SIDANG Dewan Rakyat penggal ke empat kali ke-13 menyaksikan satu-satunya peraturan yang di luar kebiasaan formaliti Parlimen. Tan Sri Speaker telah memutuskan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan untuk membangkitkan isu berkait 1MDB kerana ia subjudis.

Isu berkaitan syarikat 1MDB adalah permasalahan yang telah diangkat oleh mantan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam tahanan politik kerajaan Malaysia.

Beliau telah menyuarakan sejak tahun 2011 tentang isu urus tadbir negara yang tempang akan membuka ruang penyalahgunaan dana awam seperti 1MDB diertikan beliau sebagai 1 Malaysia Debt of Billions.

Tanpa pemisahan kuasa dan reformasi sistem, sebarang projek dan program hanya akan melatar di sempadan retorik dan tidak membawa apa-apa makna dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Terkini, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah wajar dilihat secara serius dalam mendepani isu berbangkit skandal 1MDB.

Beliau turut mempertikaikan AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC. Saya raikan keberanian politik  diambil oleh bekas menteri yang jelas bahawa khidmat untuk rakyat adalah lebih tinggi daripada jawatan yang pernah digalas.

Pembuat dasar, aktivis media, mahasiswa dan NGO-NGO telah berkali-kali hadir dengan persoalan dan kenyataan yang mendesak kerajaan agar tampil dengan jawapan serta langkah proaktif dalam menangani isu berkenaan, apatah lagi bila melibatkan hutang serta dakwaan rompakan berbilion-berbilion wang negara.

Sebanyak USD 7 bilion sahaja telah menjadi bahan rompakan menurut Department Of Justice, Amerika Syarikat.

Jelasnya isu 1MDB, yang dimomokkan sebagai antara sumber pelaburan utama negara untuk meraih keuntungan ekonomi wajib menjadi perbincangan awam, bukannya dilenyapkan untuk menyelamatkan sesiapapun.

Jika bukan di Parlimen, wakil rakyat boleh mempersoalkan urus tadbir negara, lalu di mana lagi ruang dan platform untuk kami?

Sudah menjadi tanggungjawab pemimpin dan wakil rakyat dalam merungkai masalah-masalah serta isu semasa yang melingkari kehidupan masyarakat.

Mahu tidak mahu, kerajaan perlu bertegas agar setiap ruang dan unit masyarakat dibenarkan untuk mendapat akses kepada solusi bagi masalah berbangkit.

Tiga orang bekas menteri dilihat positif dalam memberi kerjasama agar dapat membantu siasatan menyeluruh terhadap syarikat 1MDB. Tambahan, adakah Akta Rahsia Rasmi (OSA) lebih tinggi berbanding jadual keenam peraturan mesyuarat dewan rakyat yang antaranya menyebut:

“Saya,..., setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Saya melihat tindakan Bukit Aman yang memanggil seorang Ahli Parlimen untuk memberi keterangan berkenaan ucapan beliau di Parlimen sebagai satu tindakan yang menjangkaui legislatif perundangan.

Sudahlah ahli-ahli Dewan Rakyat ditegah untuk membangkitkan isu 1MDB dalam Dewan yang mulia, adakah terkini, bekas menteri yang secara jelas ingin memberi penerangan terperinci juga dihalang oleh pihak penguasa?

Pihak polis juga seharusnya memberi makluman terkini kepada siasatan ke atas 1MDB dengan persoalan tuntas - di manakah peniaga muda Jho Low, Riza Aziz Anak tiri Perdana Menteri bukannya mengganggu gugat keberanian mantan menteri bersuara mempersoalkan kebenaran untuk rakyat.

Lihat sahaja, tanpa siasatan dan tiada kenyataan diambil menyebabkan keluarga Jho Low berani mencabar kerajaan Amerika Syarikat kerana mendakwa aset 1MDB diletakkan di bawah unit amanah keluarga.

Kembalikan institusi Parlimen dan polis dalam menjawab isu yang membelenggu serta kekal menjadi misteri dalam benak fikiran masyarakat. Kita juga menantikan SPRM menjalankan siasatan dengan bebas dengan pengakuan terkini Ahmad Husni, serta bekas menteri dan penguat kuasa undang-undang yang lain untuk tampil bagi memberikan penjelasan.

* Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai