jemputan dari kampung lain, waima majlis sekecil kenduri tahlil arwah pun akan dia berusaha sedaya upaya untuk hadir termasuklah pada waktu malam.

Itulah ayah, hero saya sepanjang zaman yang sudah masuk 17 tahun pergi meninggalkan kami. Akan sikap dan keprihatinannya itu memang sedikit sebanyak mempengaruhi saya sebelum berhijrah ke kota. Namun ada kalanya saya terleka juga.

Pernah ketika remaja, disebabkan asyik bersembang dengan kawan-kawan, saya dimarahi teruk oleh ayah yang baru pulang dari tempat kerja kerana terlambat ke satu majlis kenduri. Kata ayah, dia berusaha sebaik mungkin untuk 'berderau' (bercampur gaul  dengan jiran sekampung) sedangkan saya tidak ambil berat hal itu. Sejak itu, saya cukup beringat kalau ada kenduri dalam kampung, awal-awal lagi saya akan pastikan kehadiran. Bukan setakat hadir, saya akan pastikan turut sama menolong apa yang termampu.

Sungguh, kenduri kampung pada masa itu memang meriah, menyeronokkan dan begitu mewarnai kehidupan remaja saya, juga mereka yang seusia. Meriahnya kenduri dirasai sejak berminggu-minggu lagi dan bagi orang muda seperti saya, cukup seronok bekerja sambil bersembang pada malam menjelang kenduri kerana ketika itulah, banyak ilmu-ilmu berumah tangga diperturunkan oleh abang-abang atau pakcik-pakcik yang berpengalaman. Mereka berkongsi cerita sambil berteman biskut atau kopi O pekat hingga menjelang subuh.

Berbalik pada cerita mengenai bertih, bagi saya, ia memang sedap. Meskipun tawar dan rasanya seakan hampas, ditambah pula berteman lempeng kosong yang juga tidak punya rasa, kesedapan yang saya angankan itu mungkin kerana ia bersalut kenangan bersama arwah ayah. Saya minta tolong bapa mertua untuk dapatkan saya bertih kerana bapa mertua saya orang bendang.

Selama ini, saya menyangka bertih dibuat daripada biji padi dan walaupun padi zaman sekarang dituai dengan jentera dan daripada jentera terus dimasuk ke dalam lori untuk dihantar ke kilang, saya yakin tidak ada masalah bagi mertua saya untuk dapatkan beberapa biji padi untuk saya goreng buat bertih. Rupa-rupanya, apa yang saya tidak tahu selama ini ialah bertih dibuat daripada padi pulut, bukan dibuat padi beras biasa yang ditanam di bendang kita.

Alangkah hampanya saya apabila diberitahu begitu oleh bapa mertua. Kempunanlah hajat saya nak makan bertih kerana zaman sekarang, mana ada lagi orang kampung kita yang tanam padi pulut seperti semasa saya kanak-kanak dahulu. Kalau nak juga, nampaknya terpaksalah ke Thailand.

Ini berkait dengan cerita asal-usul kita sebagai anak kampung yang lahir dan membesar pada dekad 1970-an. Kalau zaman ini pun saya sudah tidak dapat makan bertih, padi pulut sudah tidak ditanam orang dan padi biasa pun tidak lagi dituai dan dibanting seperti dahulu, apa lagi anak-anak yang lahir pada zaman ini. Lahir ke dunia, mereka hanya kenal bertih jagung atau popcorn.