KATA-KATA “aqlus salim fi jismi salim" (akal yang sihat dalam jasmani yang sihat) sangat benar dan sangat relevan sepanjang masa. Ia sebuah pepatah yang secocok dengan adab hidup Islam.

Rasulullah SAW yang menjadi insan contoh kepada semua, Muslim mahupun non-Muslim, mengamalkan hidup sangat seimbang. Kehidupan Baginda adalah sebuah kelengkapan yang sempurna dari semua aspek. Dari kepimpinan, akhlak hingga cara makan dan menjaga kesihatan, semuanya menjadi teladan.

Inilah yang sepatutnya menjadi paksi kepada polisi menjaga kesihatan rakyat. Kehidupan yang sedar dan peka. Bukan hidup ikut suka tanpa sedar. Negara yang menjadikan dasar kesihatan berpedomankan kehidupan Rasulullah SAW pasti tidak berdepan dengan krisis kesihatan yang menelan belanja berbilion ringgit untuk menaja kesihatan rakyat.

Belanjawan negara 2019 yang dibentang baru-baru ini sekali lagi menunjukkan gambaran bagaimana menaja kos kesihatan adalah sangat tinggi. Bajet untuk kesihatan rakyat kali ini adalah antara yang tertinggi pernah diperuntukkan iaitu RM29 bilion, 7-9% dari keseluruhan peruntukan untuk 2019. Selepas biaya pendidikan, membiayai kesihatan menjadi keutamaan. Di mana-mana negara pun ukuran kesejahteraan sering dilihat kepada tahap kesihatan.

Seolah-olah semua ini tidak dapat dielakkan. Akan tetapi jika diselidiki, ternyata semua penyakit yang memerlukan rawatan berkos tinggi di negara ini adalah penyakit yang berkait dengan gaya hidup. Jutaan rakyat mengidap kanser, penyakit kardiovaskular, ketidakstabilan mental, diabetes, hipertensi, obesiti - adalah antara penyakit yang sebenarnya boleh dielakkan jika rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

Peliknya, perhitungan yang lazim diperkirakan ialah, lagi banyak hospital dan lagi bertambah doktor dan petugas perubatan, dikatakan bertambah maju negara. Soalnya apakah dengan sedemikian banyak hospital dan segala khidmat yang berkait kesihatan diperuntukkan, menandakan rakyat negara ini berada dalam keadaan sihat?. Jika kita dapat meningkatkan kesihatan sepatutnya tidak perlu banyak hospital dan profesi kedoktoran sebagai petanda sebuah negara itu maju.

Hujah ini bakal menimbulkan kontroversi dan polemik jika kita tidak berfikir secara matang apatah lagi bila kesihatan sudah dilihat sebagai sebuah industri komersial. Lalu muncul sejumlah industri insurans kesihatan, pengeluar ubatan, institusi latihan perubatan swasta, hospital dan klinik swasta.

Cuba kita lihat realiti kesihatan yang sangat mengkhuatirkan di negara ini. Data menunjukkan - sekitar 3.5 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes, 6.1 juta terbabit dengan hipertensi, 100,000 merana kanser setiap tahun. Angka ini sahaja cukup menandakan Malaysia mempunyai tahap kesihatan rakyat yang kronik.

Yang jelas mengikut Bancian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015 menunjukkan penyakit tidak berjangkit di negara ini yang semakin meningkat adalah akibat pilihan gaya hidup - tabiat memilih makanan, aktiviti fizikal, kualiti tidur dan tahap kebahagiaan.

Bancian Kementerian Kesihatan menunjukkan 94% dewasa di Malaysia tidak makan buah segar dan sayuran dan satu dari tiga rakyat Malaysia tidak aktif secara fizikal.

Menyekat produk merbahaya dan mengawal penyalahgunaan serta pemalsuan ubatan dan menghukum mereka yang mengambil kesempatan meraih keuntungan atas nama produk dan khidmat kesihatan, memang memerlukan undang-undang. Akan tetapi untuk setiap orang menjaga kesihatan, bukan undang-undang yang menjadi keutamaan.

Semua sedia maklum, mencegah adalah lebih baik dari merawat. Kos mencegah penyakit adalah kurang dari mengubati penyakit. Isunya bagaimana kita boleh merealisasikan pendekatan ini sedangkan peruntukan kita untuk program mencegah melalui Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia masih kecil iaitu hanya RM5 juta setahun, sangat kecil berbanding Singapura (USD 140 juta setahun), Korea Selatan (USD 2.6 bilion untuk 2018 sahaja) dan Thailand (USD 135 juta setahun).

Pendidikan adalah satu cara, tetapi ia tidak berkesan seperti yang diharapkan. Untuk itu pendekatan yang menyeluruh (intergrated) diperlukan: pendidikan, undang-undang, inisiatif komuniti, kehidupan contoh di kalangan pemimpin, program kesihatan keluarga, kemudahan awam untuk kesihatan, kempen gaya hidup sederhana, menyediakan insentif kepada gaya hidup sihat, menerapkan konsep pemakanan Sunnah.

Kita harus mengelakkan diri dari berfikir bahawa kesihatan bererti kos. Kita jangan terperangkap dengan persepsi bahawa belanjawan untuk kesihatan perlu sentiasa tinggi. Sebaliknya kita harus berfikir bagaimana kesihatan perlu dilihat sebagai fitrah yang mesti menjadi aset rakyat Malaysia sehingga negara bakal maju kerana rakyat yang mempunyai akal sihat adalah rakyat yang memiliki badan sihat.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu