KITA prihatin kepada nasib anak bangsa, memang itu satu kewajaran. Membiarkan anak bangsa hanyut dalam badai gelombang yang tidak mengira batas, adalah tidak bertanggungjawab. Bangsa yang hanyut tidak terpimpin bakal menjadikan mereka tanpa arah dan akan hilang di persada samudera tidak bertepi.

Kita membicarakan sejumlah soal bangsa Melayu yang memerlukan santunan. Bangsa Melayu kini sedang menjalani realiti yang merunsingkan. Sementara bernostalgia kegemilangan masa lampau itu sangat menyentuh kalbu dan minda, akan tetapi menafikan adanya kemelut yang menimpa bangsa hari ini adalah suatu kesilapan.

Setelah kita meneliti gelombang perubahan politik 9 Mei lalu, kita berdepan dengan pentas senario baharu yang ada akibat dan natijahnya. Jika tidak diurus dengan baik, bangsa ini akan terhumban ke dalam gaung dan berdepan dengan krisis.

Kini bangsa Melayu dihadapkan dengan senario debat dan bersaing dalam arena politik. Cybertroopers, sabotaj pentadbiran, serangan media, asasinasi peribadi, jual beli di pasaran politik, politik kembiri, cash is king, menjadikan debat politik sangat sengit.

Apakah bangsa Melayu siap bersilat dalam persekitaran politik baharu seperti ini?   

Banyak persoalan bangsa yang perlu diperhitungkan. Sementara kita menarik nafas lega melihat ada peralihan kuasa yang aman lepas PRU 14, ada kekhuatiran apabila melihat tiba-tiba terbentang cabaran baharu dalam mengangkat isu bangsa dan agama.

Tidak boleh dinafikan wujud suara lantang yang memaparkan betapa Islam dan bangsa ini sedang berdepan dengan saingan lebih gencar oleh kaum dan agama lain. Melihat kepada suara dan tulisan yang lebih berani dan terbuka, menandakan bangsa Melayu bukan sahaja perlu responsif kepada cabaran luar, tetapi juga lebih kritikal melihat ke dalam.

Sudah tentu bangsa Melayu berasa tercabar, bila kedudukannya dipersoal, agamanya disudutkan, budayanya diperlekehkan, potensinya diperkecilkan. Kelompok nasionalis yang mudah tercabar sering menjadikan debat dan kelantangan bersuara untuk memberi respons. Malah kelompok liberal barat mengambil kesempatan untuk mengangkat isu institusi agama yang dituduh mengguna pendekatan keras.

Tidak cukup dengan itu, perkaitan agama dengan urus kelola negara dianggap mundur ke belakang. Ditambah lagi mereka berpendirian bahawa pendidikan Islam juga dianggap tidak perlu malah perlu dihentikan pembiayaan kepada sekolah agama.

Soalnya kali ini bangsa Melayu yang sudah keluar dari khurafat politik lama, sudahkah bersiap melonjak diri untuk membentuk kefahaman kepada Islam yang murni? Tidak hanya dengan bersuara lantang. Tidak hanya dengan perhimpunan di jalanan. Tidak hanya dengan komentar tajam. Tidak hanya dengan emosi tidak terkawal.  

Apa yang diperlukan ialah bangsa ini hendaklah membina kekuatan sahsiah digabung dengan ketekunan dan kesungguhan bertindak, menyuburkan daya intelektual yang tinggi, dikukuhkan dengan kepimpinan yang jujur dan berkarakter mulia.

Untuk ini, kita memerlukan suatu pendekatan yang jitu. Sebuah manhaj Melayu yang membentuk bangsa dalam acuan sosiobudaya bangsa mengikut kerangka dan sentuhan Islam.  

 

Kita sedar betapa pentas baharu sekarang ini banyak yang tidak dapat diramalkan. Akan tetapi yang jelas kita perlu melihat bagaimana realiti baharu ini dapat membawa kepada perubahan yang diharapkan untuk bangsa Melayu. Perubahan struktural atau pemerintahan sudah berlaku namun perubahan budaya belum terjamin lagi.

Apabila kita meneliti penghakisan jati diri bangsa, jelas kita sarat dengan kelemahan dan kepincangan. Anak bangsa masih teruja dengan budaya liar, mudah terpengaruh dengan gaya hidup selesa, terpukau dengan keseronokan sesaat. Akibatnya yang mengambil tempat dalam minda insan Melayu adalah pemikiran sempit yang tidak bersedia berfikiran kritikal terhadap diri.

Jika masih ada pemikiran yang sempit dan tidak berkembang dengan ilmu yang tepat dan benar, bangsa Melayu akan gagal melangkah ke hadapan. Fikrah Melayu perlu dicorakkan semula supaya dipandu oleh fikrah Islamiyyah. Inilah kaedah manhaj Melayu yang benar.

Demikian juga selagi iltizam bangsa tidak disuburkan, Melayu tidak akan bermaya. Keiltizaman adalah dari semangat mahu menjadi bangsa yang berkemampuan menjadi pembimbing kepada bangsa lain. Ini tidak mungkin berlaku jika Melayu tidak memiliki sahsiah yang kuat dan tidak berketerampilan serta tidak berilmu untuk menerajui negara.

Ketuanan Melayu yang dislogankan hanya kata-kata retorik tanpa kekuatan. Apa makna ketuanan jika anak bangsa paling tinggi terlibat dengan gejala sosial yang merosakkan. Tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dengan melaungkan Hidup Melayu! Ketuanan Melayu! sedangkan kita melihat tanah milik Melayu terhakis sedikit demi sedikit, ekonomi kita masih ekonomi kebergantungan.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu