MAAFKAN saya kerana Kelab 40 tidak dapat disiarkan minggu lalu. Sebetulnya ada perkara kecemasan, yang menyedihkan berlaku kepada saya dan keluarga.

Jam 2.40 pagi Khamis, kira-kira sejam melelapkan mata, saya dikejutkan dengan bunyi telefon menjerit. Rupa-rupanya panggilan daripada kakak di kampung yang memberitahu Pak Long saya sedang sakit tenat di Hospital Selama, Perak.

Mulanya saya bercadang hendak menunggu hingga subuh untuk mendapatkan sedikit lagi lena supaya tubuh lebih segar bagi pemanduan jarak jauh. Tetapi hakikatnya saya tidak dapat hendak menyambung lena selepas itu. Hati tidak lagi aman, jauh sekali mahu lena dengan selesa.

Akhirnya menghampiri jam empat pagi, saya kejutkan isteri. Saya tidak boleh tunggu sampai terbit matahari kerana sampai waktu itu, sudah tentu saya akan mulai mengantuk dan ini amat membahayakan untuk perjalanan jarak jauh.

Akhirnya jam 4.30, saya, isteri dan dua anak yang berumur 10 dan lima tahun keluar meninggalkan rumah menuju ke lebuh raya dan terus menghala ke arah utara. Dua lagi anak kami tinggalkan dengan janji paling lama kami hanya satu malam di kampung.

Jam 8.30 pagi, kami tiba di Hospital Selama. Emak dan dua sepupu saya menunggu di situ. Mereka beritahu pak long sudah pun dibawa balik ke rumahnya di Sungai Bayor dengan ambulans. Kami singgah di sebuah restoran di Pekan Selama untuk beri ruang kepada emak yang berjaga sejak malam menemani abangnya di hospital, bersarapan.

Lewat sedikit daripada jam 9 pagi, kami tiba di rumah Pak Long, disambut oleh makcik, adik emak saya yang memberitahu satu-satunya abang mereka itu sudah tiada, menghembuskan nafas beberapa minit sebelum ketibaan kami.

Saya tiba-tiba diserbu rasa bersalah kerana membawa emak singgah untuk bersarapan tadi walaupun dia mulanya menolak. Niat saya supaya janganlah pula kesihatannya terjejas tanpa menyedari desakan saya hanya melepaskan ruang untuk dia bersama dengan abangnya pada saat-saat akhir itu.

Emak seperti memahami saya melalui kata-katanya, walaupun dia berasa teramat sedih dengan pemergian Pak Long, dia meredainya kerana sejak Pak Long terlantar sakit di hospital, dia berpuas hati dapat bertemu dan bercakap dengan abangnya itu beberapa kali, saling bermaafan dan melapangkan hati.

Sedikit mengenai Pak Long, dia dikenali sebagai ustaz, individu rujukan dan pemimpin yang berpengaruh di kawasan tempat tinggalnya di Sungai Bayor, juga seluruh kawasan Ulu Selama. Pak long, namanya Ahmad Mat Isa, 80, dikenali dengan panggilan Ustaz Mat, Pak Long Mat, juga Ustaz Awang berkhidmat sebagai imam Masjid al Aziziah Sungai Bayor sejak 1981 hingga 2011.

Dia juga pernah menjadi Ketua Kampung Sungai Bedarah, Sungai Bayor antara 1981 hingga 2004, pernah berkhidmat sebagai jurunikah, pengerusi PIBG dan guru Kemas Dun Selama selain mengajar di sekolah agama rakyat dan di masjid-masjid sekitar daerah Selama.

Pak Long mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Mahang, Kulim, Kedah sebelum menyambung pengajian di Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena, Seberang Perai dan kemudian Madrasah Al Mashoor, Pulau Pinang.

Dia berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selain pernah ditawarkan jawatan untuk berkhidmat dengan kerajaan, namun terhalang oleh kehendak nenek saya yang mahu dia kembali ke kampung selepas datuk saya meninggal dunia.

Ironinya, dua hari selepas pemergiannya, Pak Long diisytiharkan sebagai penerima anugerah pada sambutan Maulidur Rasul peringat negeri Perak bagi Kategori Imam yang disampaikan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, Sabtu lalu. Anugerah itu diterima bagi pihaknya oleh cucu Allahyarham, Mohd Hafizul Fikri Ahmad Shukor, 19.

Bagi pihak keluarga, kami menerima ini sebagai kebetulan yang menjadi tanda kenangan abadi. Sekian lama Pak Long berkhidmat, berbakti kepada masyarakat, sebagai guru agama yang istiqamah dengan kerja dakwah sejak zaman muda hingga hilang upayanya apabila terlantar sakit, anugerah itu sudah tentu bukan apa yang pernah ada dalam pertimbangannya, apa lagi untuk dikejar dan digapai.

Barang kali kerana itulah, ALLAH SWT yang Maha Mengetahui akan setiap hamba-Nya, yang maha menyayangi akan setiap hamba yang jadi pilihan-Nya, mentakdirkan Pak Long pergi dahulu, hanya dua hari sebelum penganugerahan itu.

Siapa tahu kalaulah ini perencanaan ALLAH SWT untuk menjaga kesucian perjuangan Pak Long dalam bidang dakwah Islamiah, untuk menjaga kesucian hati pak long sebagai bekalan abadi untuk terus ke jannah. Al-Fatihah untuk Pak Long.