Oleh kerana kepelbagaian budaya dan bahasa adalah fitrah manusia maka ia tidak dinafikan sebagai sebahagian acuan rakyat negara ini. Akan tetapi ia tetap perlu akur bahawa bahasa dan budaya kebangsaan harus menjadi kerangka penting dalam pendidikan. Tanpa ini, negara tidak punya sauh yang kuat untuk membawa bahtera rakyat kepada keharmonian dan kesejahteraan.

Maka menjadi tanggungjawab semua untuk berperanan sebagai penyangga kepada memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara untuk rakyat di negara ini. Para pendidik perlu menjadikan garis besar ini sebagai falsafah kerja mereka. Mengukuhkan jati diri bangsa adalah awlawiyyat (keutamaan) yang tidak boleh dikesampingkan.

Bagi pejuang kemerdekaan masa lampau, garis besar pertama ialah membina jati diri rakyat dan ini hanya akan terpupuk dengan menempatkan kedudukan bahasa pada tempatnya yang tepat lagi benar. Martabat bahasa Melayu akan mencerminkan jati diri bangsa.

Dengan itu ada apa Sijil Pepe-riksaan UEC mahu diiktiraf? Tidak boleh dipersalahkan tanggapan negatif dilihat dalam tuntutan ini kerana pelbagai tuntutan di luar kerangka nasional mula kedengaran daripada masing-masing kaum yang lain. Hasrat untuk mewujudkan Sekolah Wawasan agar generasi mendatang punya nilai dan budaya kebangsaan yang satu ditolak. Kini tuntutan mengiktiraf sijil yang bukan dari sistem kebangsaan pula dicetuskan.

Segala kemudahan telah diberi untuk masing-masing kaum menikmati kemajuan negara ini dalam kerangka membentuk sebuah keluarga besar yang digelar rakyat Malaysia. Malah kewujudan sekolah vernakular (jenis kebangsaan) difasilitasi dengan baik di bumi ini walaupun ia perlu dinilai semula dalam konteks membina perpaduan dan integrasi nasional.

Tidak ada yang mempersoalkan hak tersebut, akan tetapi jika ia mulai memasuki ruang awam yang melibatkan dasar pendidikan yang disepakati, sudah tentu ini dilihat janggal dan timbul pertanyaan kenapa bahasa teras yang diperundangkan mahu dicabar.

Namun berlaku suara sumbang untuk merombak kesepakatan ini lalu menimbulkan tuntutan untuk menyimpang dari teras pembentukan negara. Dari isu UEC , sekolah persendirian Cina menuntut pengiktirafan bahasa Cina sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Alasannya adalah bahasa ibunda adalah hak setiap kaum.

Kita mengidamkan negara ini akan terus berkembang maju, berteraskan budaya dan bahasa yang satu dalam kepelbagaian kaum. Berhasrat agar negara ini akan menempa budaya bertamadun tinggi dengan menumpu kepada membina nilai dan kualiti keinsanan, Malaysia terus melangkah.

Dari babak sejarah inilah kita menapak selangkah demi selangkah  membangunkan negara. Dicelah-celah itu memang kita mengharungi detik-detik khilaf yang pahit antara kaum. Ada yang mendalam lukanya, ada yang dapat diselesaikan dengan semangat mengutamakan keamanan dan perkongsian. Generasi pasca merdeka membesar tanpa membawa legasi kesangsian antara kaum. Lalu kita tetap utuh sehingga hari ini sebagai sebuah negara yang melalui fasa negara yang dewasa.

Bangsa Melayu merestui dan menyambut mereka dengan tangan terbuka dengan harapan keharmonian dan kemajuan dapat dipacu bagi membentuk Malaysia yang sejahtera.

Penggubalan sistem pendidikan kebangsaan dilakar dengan teliti dari Laporan Rahman, Laporan Razak sehingga Laporan Jawatankuasa Kabinet. Setiap fasa dirangka mengambil kira pembentukan jiwa nasional dengan memperakui bangsa teras negara ini iaitu Melayu tanpa menafikan kepelbagaian budaya dan bahasa kaum yang dianugerahkan kewarganegaraan di bawah jus soli (kerakyatan berdasar tempat kelahiran).

Walaupun berlaku peristiwa hitam 13 Mei 1969, akan tetapi keadaan dapat diperbetulkan sehingga jurang polarisasi antara kaum dapat dipulihkan.

Ditambah lagi budaya kebangsaan diabsahkan sebagai budaya teras negara ini, oleh itu acuan kebangsaan yang diterima ialah acuan Peribumi. Dengan semangat saling menghormati dan meraikan kepelbagaian, seluruh pemimpin kaum menerima hakikat jika bahasa dan budaya kebangsaan ini tidak diterima, pasti sukar negara ini boleh mengecapi kemerdekaan selama 61 tahun sehingga sekarang. 

Prasyarat kemerdekaan yang ditetapkan oleh penjajah ialah masyarakat majmuk yang ada di bumi Melayu ini perlu bersepakat agar tidak mencetuskan konflik antara kaum. Masing-masing menerima hakikat sejarah dan memperakui bahawa keistimewaan kaum Peribumi tidak boleh dipersoalkan dan sejak itu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentuk jiwa dan minda rakyat adalah kerukunan yang perlu disegarkan.

SEJAK negara ini disepakati kelahirannya, semua pemimpin kaum bersetuju, teras jati diri negara adalah budaya dan bahasa kebangsaan. Ketika itu belum ada akta yang diperundangkan. Tetapi inilah kesepakatan yang kita terima untuk melangkah keluar dari zaman penjajahan.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu