TERINGAT fasal makan, Alor Setar umpama syurga lidah dan perut bagi saya.

Selama 21 tahun jadi warga kota, jiwa saya terseksa setiap kali terkenang Alor Setar dengan cerita makannya. Betapa rindu mengenang selera yang ada di sana, hanya tuhan yang tahu. Sebutlah apa sahaja, Nasi Lemak Royale di Jalan Raja atau Kompleks Hijau Kuning, Nasik Lemak Haji Ali di Seberang Perak, Mee Hamid di Jalan Tanjung Bendahara, Mee Derga di tepi pagar Sekolah Sultanah Asma, Mee Abu yang sudah sekian lama masyhur di Jalan Sultanah dan Jalan Teluk Wan Jah. Juga Mee Kamal di Anak Bukit. Itu baru beberapa jenama.

Cerita fasal mi, saya memang ‘hantu’ mi goreng sejak sekolah menengah. Ketika itu, di bawah jejambat Jalan Langgar di hadapan sekolah saya – Kolej Sultan Abdul Hamid – ada warung mi Pak Leh yang cukup popular dalam kalangan pelajar asrama. Mi goreng Pak Leh RM1.20 sepinggan. Di sebelah warung Pak Leh, Pak Abu namanya, jual bubur pulut hitam dan bubur chacha.

Selalunya apabila kami lalu, Pak Abu melaung ‘Nandung... Nandung’ yang entah apa maknanya!

Apabila Pak Leh tidak lagi berniaga, saya beralih ke Mee Abu di Jalan Teluk Wan Jah pula. Abu yang ini tidak ada kaitan dengan Pak Abu ‘Nandung Nandung’. Mee Abu Teluk Wan Jah, juga di Jalan Sultanah, jual mi goreng, mi rebus dan  pasembor.

Pernah saya bawa kawan dari luar, ketika mahu ‘order’ dia minta mi Abu. Sambil tertawa, pelayan itu beritahu, “Abu tu nama kedai... encik habaqlah nak mi goreng ka, mi rebuih ka, pasemboq ka. Mee Abu kami tak juai.”

Setiap kali balik Alor Setar, walaupun sehari... saya mesti ke kedai Mee Abu. Rupa-rupanya kekerapan saya ke kedai itu telah mencurigakan hati isteri. Suatu hari, dia tanya: “Yang dok suka sangat pi kedai mi tu awatnya, ada anak dara, ada marka (awek)  ka?”

Memangnya tidak bersalah, saya jawab penuh yakin: “Anak dara apanya... mamak tua ada la.”

Isteri masih tak puas hati. Pada satu malam, dia ajak saya singgah di Mee Abu.

Malang sungguh nasib saya malam itu. Rupa-rupanya pada waktu malam, ada tiga anak dara cun melecun berniaga nasi lemak di situ. Isteri pun apa lagi: “Patutla dok kerap mai noo... rupanya betui ada anak dara!”

Saya kata: “Mana la nak tau malam depa ganti dengan nasi lemak. Selama ni dok mai siang saja... siang memang la mamak tua.”

Sekarang saya sudah jarang ke Mee Abu Teluk Wan Jah tetapi beralih ke Jalan Sultanah. Kadang-kadang ke Mee Derga di tepi pagar Sekolah Asma. Tidak jauh dari situ, Mee Hamid Tanjung Bendahara, pun sedap juga.

Awal pagi di kampung, saya biasanya beli nasi kuning di warung depan BSN/ Badlisahah Ministore di Simpang Empat Kangkong. Harganya seringgit sebungkus tetapi kalau ikut cakap orang Kedah “sedap tak sangga baq hang!” Lauknya bilis/telur, sotong, ayam atau daging kicap.

Walaupun sedap, jangan kerap. Hati emak mertua kena jaga. Sekali sekala balik kampung, dia pun berasa nak beri anak menantu makan air tangannya. Pernah saya ditegur: “Yang suka sangat tu... sedap lagi la dari yang mak masak di rumah ni nooo.....” Panjang sungguh  “nooo....” dia!  

Juga di Pekan Simpang Empat Kangkong, Nasi Kandar Haji Ramli sudahlah masyhur. Walaupun masyhur hingga orang di luar Kedah pun tahu, saya sendiri  baru dua kali singgah makan di situ.

   Selama ini, saya tidak makan di kedai  Haji Ramli kerana jaraknya yang dekat dengan rumah mertua. Setiap kali nak singgah, rasa tidak sampai hati pula. Kalau sudah makan di situ, nanti apa yang emak mertua hidang, tengok sajalah jawabnya. Terasa pula hati dia!

Apa pun, nasi kandar Haji Ramli memang bikin ibu jari terpacak!

Nasi Royale tidak perlu diperkenalkan lagi. Memang sudah lama popular. Di KL pun ada cawangannya di Ampang. Sudah beberapa kali saya ke situ.

Baru-baru ini, dalam perjalanan ke pusat bandar Alor Setar dari Simpang Empat, saya dan isteri singgah di sebuah warung di kawasan Batu 4, di seberang Terusan Wan Mat Saman. Yang mengumpan saya ke situ papan tanda menunya. Ada ‘peknga'. ‘Peknga’ adalah lempeng.

Sebelum 'peknga' sampai, saya makan nasi bungkus lauk ayam. Sedap. Seringgit sahaja. Kemudian ‘peknga’ pula siap, dihidang dengan gulai ikan temenung (kembung) seekor. Baru  RM1.50. Dengan belanja RM2.50, saya dapat dua jenis makanan yang bukan sahaja sedap malah mengenyangkan.

Sebenarnya banyak lagi cerita istimewa mengenai Alor Setar sebagai syurga makanan. Itu belum bercerita fasal char kuey tiaw Iman di Jalan Sultanah yang jadi tumpuan beratus orang setiap malam. Simpan untuk modal lain kali pula!