MENGUKUHKAN pendidikan Islam sangat penting untuk menentukan masa depan masyarakat Islam di negara ini. Sejak Pendidikan Islam diperkenalkan dalam bentuk mata pelajaran yang diajar di sekolah kerajaan dalam sistem pendidikan arus perdana, di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, keberke­sa­nannya belum memuaskan.

Subjek Pendidikan Islam telah melalui perkembangan melalui Bahagian Pendidikan Islam Ke-menterian Pendidikan. Falsafah Pendidikan Islam Kebangsaan juga digubal untuk memberi makna yang lebih lengkap mengenai pendidikan Islam di negara ini.

Lebih 55,000 pendidik Islam bertugas di sekolah kerajaan, hampir 5,000 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, hampir 300 di pondok, tidak kurang 10,000 tenaga pengajar di institusi tahfiz.

Angka di atas hanya anggaran kasar. Mungkin angkanya jauh lebih besar. Soalnya kenapa kemajuan yang dicapai itu masih tidak me­muaskan. Faktanya institusi pen­didikan Islam berkembang oleh ini­siatif pelbagai pihak, rakyat dan parti politik.

Malangnya pendidikan Islam masih belum menjadi sistem arus perdana. Dilihat dari segi pen­capaian pelajar yang melalui sistem pendidikan nasional, pen­didikan Islam belum memberi kesan yang diharapkan. Kesepaduan ilmu tidak berlaku sehingga konsep sekularisasi masih kuat mempengaruhi sistem pendidikan negara.

Kini pendidikan Islam berjalan secara terpisah-pisah. Model per­sekolahan yang dijalankan oleh kera­jaan, sekolah agama rakyat, swasta, organisasi masyarakat, ins­titusi masjid serta individu me­wu­judkan pendidikan Islam meng­ikut aliran dan model masing-masing.

Pendidikan Islam dikawal selia dan ditadbir oleh beberapa agensi iaitu kerajaan pusat dan negeri. Kerajaan pusat melalui Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan negeri me­lalui Majlis Hal Ehwal Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Lembaga Penasihat Penyela­rasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) juga merupa­kan sebuah lembaga yang ditubuh­kan di bawah perkenan Majlis Raja-raja Melayu. Lembaga ini ditubuh untuk melihat perkembangan dan penyelarasan pendidikan Islam di negara ini.

Dengan senarai kategori di atas, ternyata pendidikan Islam dilak­sanakan di pelbagai peringkat oleh pelbagai pihak di seluruh negara. Persoalan utama ialah sejauh mana matlamat pendidikan Islam tercapai dan bagaimana pelajar yang melalui pendidikan Islam terbentuk sebagai insan Muslim berkualiti dan men­yumbang kepada pembangunan ummah.

Di Kementerian Pendidikan, Pendidikan Islam dilaksanakan untuk semua sekolah kebangsaan dan menengah berdasarkan kuri-kulum yang ditetapkan di bawah Bahagian Pendidikan Islam yang membangunkan kurikulum khas pendidikan Islam di bawah Pusat Perkembangan.

Akan tetapi oleh kerana institusi pendidikan di negara ini agak rencam, iaitu terdiri dari beberapa kategori sekolah agama, maka penggunaan kurikulum, teks, kela­yakan guru, metodologi pengajaran, penilaian, serta penarafan kelayakan pelajar, berbeza.

Sejujurnya Pendidikan Islam yang sedia ada gagal memberi penekanan kepada pembinaan sahs­iah pelajar.

Demikian juga pengajaran Islam di sekolah belum menyeluruh untuk menanam kefahaman Islam sebagai sistem kehidupan yang lengkap. Ada kelemahan perlu diatasi dalam teknik pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar mem­pelajari subjek Pendidikan Islam.

Faktor yang sangat penting ialah Institut Perguruan Islam belum dapat melahirkan guru yang mem­punyai komitmen tinggi untuk menyampaikan pendidikan Islam secara berkesan di sekolah. Di samping itu buku teks yang diguna di sekolah-sekolah belum men­cukupi untuk membentuk sahsiah Muslim.

Dengan segala kelemahan di atas mahu tidak mahu terpaksa diakui, melahirkan guru pendidikan Islam yang komited adalah prasyarat jika pendidikan Islam mahu berjaya.

Pendekatan penerapan sahsiah Islam dalam kurikulum Pendidikan Islam sepatutnya menjadi keuta­maan. Guru-guru, institusi mas­yarakat seperti masjid dan ibu bapa perlu dilibatkan dalam pembinaan sahsiah Islam pelajar, membentengi jati diri dari pengaruh negatif dalam dunia tanpa sempadan kini.

Pendidikan al-Quran yang lengkap dari kemahiran membaca, memahami dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian juga perlu dikaji supaya model pen­gajaran lebih menarik dan berkesan.

Sebuah topik bertajuk Ilmu Aam Islam (Islamic Geography) perlu diperkenalkan bagi menanam pemikiran ber”ummah” bertujuan merasa sensitif dan peka dengan kondisi umat Islam di seluruh dunia.

Kepekaan generasi muda terhadap nasib umat Islam di se­luruh dunia sangat cetek. Nilai per­saudaraan yang luas dan merang­kumi semua kaum merentas bangsa dan warna kulit perlu ditanam dalam pendidikan Islam melalui topik tersebut.

Kurikulum pendidikan Islam merentas dan bersepadu dengan semua mata pelajaran perlu diwu­judkan. Konsep ilmu bersepadu antara ilmu addin dan akademik perlu dibangunkan supaya pelajar dapat mempelajari Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu