“Al-FADHL bin Abbas dibonceng Rasulullah SAW, kemudian datanglah seorang wanita dari kabilah Khats’am yang datang hendak bertanya kepada beliau. Al Fadhl melihat ke arahnya, dan wanita itu pun melihat ke arah Al-Fadhl. Maka Rasulullah SAW memalingkan wajah Al Fadhl ke tempat lain.”

Setiap seorang daripada kita seharusnya mampu memperingatkan akhlak dan bagaimana Rasulullah SAW menghadapi serangan peribadi berbanding serangan yang memberi kesan kepada sahabat, anggota keluarga, serta umat Islam secara keseluruhannya. Baginda tidak mengendahkan serangan terhadap peribadinya, hanya mempertahan mereka yang disayangi, termasuk umat Islam, daripada serangan.

Seorang Muslim yang berpegang teguh dengan agamanya tidak akan menjerumuskan dirinya dalam amarah, sebaliknya mengangkat kehormatan dan maruah secara istiqamah walaupun dalam dicela.

Rasulullah SAW sendiri sentiasa menumpukan usaha tegas tetapi penuh hikmah untuk menangani mereka yang gagal menghormati wanita dan orang kebanyakan, khususnya mereka yang berkedudukan tinggi di dalam masyarakat. Teguran Baginda bertujuan untuk memperbaiki akhlak, serta mengangkat budaya dan membebaskan masyarakat daripada pemikiran sempit, prejudis dan cauvinis.

Dalam insiden yang dikenali sebagai Callgate, saya percaya gangguan dan pencerobohan  ruang peribadi saya oleh pemanggil, berlaku sebagai peringatan bahawa gangguan yang tidak diingini seperti ini amat kerap berlaku ke atas wanita, dan ada kalanya juga lelaki.

Sekiranya seorang Ahli Parlimen seperti saya pun tidak terkecuali, apatah lagi wanita lain di Malaysia, yang tidak kita dengari aduannya dan kadangkala diperlekeh dan tidak diendahkan.

Tuntas, kerana itulah saya menulis. Demi menyuarakan suara hati wanita di Malaysia yang telah berhadapan dengan gangguan yang sama, seraya mengelakkan perkara ini daripada berulang.

Begini pendirian saya: perbuatan pemanggil tersebut tidak boleh diterima dalam apa jua cara sekalipun.

Wanita, tidak kira bertudung mahupun tidak, berhak untuk hidup secara bermaruah dan dihormati, oleh itu saya menyeru semua pihak untuk mempertahankan hak wanita apabila berlakunya ketidakadilan di depan mata. Juga, saya amat menyeru agar masyarakat menjaga sensitiviti dalam mengutarakan komentar tentang wanita. Bukankah premis dakwah itu sendiri bersifat aman dan meyakinkan, dan bukan berasaskan provokasi dan serangan?

Sebarang cadangan tentang perbezaan dasar, dan pendapat boleh saja disampaikan secara berhemah. Isunya maruah seseorang itu wajib dilindungi. Memberi komen negatif dan menjatuhkan air muka dan maruah seseorang adalah tidak adil untuk mana mana individu sekali pun sama ada wanita mahupun lelaki.

Ternyata, kita harus menjaga tatacara supaya tidak menceroboh ruang peribadi sejajar dengan ajaran Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan nilai-nilai moral kehidupan seharian.

Ketika berhadapan dengan isu gangguan terhadap wanita, Malaysia masih lagi terkebelakang dalam menguruskan isu lazim ini. Budaya patriarki, seksis dan toksik maskulin dalam masyarakat, bermula daripada siulan dan ‘sapaan kurang adab’ di jalanan sehinggalah keseriusan pelaksanaan undang-undang gangguan seksual.

Jika ini telah menjadi ‘norma baru’ dalam masyarakat, maka pastinya ini akan menjejaskan keselamatan wanita di Malaysia. Maka, sesuatu yang tegas harus diambil untuk memastikan hak, dan kehormatan wanita sentiasa terpelihara.

Perlu wujud respons berterusan dan usaha yang kolektif dalam meningkatkan sensitiviti masyarakat agar mampu kita melahirkan masyarakat yang prihatin, berhikmah, konstruktif dan lebih Islamik.

Sistem pendidikan juga harus dianalisis, supaya aspek moral ini ditekankan sejak awal untuk memastikan elemen hormat itu kembali menghiasi peribadi kita semua.

Isu ini bukan hanya relevan buat wanita, tetapi memerlukan penglibatan aktif dari seluruh rakyat. Sama-sama kita berikhtiar untuk mengubah budaya yang melihat wanita sebagai objek, serta mengenal pasti nilai dan keutamaan untuk saling menghormati dan saling menyumbang kepada negara tidak kira siapa pun kita.

Meski wanita mempunyai hak untuk berpakaian secara sederhana, sedemikian jugalah lelaki bertanggungjawab untuk memelihara pandangan jika mereka tidak selesa. Lelaki tidak seharusnya hanya menjadi lelaki, tetapi lelaki wajib  mempertahankan hak wanita dan menjadi pelindung dalam menjaga maruah mereka.

Hal ini mustahak agar kita dapat mendidik  generasi anak-anak lelaki kita di Malaysia untuk dipersiapkan dengan kesopanan dan maruah, dan mengubah norma patriarki yang sudah menjadi kebiasaan setelah sekian lama.

Di Belanda sendiri contohnya, bengkel mengajar kanak-kanak lelaki untuk mengenali dan hormat garisan seksual orang lain serta mengetahui limitasi mereka sendiri. Manakala di Kenya, latihan perlindungan serangan dilaksanakan untuk memperkasa murid lelaki kelas menegah daripada jenayah yang dilakukan.

Inilah masanya masyarakat Malaysia baharu meninggalkan masa lalu dan mencari cara untuk menangani isu yang serius ini. Undang-undang seperti seksyen 509 Penal Kod, dan Akta Pekerja berkait Pencegahan dan Pembasmian berkait gangguan seksual boleh dimasukkan di bawah perlindungan wanita.

Saya menyambut baik idea yang diusulkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Wan Azizah berkait kawalan undang-undang demi mengangkat status wanita.

Penegasan implementasi undang-undang seperti Akta Gangguan Seksual dan Akta Pencerobohan Privasi pastinya akan memainkan peranan penting dan mengelakkan kebobrokan terhadap wanita berulang. Ini merupakan langkah baru yang memberi lebih keyakinan kepada TPM sebagai tindakan lanjut dalam melindungi kepentingan kaum wanita selari dengan aspirasi Pakatan Harapan.

Sebuah Malaysia baharu yang ditempatkan hari ini hanya akan terus wujud selagi kita ada kemahuan untuk melakukan perubahan. Dengan tenaga positif yang kita ada kini, ayuh bermula dengan usaha untuk memberi pengiktirafan terhadap wanita.

Hakikatnya, mengetahui begitu ramai yang mendukung saya tatkala menerima komen daripada individu tersebut, adalah bukti kepada sejauh mana masyarakat bersedia dalam usaha memperkasa wanita.

Tak terbayang alangkah terharunya tatkala rakan media, profesional, rakan sejawat, sahabat, wanita dan lelaki dari segenap penjuru telah tampil untuk mempertahankan bukan saja saya, tetapi wanita lain di luar sana juga.

Hari ini, saya mungkin telah mengalami polemik ini sendiri. Tetapi bermula hari ini juga, kita mahu pastikan, semua wanita yang kita sayangi akan harus, terus dan lebih dihormati, bermula daripada sekarang.

* YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Naib Presiden Keadilan